Berang bila dilarang berniaga


SEORANG lelaki memarahi Wei Aik (kanan) yang cuba
mengusir sekumpulan peniaga Bazar Ramadan di kaki lima Jalan Penang, George Town semalam.


GEORGE TOWN – Bazar Ramadan Jalan Penang dekat sini cukup sinonim dengan masyarakat Melayu Pulau Pinang sejak 24 tahun lalu.

Selama ini, para peniaga menjual pelbagai barang, kuih-muih, juadah berbuka serta persiapan menyambut perayaan dengan lesen sementara yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).


SEKUMPULAN peniaga membuat bantahan terhadap MPPP kerana
dilarang berniaga sempena Ramadan di Jalan Penang, George Town
semalam.


Bagaimanapun, tradisi selama 24 tahun itu terhenti apabila MPPP menghentikan pengeluaran lesen atas alasan Bazar Ramadan di situ mengganggu kelancaran lalu lintas.

Tindakan MPPP itu dianggap oleh para peniaga sebagai berat sebelah kerana mereka mendakwa, pihak berkuasa tempatan itu hanya ‘menutup sebelah mata’ dengan membiarkan ratusan penjaja haram berniaga di kaki lima bandar ini sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.