Dua pertiga laman Desmond

Mereka landskap bukanlah tentang beberapa tumbuhan berpasu. Ia dijelaskan pakar landskap, Desmond sebagai gabungan alam semula jadi, latar belakang diri dan cara manusia beradaptasi dengan alam.




BERBEKALKAN latar belakang keluarga daripada keturunan Baba dan Nyonya serta pengalaman hidup di tengah-tengah kelompok perkampungan Melayu, pereka landskap dan Pengarah Urusan Terra Garden Sdn. Bhd., Desmond Ho, 46, menjadikan kedua-dua sumber itu tonggak setiap interpretasi dalam prinsip rekaannya.

“Memiliki latar belakang itu seperti diberi satu keistimewaan. Isteri saya pula daripada keluarga Chitty, iaitu kaum India versi Baba dan Nyonya di Melaka.

“Jadi saya berada di tengah-tengah asimilasi banyak komponen bangsa dan budaya. Langsung, ekspresi seni rekaan yang berunsur etnik datang secara semula jadi,” ujarnya yang yang banyak menerapkan konsep Neo-Nusantara di laman rumahnya.


KIRI: BALKONI yang mengunjur keluar menyumbang teduhan di bahagian bawah rumah.
TENGAH: UMPAMA spa.
KANAN: KONSEP ruang rehat terbuka yang membolehkan segala aktiviti dalam rumah dilakukan di luar rumah.


Sebuah bangku unik di depan banglo dua tingkatnya menyambut kedatangan krew Jurnal. Diletakkan di sebelah sebuah kolam buatan, kuda-kuda dengan kemasan wood stain itu kelihatan sebati dengan persekitaran yang menghijau.

“Ini kita panggil kuda-kuda cinta. Bangku tidak formal dengan dua tempat duduk ini hasil inspirasi sebuah kukur kelapa tradisional.

“Dalam kehidupan moden hari ini, kuda-kuda seperti ini membolehkan kita membuat kerja menggunakan komputer riba di mana-mana saja, termasuklah di laman luar rumah,” kongsi anak kelahiran Melaka itu.

Air pancut Dayang Bunting

Di laman depan itu juga terdapat air pancut yang keluar daripada sebuah pasu gergasi berukir.

“Kami namakannya Dayang Bunting. Di Indonesia dan Thailand juga ada pasu seperti ini tetapi rekaan mereka berbeza.

“Di Thailand, pasu diletakkan bertingkat dan air tumpah dari satu pasu ke dalam pasu di bawah. Di Indonesia pula, air dibiarkan melimpah keluar dari pasu yang telah penuh.

“Namun, pasu rekaan kami ditutup bahagian mulutnya dan air dipaksa keluar menerusi laluan yang lebih sempit di tengah-tengah pasu itu,” dedah Desmond, sekali gus menjelaskan teknik di sebalik air yang memancur tinggi dari tengah-tengah mulut pasu itu.


KIRI: VARIASI lampu obor yang digantung pada dahan pokok memberi efek magikal pada waktu malam.
TENGAH: TRADISIONAL di luar, kontemporari di dalam, Desmond bijak menyulam tema lama dan baru.
KANAN: KUDA-KUDA CINTA yang ditemui di depan banglo dua tingkat Desmond di Bukit Rimau.





Kediaman Desmond banyak menerapkan unsur rumah tradisional Melayu Melaka. Dari tangga batunya yang dihiasi jubin berbunga sehinggalah kepada ukiran-ukiran bermotif bunga rebung dan paku-pakis di beberapa bahagian di dalam rumah ini.

Malah, sebuah wakaf di perkarangan rumah turut direka dengan bumbung gaya tradisional Melaka.

Desmond juga memperkenalkan kekisi rekaan syarikatnya di sebahagian besar sudut rumah ini.

“Kami gunakan motif pada kain pelikat untuk mereka kekisi ini. Biarpun beridentiti tempatan, rekaan ini mendapat permintaan yang tinggi di luar negara,” katanya yang diberi gelaran ‘Banana Man’ kerana berjiwa Cina di dalam tetapi Melayu Nusantara dalam prinsip rekaannya.

Susunan silang berganda itu membantu mengurangkan kesan pencahayaan berlebihan. Pada masa yang sama ia membenarkan udara bergerak melaluinya. Lantaran itulah, memasuki rumah pereka landskap ini terasa seperti melangkah ke dalam sebuah spa.

Namun, lebih daripada sekadar suasana nyaman, pemandangan laman rumah Desmond sangat menarik perhatian kami.

Menempatkan sebuah kolam mandi tertutup di tengah-tengah laman, taman yang mengambil dua pertiga daripada luas keseluruhan tanah itu dihias indah.

Pangkin penyeri

Balikan imej pokok-pokok hijau yang merimbun di permukaan kolam menggandakan kesegaran. Melihat pokok yang menjadi pilihan, Desmond ternyata cukup fasih tentang tumbuh-tumbuhan.


WAKAF dengan bumbung gaya rumah Melaka lama menyuntik elemen tradisional pada landskap Neo Nusantara rekaan Desmond.


Pokok berbunga merah, Indian Coral Tree, contohnya, dibiar tumbuh betul-betul di atas kolam. Tatkala bunganya berguguran, ia jatuh di atas permukaan air bak perhiasan semula jadi yang cukup menawan.

Bunyi air pancur mengalir di beberapa bahagian taman tambah membuai rasa.

Lantai tanahnya ditutup penuh dengan rumput permaidani. Sekali-sekala kelihatan kepingan batu putih bersusun meninggalkan jejak laluan.

Satu lagi kepakaran Terra Garden ialah membuat pangkin yang selalunya mengiringi kolam ikan di taman.

Menurut Desmond, taman-taman atau landskap tidak sepatutnya dibentuk melalui pembelian spontan.

“Contohnya, saya lihat ramai individu yang membeli tumbuhan berpasu tanpa merancang cara untuk menghias taman mereka.

“Apabila balik ke rumah, cara paling lazim mereka gunakan ialah dengan menyusunnya dalam satu barisan lurus. Hasilnya, mereka mendapat sebuah taman rojak atau taman tanpa jiwa,” komen Desmond bersahaja.

Lelaki ini mengakui, kebanyakan orang Malaysia gemarkan tumbuh-tumbuhan kerana mereka berasal dari kampung.

“Tetapi dalam mereka taman atau landskap, masih terlalu ramai yang membuat silap kerana tidak merancang. Ia bukan sekadar tentang pokok sebaliknya melibatkan lebih banyak faktor,” ujarnya.


SUASANA santai dinikmati Desmond bersama ahli keluarga di ruang tamu luar rumah. Dari kiri, Annie, Darren, Rina dan Desmond.


Apabila mereka ruang rehat terbuka atau di luar bangunan, perkara pertama yang perlu dilakukan, kata Desmond, ialah menghormati alam semula jadi.

“Kita boleh mengubah kedudukan bangunan, tetapi tidak alam semula jadi. Adakah ada cara untuk mengubah arah matahari jatuh? Tetapi kita juga tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kita hidup pada zaman moden.

“Jadi, walau sekuat mana pun kita hendak berpegang kepada tradisi, ia perlulah praktikal dengan zaman sekarang,” ujarnya.