Fergie salahkan pengadil


FERGUSON (kiri) menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada Foy pada perlawanan Perisai Komuniti kelmarin.


LONDON - Alex Ferguson menyelar keputusan pengadil perlawanan, Chris Foy yang tidak melayangkan kad merah kepada Michael Ballack pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley kelmarin.

Perancang Chelsea itu dilihat menyiku Patrice Evra sehingga menyebabkan pertahanan Manchester United terjatuh.

Foy bagaimanapun membiarkan permainan diteruskan dan situasi itu menyaksikan Frank Lampard meledakkan gol kedua Chelsea ketika kedudukan terikat 1-1.

"Jika pengadil melihatnya dengan teliti, ia satu kesalahan kad merah," kata Ferguson.

"Dia telah menyiku Evra dengan jelas. Pengadil berada berhampiran dan mempunyai pandangan yang jelas, jadi dia (Ballack) lebih bernasib baik. Begitupun, sekurang-kuranya pengadil patut menghentikan permainan."

Ferguson juga menuduh kalangan pemain bintang The Blues yang sengaja berpura-pura cedera untuk melambatkan permainan.

"Ketika gol kedua mereka, pengadil membuat keputusan untuk enggan menghentikan permainan. Dia telah pun menghentikan permainan sebanyak dua kali," kata Ferguson.

"Pengadil kata ia insiden yang serius walaupun Ballack terus bangun selepas itu. Apabila pemain berlakon untuk menghentikan permainan, itulah perkara yang saya bimbangkan.

"Perbuatan itu tidak betul. Sesuatu harus dilakukan untuk menanganinya. Jika pengadil denda pemain kerana menghentikan permainan, maka tidak mengapa. Tapi dia (pengadil) tidak membuat keputusan dengan baik hari ini." - Agensi