Ramadan cara Tan Sri Jojo


JOJO (berdiri) berbual mesra dengan pengarah terkenal, Yusof Haslam dan isteri, Datin Fatimah Ismail.


YANG baru diraikan, yang lama tidak dilupakan, itu tandanya hidup penuh muafakat walaupun setiap hari kita dihambat dengan beban tugas yang tidak pernah selesai.

Setiap kali menjelangnya Ramadan, setiap kali itulah seniman dan seniwati legenda Jalan Ampas diraikan dalam sambutan majlis berbuka puasa di Restoran Teater Saloma, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Masuk tahun kelima penganjuran, Restoran Teater Saloma sekali lagi kembali dengan wajah penuh ceria, penuh emosi dan hilai-tawa apabila dipenuhi dengan puluhan artis veteran pada majlis berbuka puasa baru-baru ini.

Sesuailah dengan namanya, Restoran Saloma, rakan-rakan Allahyarham Puan Sri Saloma dan Tan Sri P. Ramlee antara undangan wajib yang menjadi barisan tetamu kehormat acara berkenaan.

Bukan sekadar mencuri tumpuan media atau acara tetap mencari publisiti, pemiliknya Restoran Saloma, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir menjelaskan, acara sebegitu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim para artis veteran, bukan hanya sesama sendiri bahkan seluruh keluarga mereka.

"Masing-masing juga jarang bertemu sebab sudah tidak aktif dengan aktiviti seni, kalau tiada majlis sebegini mungkin tiada peluang bagi mereka untuk bertanya khabar.


ARTIS seperti Zaiton Sameon, Azlina Aziz dan Nassier Wahab antara yang memeriahkan majlis berbuka di Restoran Teater Saloma.


"Setiap tahun juga, ada sahaja artis veteran yang meninggal dunia, sebab itulah saya rasa majlis ini harus diteruskan," jelas Syed Yusof atau lebih dikenali dengan nama popular beliau, Tan Sri Jojo di kalangan orang media dan industri hiburan.

Dalam setiap majlis artis biasanya hanya akan ditemani pembantu peribadi, pengurus atau seorang pengiring tetapi suasana berbeza di majlis berbuka puasa di Saloma Theatre. Para artis yang dijemput bukan hanya ditemani seorang pengiring bahkan seluruh keluarga turut diundang dan mendapat layanan sama rata.

"Tahun ini lebih 50 orang veteran berjaya dihimpunkan. Saya tubuhkan restoran ini juga kerana mahu ia menjadi tempat perkumpulan para artis veteran agar mereka dapat bertemu.

"Di sini para seniman veteran dan artis akan diberi keistimewaan, itu janji saya," jelas Jojo ceria kerana hasratnya mahu menghimpunkan para artis veteran melepasi jangkaan asal.

Tidak hanya berbuka puasa, majlis berkenaan tidak sah tanpa acara penyampaian duit dan hamper raya kepada hampir seratus tetamu jemputan khususnya para artis veteran yang hadir.

Antara seniwati dan seniman veteran yang hadir termasuklah seniwati Mariani, Datuk Jins Shamsuddin, Sofea Ibrahim, Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado dan Seniwati Datin Umi Khaltom.

Lebih menyeronokkan, ada yang hadir bersama suami, isteri, anak-anak serta cucu membuatkan majlis itu kelihatan seperti sebuah keluarga besar.

Majlis anjuran bersama Utusan Karya Sdn. Bhd. itu tidak hanya dihadiri artis veteran, penyanyi terkenal Jamal Abdillah, Dia Fadila serta bintang filem yang sedang popular, Lisa Surihani antara yang turut menjadi penyeri.

Jarang muncul di majlis hiburan, penyanyi Wajah Siapa Di Hatimu, Azlina Aziz yang sudah sekian lama menyepi berkata, dia berasa seronok kerana sudah lama tidak berjumpa kawan-kawan lama.


KIRI: Zur Eda, Rohana Jalil, Dia Fadila dan Salamiah Hassan memberikan pose istimewa pada majlis berbuka puasa bersama Seniman dan Seniwati Restoran Teater Saloma.


"Semua ini dapat mengingatkan semula kenangan manis waktu saya bersama mereka dulu. Kalaulah arwah ayah dan ibu (Aziz Jaafar dan Normadiah) masih ada, tentu mereka juga akan turut serta dan paling gembira," kata Azlina yang turut ditemani abang dan kakaknya.

Bukan saja seniman dan seniwati veteran sahaja, artis-artis terkenal era 70-an serta 80-an juga turut diundang sama menjadikan suasana lebih meriah.

Mereka termasuklah Azean Irdawaty, Wan Maimunah, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman, Zur Eda, Nassier Wahab dan Azizul Khamis.

Tidak ketinggalan Datuk Yusof Haslam, Hail Amir, Uji Rashid, Halil Chik, Zaleha Hamid, Salamiah Hassan serta Datuk Shake yang kebetulan berada di Kuala Lumpur selepas sekian lama menetap di Perancis.