Ferguson tetap tenang


REAKSI Giggs (tengah), Wayne Rooney (kanan) dan Owen selepas Burnley memperoleh gol pada aksi kelmarin.


BURNLEY - Alex Ferguson tidak bimbang dengan ketumpulan jentera serangan Manchester United biarpun hanya mampu meledakkan satu gol dalam dua perlawa- nan awal Liga Perdana England musim ini.

Juara bertahan itu mene- waskan Birmingham City 1-0 pada aksi pertama Ahad lalu, namun dimalukan oleh pendatang baru, Burnley apabila tewas 0-1 pada aksi kedua kelmarin.

Biarpun masih cuba menyesuaikan diri tanpa kelibat Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez, pengurus The Red Devils itu tetap yakin pasukannya mampu mengalahkan Wigan esok sekiranya mencipta banyak peluang gol seperti aksi menentang Burnley kelmarin.

"Saya jamin kami akan memberi respons yang sewajarnya pada Sabtu ini (esok). Memang kami semua kecewa kerana ia satu keputusan yang buruk," kata Ferguson.

"Keadaan padang juga sangat baik, jadi tiada lagi alasan kepada kekalahan ini. Cuma kami sepatutnya bermain dengan lebih baik lagi.

"Biasanya kami mengambil sedikit masa untuk mendapat rentak. Kadangkala sehingga bulan Oktober baru kami mendapat rentak terbaik kami. Begitupun, kami tidak sepatutnya tewas perlawanan ini.

"Pada tahap ini, saya tidak begitu bimbang jika dilihat pada peluang yang kami cipta. Dua atau tiga pemain ada peluang, termasuk Michael Owen dan Ryan Giggs pada babak pertama dan kedua."

Robbie Blake menjaringkan gol tunggal perlawanan sebelum penjaga gol, Brian Jensen menyelamatkan sepakan penalti yang diambil oleh Michael Carrick. - AFP