Trofi Liga FAM 2009 milik Pos Malaysia


PEMAIN dan pengurusan pasukan Pos Malaysia meraikan kejayaan mereka muncul juara Liga FAM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.


PASUKAN Pos Malaysia muncul juara liga bola sepak divisyen tiga kebangsaan, Liga FAM 2009 selepas menundukkan Staf Universiti Sains Malaysia (USM) 1-0 pada perlawanan terakhir di Stadium Selayang petang semalam.

Jaringan tunggal Azirol Ramli pada minit ke-65 sudah cukup untuk Pos Malaysia memungut tiga mata berharga sekali gus menduduki tangga teratas liga dengan 30 mata.

Sejurus selepas perlawanan, Pos Malaysia menerima trofi, pingat dan cek replika bernilai RM60,000 selaku juara daripada Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh.

Bagaimanapun, Che Mat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM memberitahu, kejayaan Pos Malaysia itu belum menjamin slot automatik ke saingan liga divisyen dua kebangsaan, Liga Perdana musim depan.

"Mengikut peraturan pertandingan 2009, kenaikan dan penurunan pasukan akan ditentukan oleh JKPT, bukannya secara automatik.

"Jadi esok (hari ini) JKPT akan mengadakan perbincangan dengan semua wakil kelab atau negeri yang bertanding dalam Liga Malaysia bagi menentukan cadangan format untuk musim depan.

"Cadangan tersebut nanti akan kita kemukakan ke Majlis FAM untuk dipersetujui dan dimuktamadkan. Mungkin cadangan yang kita bawa esok (hari ini) lebih daripada satu," katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Sementara itu, pengurus pasukan Pos Malaysia, Shaari Shazali berkata pihaknya sangat berharap perbincangan tentang format baru itu akan memihak kepada mereka.

"Memang kita berharap Pos Malaysia dapat beraksi dalam Liga Perdana musim depan. Pasukan ini terdiri daripada kalangan staf kita dari seluruh negara dan kebanyakan mereka adalah posmen," katanya.

Jurulatih Pos Malaysia, Anizan Daud pula nyata sudah bersedia menghadapi Liga Perdana musim depan dengan berkata: "Kita akan bawa masuk lima atau enam pemain luar berpengalaman bagi menguatkan lagi pasukan ini."