Matang meniti usia 40 tahun

Zaimah dan Jama’iah menyimpan kisah yang berbeza tetapi kedua-duanya berkisar tentang sebuah majalah iaitu Wanita.




JARI-jemarinya lembut membersihkan habuk pada sekeping gambar yang disimpan rapi di dalam sebuah bingkai berwarna kelabu metalik. Sesekali bibir nipisnya itu mekar dengan senyuman. Barangkali foto tersebut telah membuka memori lampaunya.

"Inilah saya. Wanita yang berada di tengah itu Alice Yoong manakala yang seorang lagi, Janet Mok," terang Zaimah sambil menunjukkan gambarnya yang menghiasi kulit wajah pertama majalah Wanita.

Barangkali, tuah berpihak kepada wanita ini yang terpilih menjadi penghias pertama kulit wajah majalah Wanita.

"Dipilih sebagai penghias kulit wajah pertama Wanita pada usia 20 tahun, merupakan detik indah buat saya. Saya bukanlah sesiapa pada waktu itu dan hanya berkhidmat di salah sebuah agensi pelancongan dan model sambilan.

"Kaget dibuatnya apabila pihak redaksi majalah memberitahu bahawa saya dipilih sebagai salah seorang penghias kulit.

Sebelum ini saya hanya tampil dalam ruangan fesyen tetapi kini di kulit wajah majalah. Pada sesi penggambaran tersebut saya bersolek ringkas, membiarkan rambut mengurai dan menggayakan busana rekaan sendiri," ujar Zaimah Alias, yang digandingkan bersama Alice Yoong dan Janet Mok.

Terjual 40,000

Gandingan mereka bertiga berjaya menarik minat pembaca sehingga keluaran pertama terjual sebanyak 40,000 naskhah.


ZAIMAH (kiri) pada tahun 1969. ZAIMAH sekarang.


Wanita berdarah campuran Scotland sebelah ayah dan Cina-Jawa sebelah ibu membuatkan ibu kepada empat cahaya mata itu menjadi rebutan pelbagai jenama fesyen dan pengiklanan.

Jadi, tidak hairanlah Zaimah yang dibesarkan di Kuala Lumpur, kerap menghiasi ruangan fesyen Wanita dan terpilih sebagai model iklan cetak dan kalendar.

"Pada waktu itu, industri fesyen tempatan amat memerlukan barisan model wajah kacukan. Ini tidak bermakna merendah-rendahkan kebolehan dan kejelitaan model kaum Melayu, Cina mahupun India. Cuma mereka ingin menampilkan seleksi wajah yang pelbagai di ruangan fesyen dan iklan.

"Namun ada syaratnya. Sebaik-baiknya model berdarah kacukan yang dicari haruslah anak kelahiran tempatan, bukannya warganegara asing. Berlainan pada fenomena peragaan pada hari ini. Rata-rata pertunjukan fesyen bagaikan wajib menggunakan khidmat model antarabangsa," luah bekas pramugari Malaysia Airlines System (MAS) itu.


SEBAHAGIAN wartawan Wanita selepas majlis meraikan Tun Fatimah Hashim sebagai menteri wanita pertama negara pada tahun 1969.





Saban tahun menjelang 13 Ogos, perasaan sedih dan gembira Zaimah singgah. Pada tarikh inilah beliau meraikan dua peristiwa penting yang akan dikenang selama-lamanya.

"Jika 13 Ogos lalu saya dijemput bagi meraikan ulang tahun Wanita yang ke-40, pada hari yang sama ia merupakan tahun kesepuluh pemergian anak ketiga saya, Idi Sohail yang dijemput Illahi pada usia 18 tahun," kenang Zaimah. Sohail meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Rutin

Rutin kehidupan isteri kepada Leftenan Kol. (B) Khairudin Dahlan itu pada hari ini banyak meluangkan masa bersama empat orang cucu mereka. Zaimah dan suaminya juga kerap melancong ke luar negara.

Dalam pada itu, Zaimah yang ditemui di kediamannya di Kelana Jaya turut menyentuh mengenai keadaan wanita dulu dan kini.

Zaimah memberitahu: "Walaupun Wanita terpaksa bersaing dengan puluhan majalah berkonsepkan wanita, saya dapati Wanita terus unggul dan produktif. Wanita tidak pernah tersasar daripada landasan asal dan sentiasa melakukan penambahbaikan.

Sementara itu, pembaca setia Wanita yang merupakan antara pengumpul tertinggi majalah itu, Jama'iah Suhaili, 55, bingung memikirkan mengapa setiap bulan, pekedai runcit berhampiran rumahnya sibuk melayan pelanggan wanita. Mereka bukannya membeli barang mahupun membayar hutang tertunggak, tetapi singgah semata-mata untuk mendapatkan sebuah majalah.

Lantas, atas rasa ingin tahu dia mengatur langkah ke kedai runcit tersebut. Hati kecilnya berdetik saat memandang koleksi majalah yang memaparkan wajah penghias kulit yang jelita.

Apakah istimewanya majalah itu?

"Sebelum ini, saya tidak menghiraukan langsung Wanita walaupun jiran-jiran sibuk memperkatakan tentang isi kandungannya.

"Sebabnya, pada awal kemunculan Wanita di pasaran, saya baru berumur 14 tahun. Masih bersekolah dan remaja. Saya beranggapan Wanita barangkali tidak sesuai dibaca oleh golongan muda," jelas pembaca setia majalah Wanita, Jama'iah kepada Kosmo! ketika ditemui pada majlis ulang tahun Wanita baru-baru ini.

Jatuh hati

Namun segala-galanya berubah selepas Jama'iah menamatkan pengajian peringkat menengah di Kuching, Sarawak. Sementara menunggu keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan tawaran pekerjaan, Jama'iah gemar mengisi masa lapang dengan membaca pelbagai jenis buku dan majalah.


KULIT wajah dan konsep majalah Wanita sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.


Ibu kepada tujuh orang anak itu kalah untuk membeli Wanita, yang tidak putus-putus mendapat sambutan.

Selepas memiliki majalah tersebut yang dijual pada harga RM1, Jama'iah terus jatuh hati. Dia sama sekali tidak menyangka Wanita sesuai untuk bacaan pelbagai peringkat umur.

Isu yang diketengahkan berkait rapat dengan kehidupan seorang wanita. Rencana yang disiarkan pula banyak memberi semangat dan meningkatkan keyakinan wanita.

Jika sebelum ini wanita tidak mengetahui atau menyedari hak mereka, kini segala-galanya boleh dipelajari menerusi Wanita.

"Seingat saya sekitar tahun 1973 ruangan Mutiara Kata paling terkesan di hati. Bait-bait kata yang disiarkan pada setiap bulan banyak mengajar wanita supaya berani, cekal dan tabah menjalani kehidupan.

Keyakinan diri

"Keyakinan diri saya juga semakin meningkat. Kehidupan menjadi lebih baik dan positif," ujar Jama'iah yang menggemari kolum fesyen, dekorasi, isu semasa dan resipi.

Pada masa yang sama, Jama'iah yang pernah berkhidmat di Hotel Crown Plaza, Kuching, selama enam tahun tidak ketinggalan membaca paparan rencana yang mengisahkan kejayaan seseorang wanita.

Rencana tersebut banyak mengajar golongan wanita supaya bijak menguruskan masa antara kerjaya dan keluarga.

"Wanita segala-galanya bagi saya. Kini, saya sudah memiliki hampir 432 keluaran majalah sejak membelinya pada tahun 1973.


PENGARANG Wanita, Normala Hamzah (kiri) bersama salah seorang peminat setia Wanita Roziah Che Mat pada satu pertemuan di Taman Sejahtera, Sungai Petani, Kedah.


"Setiap bulan saya tidak terlepas membeli Wanita. Sekiranya tidak berkesempatan untuk membeli, saya akan meminta bantuan teman-teman dan ahli keluarga," kata Jama'iah yang menyimpan koleksi Wanita di rak buku yang diletakkan di dalam kamar tidurnya.

Tambahnya, himpunan majalah tersebut sengaja diletakkan di dalam bilik tidur supaya ia sentiasa berada di depan mata.

"Selain kerap membersihkan himpunan majalah daripada habuk, sebelum tidur saya akan membaca Wanita terbitan tahun 80-an dan 90-an," ujarnya.