Jangan tutup lampu itu!

Mungkin pelik jika kita memikirkan konsep dan tujuan bermalam di dalam muzium. Namun, bagi yang mahukan pengalaman baru apabila bertandang ke Melaka, tarikan pelancongan ini menggabungkan rasa seronok, janggal dan seram!




SEJURUS diberitahu tentang pengisian program ini, fikiran sudah melayang ke turutan babak yang penuh kejutan dan aksi seperti yang pernah ditayangkan dalam filem terbitan Hollywood, Night At The Museum dan juga sekuelnya.

Mungkinkah ada, kalau tidak banyak, sedikit keterujaan bakal dialami seperti watak pegawai keselamatan yang dijayakan aktor Ben Stiller itu?




Jika tiada rangka dinosaur yang berlari mengejar mangsanya, atau sekumpulan figura sejarah kecil yang tiba-tiba 'hidup' dan mampu berinteraksi, pasti ada keistimewaan lain yang bakal mengisi aktiviti unik ini.

Namun begitu, kru Jurnal yang diberi peluang merasai pengalaman bermalam di Muzium Samudera, Bandar Hilir, Melaka baru-baru ini tidak mahu terlalu jauh berimaginasi.


DALAM suasana suram dan gelap, seseorang perlu memikirkan perkara yang seronok untuk dilakukan sendirian.


"Anda akan merasai pengalaman tidur bersama pelbagai artifak yang berusia ratusan tahun. Mungkin nanti ada yang tidur di sebelah patung Hang Tuah, mungkin juga ada yang tidur di sebelah replika berunsur sejarah yang menyimpan pelbagai kisah," kata Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas.

Mendapat kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Melaka, Hotel Naza serta Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka, Khamis memberitahu bahawa program itu bertujuan mendekatkan orang ramai kepada artifak, kisah sejarah dan urutan peristiwa yang membentuk karakter budaya Melaka pada hari ini.


RAMAI peserta yang pada mulanya berasa curiga akhirnya mampu untuk melelapkan mata dan tidur dengan nyenyak.


Tambah beliau, terdapat 21 muzium dan enam galeri di Melaka di bawah pentadbiran Perzim yang kebanyakannya terletak di kawasan Tapak Warisan Dunia di Bandar Hilir.

Sewaktu memperkenalkan nama dan latar belakang setiap muzium tersebut, Khamis sempat bercerita mengenai salah sebuah muzium yang dikatakan telah dihuni oleh sekumpulan makhluk halus lantaran sudah 16 tahun terbiar kosong.




"Ketika usaha mengubah fungsinya mula dibuat, kami terpaksa akur dengan kehadiran 'entiti' yang tinggal di dalamnya. Kami terpaksa memindahkannya dengan meminta bantuan orang yang pakar dalam hal tersebut," ujar beliau.

Saat mendengarkannya, para peserta program pun berpandangan sesama sendiri. Ada yang berkerut dahi kerana sudah membayangkan kalau-kalau ada 'gangguan' sewaktu bermalam di Muzium Samudera pada malam nanti.


MUZIUM replika kapal Flor de La Mar ini menyimpan pelbagai artifak bersejarah.


Bagi sebahagian peserta lain yang suka menduga kehadiran unsur mistikal, inilah masanya. Belum cuba belum tahu!

Dari sungai ke perut kapal


TANGAN patung yang mengundang seram jika tersentuh dalam gelap.


Malam itu, kami (peserta program) dibawa menyusuri Sungai Melaka dengan bot siar. Ramai yang leka menyaksikan panorama sekeliling sambil telinga peka mendengar penerangan tentang bangunan lama, trivia masyarakat dan kisah perdagangan lampau di sepanjang lengkok sungai itu.

Semua cerita itu suatu kompilasi maklumat yang menarik untuk dihayati hinggakan tidak sedar kami sudah tiba ke muara sungai.

Dari pangkalan bot, pandangan mata masing-masing sudah tertumpu pada Muzium Samudera yang disimbah cahaya benderang. Tersergam dalam aura silam yang misteri, replika kapal Flor de La Mar itu begitu menonjol dilatari langit malam.

Di dalam perut kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan lapan meter lebar itulah tubuh yang letih berwisata ini akan tinggal semalaman.

"Sejak program ini diperkenalkan Januari lalu, kami menerima pelbagai reaksi. Ada yang panik apabila terdengar bunyi-bunyian aneh termasuk suara wanita mengilai atau terhidu bau kemenyan.

"Namun tiada apa yang perlu dibimbangkan. Segala perasaan curiga dan gerun akan berakhir dengan keseronokan. Mereka juga tidur nyenyak seperti bayi," ujar pemandu pelancong, Shaukani Abbas yang sentiasa kreatif dengan pelbagai gimik.

Selepas menikmati kudapan lewat malam yang disediakan penganjur, kami ditunjukkan tempat tidur masing-masing. Suasana menjadi gelap dalam muzium menjelang tengah malam setelah pintu dikunci dan peserta ditinggalkan.

"Jangan padam lampu itu! Saya takutlah," kata satu suara.

Penulis cuba memejam mata dan membiarkan deria pendengaran menjadi sensitif. Memang tiada yang aneh dikesan, melainkan sayup-sayup kedengaran suara dendangan malam dari sebuah warung karaoke terbuka yang terletak 100 meter dari lokasi muzium. Oh, suara mak cik yang menyanyi off key nyata lebih menakutkan!

Berjalan sendirian

Jarum jam menunjukkan waktu 3.30 pagi, penulis masih segar terjaga, walaupun tidak dapat menafikan tubuh yang lenguh kerana kepadatan aktiviti pada siang harinya.

Apabila teringat akan kata-kata Shaukani yang memberitahu bahawa peserta program bebas untuk bergerak di dalam ruang pameran muzium ketika bermalam, penulis bingkas bangun.

Dalam kegelapan suasana dan hanya diterangi lampu-lampu suram di sudut tertentu untuk membimbing langkah, penulis berjalan menyusuri lorong-lorong dan tangga. Sekali-sekala lengan dan kaki terasa menggigil, bukan kerana memikirkan yang bukan-bukan, tetapi kerana berjalan melewati corong hembusan pendingin hawa.

Dengan bertemankan lampu suluh kecil, penulis bersendirian melihat ke segenap ruang pameran. Daripada carta, gambar-gambar, artifak hinggalah ke diagram, sempat juga penulis menyingkap semula kisah sejarah kelautan dan pergolakan politik maritim di negeri itu suatu masa dahulu.

Tiba-tiba penulis terpijak suatu yang sejuk dan lembut. Berderau darah dan hampir terjerit jadinya kerana objek itu memberi reaksi dengan menepuk kaki penulis.

"Siapa yang pijak aku ni?" tegas suara itu. Penulis ketawa sendiri dan meminta maaf. Rupa-rupanya yang dipijak itu adalah tangan seorang teman media yang baru hendak dibuai mimpi. Di sudut-sudut gelap, habis semuanya dilanggar dan dipijak!

Tidak mahu insiden itu berulang, langkah dituju kembali ke arah tempat tidur penulis. Waktu ketika itu ialah 5.30 pagi. Tinggal satu jam setengah lagi petugas muzium akan mengejutkan peserta program untuk dibawa kembali ke Hotel Naza.

Dalam percubaan terakhir untuk mencari kehangatan dan keselesaan di bawah selimut, penulis terus memujuk diri untuk lena. Wahai mata, tidurlah. Eh, bunyi apakah itu?