Sazali tak makan rendang

Juara Dunia bina badan elak makanan bersantan pada hari raya. Sazali sanggup ‘berpuasa’ di hari raya.




SAJIAN rendang, ketupat dan lemang merupakan pelengkap Aidilfitri. Ia pasti akan dinikmati pada pagi 1 Syawal.

Namun, atlet bina badan negara, Sazali Samad, 42, berusaha sedaya upaya untuk menjauhinya. Bukan apa, kata Sazali, beliau perlu menjaga permakanannya sebagai persediaan menyertai Kejohanan Bina Badan Dunia di Dubai, November nanti.

Menurutnya, menjaga makan sangat penting untuk mengekalkan kekuatan otot tubuh.

"Raya tahun ni saya terpaksa menumpukan perhatian pada kejohanan itu untuk kategori 70 kilogram.

"Jadi aspek pemakanan mesti dikawal. Tak merasa la nak makan rendang dan kuih raya tahun ini. Saya perlu ambil diet yang tiada minyak dan gula," katanya ketawa.

Tambah Sazali, sebelum bulan puasa beliau makan sebanyak 3,000 kalori sehari, tetapi sekarang kuantitinya mesti dikurangkan lagi.

Sazali memberitahu, bukan mudah untuk mengekalkan gelaran juara jika peserta tidak berdisiplin.

"Untuk mendapatkan kualiti yang lebih baik, saya kena perbanyakkan makan ayam dan daging. Masa bulan puasa lalu, cuma ayam percik yang saya boleh makan. Yang lain tak boleh sentuh langsung.

"Saya juga akan makan sekurang-kurangnya 18 biji telur ayam sehari.

"Dari segi pengambilan makanan tambahan pula, saya kena dapatkan yang terbaik kerana ia turut memainkan peranan penting," kata anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas sebagai penyelia gimnasium di Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia ini.

Malah Sazali juga dilarang mengambil apa saja makanan bersantan yang malangnya merupakan ramuan wajib dalam kebanyakan lauk-pauk hari raya.

Pulang Batu Pahat

Sebenarnya, komitmen Sazali dalam mengharumkan nama negara begitu mengagumkan. Beliau telah terlibat dalam sukan ini sejak berusia 25 tahun dan pernah dinobatkan sebagai juara Mr. Universe sebanyak tiga kali.

"Kena fokus kalau hendak berjaya," ujarnya yang tidak kisah mengorbankan nikmat hari rayanya tahun ini.

Beliau menambah: "Memang sejak dulu saya sambut hari raya secara sederhana. Yang seronok budak-budaklah sebab dapat balik kampung dan main bunga api.

"Tahun ini kami beraya di rumah arwah ibu saya di Batu Pahat. Suasana di kampung lebih meriah dan selalunya semua ahli keluarga akan balik."


SAZALI dan Hashrine menyambut Syawal secara sederhana.


Sazali, anak keempat daripada 11 adik-beradik bagaimanapun berkata, hari raya beliau dirasakan kurang meriah selepas pemergian ibu yang dikasihi.

"Masa ibu masih hidup, saya memang teruja nak balik. Tapi sekarang, balik pun sebab mahu meneruskan tradisi berkumpul ramai-ramai di kampung.

"Lagipun keutamaan saya sekarang ialah kejohanan di Dubai itu. Selepas itu barulah saya boleh 'raya'," katanya yang pernah menyambut hari raya di pentas pertandingan iaitu sewaktu menduduki tempat ketiga Kejohanan Bina Badan Dunia di Republik Czech pada tahun 2006.

Sazali juga sempat berkongsi kenangannya sewaktu kecil.

"Saya rindukan rendang ibu. Dulu masa kecil saya selalu habiskan rendang yang ibu masak.

"Kenangan menziarah dari rumah ke rumah sambil mengumpul duit raya juga tidak dapat dilupakan.

"Lepas beraya, kami akan kira duit dan bandingkan siapa yang dapat paling banyak.

Malam raya

"Malam hari raya juga meriah. Kami adik-beradik akan buat meriam buluh. Kami selalu cari buluh di hutan sebelum menebangnya untuk dibuat meriam. Selepas itu, buluh yang sudah siap dikerat diikat dengan getah basikal.

"Seronok, memang seronok. Rasa takut ada juga sebab selalu dengar orang cedera dan putus tangan akibat main meriam buluh. Tapi Alhamdulillah saya tak pernah cedera," imbaunya.




Isteri Sazali, Hashrine Hashim, 39, berkata hari raya tahun ini hanya tertumpu pada anak-anak. Katanya lagi, persediaan juga dibuat secara berpada-pada.

"Kami sambut biasa sahaja. Barang-barang di rumah pun tak ada yang ditukar baru. Baju raya kami pakai apa yang ada sahaja kerana masih boleh digunakan.

"Dalam bab masakan pula, saya serahkan pada adik Sazali kerana dia memang cekap memasak dan tahu menjaga pemakanan Sazali. Apa yang boleh dan tak boleh, dia tahu. Jadi saya membantu sahaja," katanya yang bertugas di sebuah syarikat swasta.

Biarpun disambut sederhana, Sazali sekeluarga bersyukur kerana mereka masih dapat berkumpul dan meraikan hari raya bersama setiap tahun. - DEWI ABDUL RAHMAN