Saya janji - Rooney


ROONEY (tengah) mahu terus menabur bakti di Old Trafford.


LONDON - Penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney berjanji kepada peminat The Red Devils bahawa dia tidak akan mengikut jejak Cristiano Ronaldo.

Janji tersebut pastinya sesuatu yang amat bermakna bagi peminat United tatkala bintang England itu meraikan ulang tahunnya yang kelima di Old Trafford.

Rooney, 23, kini menjadi tonggak paling utama United sejak Ronaldo menyertai Real Madrid awal musim ini.

Setelah meledakkan lima gol buat United musim ini, Rooney menegaskan, dia akan terus menyumbang lebih banyak gol buat The Red Devils.

"Saya selalu katakan bahawa saya sayangkan kelab ini dan selagi saya diperlukan di sini, saya akan terus bermain di sini. Tiada satu sebab pun untuk saya meninggalkan kelab ini.

"Saya telah dapat segalanya yang saya mahu. Keluarga saya tinggal hanya 30 minit dari sini, saya juga selesa di sini dan secara jujurnya saya sendiri tidak dapat gambaran yang saya akan pergi melainkan pengurus mahukan saya pergi," kata Rooney.

Untuk rekod, Rooney telah meledakkan 102 gol buat United sejak pengurus, Alex Ferguson membawanya dari Everton pada Ogos 2004.

- Agensi