'Chelsea kini ancaman kami'


FERGUSON


LONDON - "Kamu langsung tidak mempunyai peluang untuk memenangi gelaran Liga Perdana England."
Demikian kenyataan sinis Alex Ferguson kepada seteru utamanya dari Liverpool, Rafael Benitez.

Pengurus Manchester United itu dalam misi memenangi gelaran liga buat kali keempat berturut-turut memberitahu, skuad Chelsea bimbingan Carlo Ancelotti adalah ancaman terbesar buat pasukannya.

Ferguson berkata: "Amat sukar buat mereka untuk menyamai penca- paian musim lepas, apatah lagi memperbaiki pencapaian tersebut. Pasukan lain akan tahu lebih banyak tentang mereka."

Skuad bimbingan Benitez berjaya memberi saingan sengit kepada United sebelum menamatkan saingan musim lepas sebagai naib juara liga.

"Liverpool mungkin mempamerkan prestasi terbaik mereka dalam masa 20 tahun ini pada musim lepas, namun masih ketinggalan empat mata di belakang kami," kata Ferguson

"Tonggak utama pasukan itu kini terletak di tangan Steven Gerrard dan Fernando Torres."

Sementara itu, Ferguson menjadikan Chelsea sebagai pencabar utama mereka bagi kempen musim ini.

"Chelsea miliki ramai pemain berkualiti dan mereka adalah calon juara kali ini," jelasnya. - Agensi