Kosmo! cenderahati majlis perkahwinan


AB. GHANI (tiga dari kiri) bersama anak dan menantu mengagihkan Kosmo! kepada tetamu di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Sudah menjadi kebiasaan para tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan akan diberikan cenderahati untuk dibawa pulang.

Ada yang memberikan telur, kek, biskut, coklat atau gula-gula yang dimasukkan ke dalam bekas kaca, kotak kertas atau di dalam sapu tangan.

Ia dianggap sebagai tanda terima kasih kerana sudi hadir memeriahkan majlis.

Bagaimanapun berbeza dengan majlis perkahwinan yang berlangsung di rumah pengantin perempuan di Kampung Bukit, Pengadang Buluh di sini semalam.

Pasangan pengantin baru, Masitah Ab. Ghani, 24, dan Hazrizal Muhammad, 24, memilih untuk membuat kelainan dengan mengedarkan akhbar kompak Kosmo!.

Menurut bapa pengantin perempuan, Ab. Ghani Mohd. Noor, 63, sebanyak 100 naskhah akhbar Kosmo! telah diberikan kepada tetamu yang hadir ke majlis itu.

"Ini adalah sebagai tanda terima kasih saya kepada Utusan Melayu (M) Berhad selepas 33 tahun menjadi vendor," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.