Syair seorang perempuan

Ungkapan kata adalah antara hal yang akan menjadikan sesebuah sajak itu terkesan. Hal itu, walaupun ada pada himpunan sajak buku kecil itu, namun ia masih minimum.




Akulah Perempuan Muda Itu

Penulis:Shaira Amira

Penerbit: Sang Freud Press

Tahun: 2009

Jumlah muka surat: 84

Di dalam Perisa, Jurnal Puisi Melayu Bilangan 6 (1998), Sutung Umar RS menulis nota pengarangnya tentang satu peristiwa mengenai Allahyarham Usman Awang.

Menurutnya, pada majlis bacaan puisi untuk Usman Awang di Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur, Usman hanya mengirimkan kaset bacaan puisi beliau dan juga komen ringkas (atas faktor kesihatan) untuk diperdengarkan kepada penonton. Baha Zain pula memberitahu, Usman menyatakan bahawa puisi pada waktu itu (mungkin sampai sekarang) adalah 'kurang jantan'.

Maksud kata-kata itu, mungkin Pak Usman sahaja yang betul-betul mengerti. Tetapi pada waktu itu kita boleh menanggapi permasalahan daripada pelbagai sudut yang longgar.

Keras

Jantan mungkin bermaksud puisi keras, mungkin juga sebuah puisi yang sarat dengan kritikan atau paling kurang kejantanan sesebuah puisi itu mungkin akan lahir daripada seorang lelaki yang menulis sajak-sajak dengan nada yang berani.

Semua penyataan itu jangan pula dibaca secara literal kerana maksudnya terselindung dan memerlukan pemahaman yang lain untuk diselami.

Tetapi, apabila membaca himpunan sajak-sajak Akulah Perempuan Muda Itu, tulisan seorang perempuan yang berusia awal 20-an, Shaira Amira membuatkan penulis secara di bawah sedar membayangkan kata-kata Pak Usman tadi.

Namun, penulis mahu lontarkan dalam suara dan nada yang berbeza. Dalam imaginasi yang berseloroh, penulis bertanyakan soalan itu: "Bagaimana mencari kejantanan puisi yang ditulis oleh seorang perempuan?" Atau, saya sebenarnya tidak sabar untuk menilik jantina sajak-sajak di dalam buku kecil dan nipis itu untuk belajar merasakan emosi yang mungkin terkandung di dalamnya?

Perasaan

Membaca sajak-sajak Shaira Amira seolah-olah memasuki dunia kelemasan. Buku itu menyimpan perasaan dan dunia Shaira yang lemas dalam diri sendiri dengan kebanyakannya menghamparkan kisah cinta yang entah betul atau tidak pernah hadir di dalam imajinasinya.

Bayangkan perasaan yang terluah daripada potongan sajak yang diberi judul Hey Anjing! Ini iaitu 'anjing /jilati tubuhku/biar aku rasa /lendir liur busukmu/manusiakan cintamu / dibelakang aku...'

Ada nada suara marah, geli, jijik dan hina yang mahu dibicarakan daripada petikan itu, tentang cinta. Kekecewaan sebegini juga menemukan pembaca dengan bait penamat yang tanpa kudrat menyerah kepada cinta dengan segala kelemahan dan ketidakberdayaan hati untuk terus segar.




Ini dicoretkan pada penghujung sajak Simpankan Bendera Putih Ini. Lihat sahaja bait-bait sajak itu: "Lalu torehkan saja/ derakan saja/henyakkan saja/hati ini. Aku rela."

Dengan sajak-sajak sebegini, perkara yang paling mudah untuk dinikmati adalah keliaran (diri atau imaginasi) yang menghuni buku itu manakala tunjangnya masih lagi menyentuh hal-hal cinta personal. Tidak jarang juga perlambangan seksual dengan kata misalnya ranjang, desah, gersang dan seangkatan itu berselerak yang cuba menghambat serta membangun imaginasi yang mudah bersarang dalam minda pembacanya.

Ungkapan kata adalah antara hal yang akan menjadikan sesebuah sajak itu terkesan. Hal itu, walaupun ada pada himpunan sajak buku kecil itu, namun ia masih minimum dan banyak rima mendatar.

Pengalaman

Dari satu sudut, sajak-sajak itu meneroka yang mungkin sedikit luar biasa berbanding dengan pengalaman sajak yang pernah khalayak umum alami. Ia mengambil kira buku berkenaan sudah diterbitkan dan berlegar bebas untuk disambar sesiapa pun. Sebagai seorang muda yang menulis puisi, Shaira menunjukkan keberaniannya untuk memperihalkan dan menyebut hal-hal yang 'mengganggu' norma terutama kepada penikmat puisi format arus perdana Malaysia, walaupun sebenarnya itu bukan perkara baru.

Dari satu sudut lain pula, sajak-sajak itu seperti terkepung di dalam ruang yang sudah disiapkan oleh imaginasi penulisnya, ditambah pula usia dan pengalaman persekitarannya.

Kita tidak akan bertemu perihal yang melebihi daripada apa yang digomol oleh anak muda itu dalam dunia persendirian dan segala macam kacau-bilau perasaan. Itu juga akan menjadi lebih terkesan jika intimasi antara sajak dan penulisnya mengambil posisi yang lebih telus dan tanpa malu-malu.