Kehangatan KL'09 sudah terasa


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyampaikan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Datuk Fattul Razi Bakri baru-baru ini.


KUALA LUMPUR sekali lagi menjadi tumpuan apabila kira-kira 1,200 atlet paralimpik dan pegawai hadir untuk beradu kehebatan dan kemampuan masing-masing pada Sukan Para ASEAN Kelima (KL'09) yang bermula esok.

Temasya dwitahunan itu adalah acara sukan terbesar bagi atlet paralimpik di rantau ini dan ia melibatkan penyertaan atlet dari 10 buah negara anggota ASEAN dan Timor Leste.

Walaupun kini dunia dilanda penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), namun 11 negara itu mengetepikan kebimbangan tersebut untuk menjayakan temasya sukan berkenaan.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Para ASEAN. Kali pertama Malaysia menganjurkannya ialah pada 2001.

Pada edisi pertama itu, hanya dua acara sukan dipertandingkan iaitu olahraga dan renang yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan.

Perancangan asal, temasya Sukan Para ASEAN diadakan selepas penganjuran Sukan SEA yang dikhususkan untuk atlet-atlet normal.

Penganjuran Sukan Para ASEAN pada kebiasaannya berlangsung selepas temasya Sukan SEA dan ia mula diadakan pada 2001 dengan Malaysia menjadi tuan rumah diikuti Vietnam (2003), Filipina (2005) dan Thailand (2008).

Memandangkan Laos, penganjur temasya Sukan SEA tahun ini telah menolak untuk menganjurkannya kerana kekurangan infrastruktur dan sumber kewangan, Malaysia telah dipilih Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) sebagai penganjur bagi mengekalkan kesinambungan penganjurannya.

Dengan motto ASEAN Bergerak Bersama (ASEAN Moving Together), temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung hingga 19 Ogos ini bertujuan menggalakkan persahabatan dan pembangunan sukan serta menginterasikan golongan itu ke dalam masyarakat ASEAN.

Orang ramai digalakkan untuk hadir dan memberikan sokongan dan tidak memperkecil- kan kemampuan atlet-atlet ini di pentas sukan dunia apabila atlet dari Malaysia, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Timor Leste bakal membuat kejutan di luar kemampuan fizikal masing-masing.


SEMANGAT... Kontinjen negara sudah bersedia beraksi pada Sukan Para ASEAN yang akan bermula esok.


Pada edisi kelima temasya itu kali ini, seba- nyak 730 pingat emas ditawarkan melalui 11 acara iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, powerlifting, catur, boling, pelayaran, tenis kerusi roda, bola keranjang kerusi roda dan bola tampar duduk.

Acara renang akan menjadi lubuk pungutan pingat bagi negara-negara peserta apabila ia menawarkan jumlah pingat terbanyak iaitu 294 pingat emas dan diikuti olahraga (240) dan ping pong (72).

Acara renang, olahraga dan powerlifting pada temasya kali ini juga akan dijadikan pentas untuk atlet meraih ranking Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) bagi melayakkan diri beraksi pada Sukan Paralimpik London 2012.

Beberapa venue sekitar Lembah Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan telah dipilih bagi menjaya temasya kali ini.

Bagi acara olahraga, ia akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, powerlifting (Stadium Putra), renang (Pusat Akuatik Nasional), catur (Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara), Badminton (Stadium Juara, Bukit Kiara), boling (Megalanes Endah Parade).

Acara ping pong pula diadakan di Arena Tertutup Majlis Olimpik Malaysia, bola tampar duduk (Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur), bola keranjang berkerusi roda (Dewan Serba- guna GMI, Bangi), tenis berkerusi roda (Kompleks Tenis Nasional) dan pelayaran (Admiral Marina & Leisure Club, Port Dickson).

Pada Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand tahun lepas, kontinjen negara yang dianggotai 180 atlet menduduki tempat kedua keseluruhan dengan meraih 82 emas, 74 perak dan 46 gangsa.