Merintis e-book berwarna

Cukup membanggakan apabila syarikat tersebut, Enmac Technology (M) Sdn. Bhd. berjaya merintis e-book berwarna ketika syarikat-syarikat yang lain hanya mampu menghasilkan e-book hitam putih.




ALANGKAH indahnya andai teknologi itu dapat dimanfaat selaras dengan kehendak agama. Biar sejauh mana kita meneroka kehebatan teknologi, namun agama tetap dijunjung tinggi. Lebih bermakna, kalau teknologi itu memungkinkan kita untuk mendalami ilmu agama dan mendampingi sumber rujukan utama, al-Quran.

Ketika dunia dipersembahkan dengan persaingan sengit di antara tiga pengeluar buku elektronik atau e-book, Amazon Inc, Sony dan IBM, sebuah syarikat dari negara ini menghasilkan e-book yang nyata berlainan.


ANTARA produk lain yang berteraskan Islam yang ditawarkan oleh Enmac Technology.


Cukup membanggakan apabila syarikat tersebut, Enmac Technology (M) Sdn. Bhd. berjaya merintis e-book berwarna ketika syarikat-syarikat lain hanya mampu menghasilkan e-book hitam putih.

Lebih istimewa apabila e-book keluaran syarikat Enmac bersifat islamik. Ia mengandungi kitab al-Quran dan terjemahannya dalam 24 bahasa, koleksi lengkap tafsir, hadis dan kitab rujukan Islam, fungsi mudah mencari ayat al-Quran, panduan haji dan umrah, waktu-waktu solat mengikut 10,000 lokasi yang telah diprogramkan, seruan azan, penentu arah kiblat serta panduan haji dan umrah.

Selebihnya, anda boleh memuat turun apa jua bahan bacaan PDF yang anda kehendaki ke dalam e-book itu untuk anda simpan di dalamnya.


TURUT memuatkan pelbagai kitab yang membincangkan bermacam-macam topik yang berkisar tentang agama Islam.



AZAM bersama produk e-book keluaran syarikatnya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Melati, Kuala Lumpur baru-baru ini.



BAHAGIAN luar e-book e-Alim.



DIOPERASIKAN secara skrin sentuh.


Bayangkan berapa banyak kitab, buku dan aplikasi yang boleh anda peroleh hanya dalam satu e-book yang cuma senipis satu sentimeter!

"Menggunakan memori kad SD dua gigabait, ia boleh dinaik taraf sehingga lapan gigabait. Bermakna, ia boleh memuatkan 50 buah buku," kata Pengarah Urusan Enmac, Mohamed Azam Shah Aziz Mohamed kepada Kosmo! di pejabatnya di Taman Melati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Enmac merupakan syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Ia juga mempunyai pejabat cawangan di Emiriyah Arab Bersatu, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Mendakwa e-book e-Alim model EL1000 itu sebagai buku elektronik Islamik pertama dunia dan e-book berwarna pertama di dunia, Azam berkata, EL1000 keluaran syarikatnya itu mendapat sambutan yang luar biasa.

"Banyak syarikat yang berminat. Terdapat juga orang bukan Islam yang berhasrat membeli e-book ini kerana ia e-book berwarna yang tidak mereka peroleh pada e-book keluaran lain," kata Azam sambil memberitahu e-book itu telah dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

EL1000 mempunyai skrin warna LCD bersaiz 7 inci. Ia bukan sahaja menawarkan paparan bacaan, sebaliknya ia juga menyimpan fail audio dan video di dalamnya. Bukan sekadar anda boleh membaca al-Quran, bahkan anda juga boleh mendengar bacaan al-Quran daripada pilihan enam orang qari al-Quran terkenal.

Memandangkan ia turut memuatkan al-Quran, teks al-Quran e-book itu turut mendapat kelulusan Unit Kawalan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.

Dioperasikan secara skrin sentuh, sebagai contoh, untuk mengalih helaian al-Quran, anda hanya perlu melalukan jari ke depan atau ke belakang pada skrin. Mempunyai resolusi 800 x 480 piksel, ia menggunakan bateri cas semula.

Azam memberitahu, syarikatnya mengambil masa selama dua tahun untuk membangunkan e-book berkenaan.

"Syarikat kami mula terfikir untuk menghasilkan e-book pada tahun 2006. Kami tidak mengalami banyak kesukaran untuk menghasilkannya," katanya yang juga merupakan pengasas Enmac.

Azam, 28, mula menubuhkan Enmac pada tahun 2002 dan produk digital al-Quran pertama syarikatnya mula memasuki pasaran pada tahun 2004. Meskipun hanya berlatar belakang pendidikan dalam bidang perakaunan di institut pengajian awam tempatan, anak kelahiran Bentong, Pahang itu membuktikan bahawa dia juga mampu berjaya dalam membangunkan teknologi.

Pada awalnya, dia ingin mengasaskan syarikat pengeluar produk tetikus komputer, tetapi memandangkan penawaran dan permintaan yang tidak seimbang pada masa itu, dia membatalkan hasrat tersebut.

"Tiba-tiba, saya terfikirkan al-Quran. Tidakkah ada bentuk yang lebih mudah untuk merujuknya? Lalu, saya pun mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan ini," katanya.

Setakat ini, syarikatnya telah mengeluarkan 18 model digital al-Quran termasuk iPod, pembantu peribadi digital (PDA) dan komputer riba. Ia juga mengeluarkan enam model telefon bimbit Islamik.

Antara model peranti digital al-Quran dan telefon bimbit yang turut ditunjukkan kepada Kosmo! dalam kunjungan baru-baru ini adalah model MQ1100, MQ3300, EQ300 dan IQ504.

"Model telefon bimbit kami juga mempunyai ciri unik yang menarik iaitu mod auto silent. Pengguna boleh menggunakan mod ini dengan melaraskan tetapan waktu untuk menjadikan telefon bimbit dalam mod senyap secara automatik seperti apabila masuk waktu solat," katanya.