Cabaran Gunung Tahan

Selepas menempuh cabaran terakhir yang begitu sukar seperti angin kencang, hujan dan cuaca yang teramat sejuk, akhirnya sekumpulan anak muda sampai di Kem Puncak Gunung Tahan. Puncak sebenar hanya berjarak kira-kira 300 meter dari kem tersebut.




EKSPEDISI menjejak Gunung Tahan setinggi 2,187 meter dari aras laut cukup mencabar mental dan fizikal. Inilah kali pertama saya berpeluang mendaki gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia itu. Sebenarnya, ekspedisi ini dianjurkan oleh Perhilitan Seremban yang mengadakan aktiviti mendaki Gunung Tahan setiap tahun. Pada tahun ini, ekspedisi ini dibuka kepada pihak luar. Saya dan Pengurus Taman Negara Johor Pulau Kukup, Ilyas Razak bernasib baik apabila terpilih. Turut bersama kami ialah seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), tujuh kakitangan Perhilitan Seremban, dua kakitangan swasta dari Kuala Lumpur dan lapan guru dari Pusat Kokurikulum Negeri Selangor.

Pendakian yang diadakan pada bulan lalu diiringi oleh pemandu arah, Sabarudin. Berikut adalah catatan pendakian kami.

Hari pertama: Selepas mendaftar diri dan mengisytiharkan barang-barang yang dibawa di Pejabat Taman Negara Sungai Relau Merapoh, kami menaiki dua buah kenderaan 4WD menuju ke Kuala Juram.

Ketibaan kami disambut rumah-rumah kosong yang tidak berpenghuni. Pada asalnya, ia adalah pejabat taman itu yang sekarang telah berpindah ke Sungai Relau. Esoknya, kami menempuh perjalanan sejauh 13 kilometer (km) dari Kuala Juram ke Kem Kor. Kami mengharung Sungai Tanum sebanyak empat kali sebelum tiba di Kem Kuala Luis. Dari situ, kami bergerak ke Kem Lata Luis sejauh enam kilometer. Dari Kem Lata Luis, jarak ke Kem Kor hanya 2.5 km. Sebelum itu, kami terpaksa mendaki sebuah bukit yang curam menegak. Kami bermalam di Kem Kor yang boleh memuatkan sehingga 100 khemah.

Hari kedua: Kami bergerak ke Kem Kubang. Jaraknya hanya enam kilometer dari Kem Kor. Trek ini dikatakan paling mencabar kerana hampir keseluruhan perjalanan adalah mendaki.

'Bukit Kembang Hidung' yang curam dan tinggi itu menyebabkan hidung kami 'kembang kuncup' menarik nafas. Kami berhenti rehat sebentar di Kem Permatang. Terdapat punca air bersih kira-kira 100 meter di bawah bukit dekat kem ini. Jarak Kem Kubang berbaki 3.5km dan pendakian cerun yang tinggi hanya berakhir apabila kami sampai di Kem Kubang di ketinggian 1,406 meter (4612 kaki) dari aras laut.

Hari ketiga: Jarak pendakian dianggarkan 13 km. Kali ini, pendakian banyak melalui permatang gunung yang sederhana curam tetapi licin, berlopak-lopak serta becak dan berselut.

Kasut yang dipakai sudah tidak serupa kasut lagi kerana sering terbenam di dalam trek yang berlumpur. Selepas satu jam lebih mendaki, kami sampai di Kem Belumut.

Kem seterusnya ialah Kem Bonsai sejauh 5.5 km. Selepas mendaki sebuah bukit yang agak curam, kami sampai di puncak kecil yang dipanggil Puncak Bonsai Bawah. Pemandangan begitu menarik ditambah dengan tiupan angin yang menyegarkan.


PENULIS (kanan) dan Ilyas Razak di puncak Gunung Tahan.


Selepas melalui sebuah permatang yang agak panjang, kami sampai di Kem Bonsai di ketinggian 1,705 meter. Dari situ, kami boleh melihat banjaran bukit gondol yang diselimuti awan yang menempatkan Gunung Tahan. Di kem ini, kami berehat untuk makan tengah hari sebelum menyambung pendakian ke Kem Bukit Botak.

Pendakian ke kem sejauh tiga kilometer itu masih lagi meniti permatang gunung yang sempit, berlumpur dan tidak rata. Setengah jam berlalu, kami sampai di kawasan bukit yang gondol dan berbatu. Di situ, terdapat pokok-pokok bersaiz kecil dan rendah seumpama pohon bonsai.

Pokok orkid yang pelbagai jenis dan periuk kera berwarna putih susu tumbuh hampir di seluruh permukaan tanah. Pemandangan begitu indah dan sukar dilupakan. Selepas mengharung cuaca panas terik, akhirnya kami sampai di Kem Bukit Botak yang terletak di ketinggian 1,943 meter.


PARA peserta ekspedisi Gunung Tahan tidak melepaskan peluang bergambar di sebatang pokok bonsai yang cantik.


Terdapat sebatang anak sungai kecil yang hampir kering di situ dan airnya amat sejuk seperti ais. Kami mengisi botol-botol yang kosong sebelum bergerak menuju ke puncak Gunung Tahan.

Cuaca terasa begitu sejuk. Trek berbatu yang kami lalui agak curam dan licin akibat dibasahi hujan. Selepas menempuh cabaran terakhir yang begitu sukar seperti angin kencang, hujan dan cuaca yang teramat sejuk, akhirnya kami sampai di Kem Puncak Gunung Tahan.

Puncak sebenar hanya berjarak kira-kira 300 meter dari kem tersebut. Khemah segera dipasang di kawasan yang agak terlindung dari angin kencang. Namun, saya dan beberapa peserta sempat menjejak kaki ke papan tanda di puncak bagi meraikan kejayaan menakluk Gunung Tahan.

Kami bermalam di puncak gunung cukup mencabar kerana cuaca yang terlalu sejuk.


ANTARA spesies orkid yang ditemui.


Hari keempat: Tepat pukul 10 pagi, cuaca yang berkabus mula beransur-ansur cerah. Awan putih dan kabus tebal hilang daripada pandangan tetapi angin masih bertiup kencang.

Dari puncak, kami dapat melihat pemandangan pergunungan yang saujana mata memandang. Kelihatan banjaran gunung membiru yang diselimuti kabus putih di puncaknya.

Kami juga dapat melihat sayup-sayup di kejauhan Tasik Kenyir, Gunung Gagau dan Gunung Perlis. Kelihatan juga Gunung Gedong dan Gunung Ulu Kechau di sebelah selatan.

Sepanjang perjalanan turun menuju ke Kem Bukit Botak, kami dijamu dengan pemandangan yang cukup indah.


PANORAMA kawasan pergunungan pada waktu pagi dari puncak Tahan.


Ini bermakna kami perlu berjalan sejauh 19 km. Kami selamat sampai di Kem Kor pada pukul 8 malam.

Hari kelima: Kami turun ke Kem Kuala Juram dengan jarak sejauh 13 km. Setelah mengharung perjalanan selama empat jam mengikut trek yang sama semasa mendaki, kami akhirnya selamat sampai ke Kuala Juram.

Setibanya di Pejabat Taman Negara Sungai Relau, aktiviti terakhir kami adalah acara penyampaian sijil yang menandakan kejayaan kami menjejakkan kaki ke puncak Gunung Tahan.