Berkorban untuk Marsya


KEHADIRAN anak kedua menambah seri hidup Liza dan Shah.


"NAK kahwin tiada masalah. Tapi selepas kahwin nanti, 'wajib' tinggal sebumbung dengan ibu dan ayah." Itu syarat yang dikenakan bapa penyanyi Liza Hanim kepada Shahrin Mohamed Samsudin (Shah) di awal perbincangan sebelum mahligai dibina enam tahun lalu.

Demi cinta dan janji yang telah dimeterai, Shah menerima syarat itu. Biarpun, pada mulanya dia berasa sedikit kekok kerana setiap hari perlu bersemuka dengan mentua terutama pada saat berbulan madu, lama-kelamaan kehidupan yang dilalui menjadi rutin yang banyak mendatangkan kebaikan.

"Mungkin bagi sesetengah wanita, tinggal bersama mentua boleh mendatangkan masalah. Tetapi bagi lelaki, perkara ini bukan masalah.

"Saya pula bukan jenis hipokrit, depan lain belakang lain. Saya jenis yang tunjuk perangai sebenar di depan sesiapa sahaja. Kalau rasa nak bangun pagi lambat, saya akan bangun lambat walaupun di rumah mentua," ujar lelaki yang pernah popular bersama kumpulan Indigo itu dengan selamba.

Pokok pangkalnya, kata Shah, hormat-menghormati menjadi asas yang mengikat keharmonian keluarga. Shah bertuah kerana hubungannya dengan mentua tidak ubah seperti bapa kandung. Jika ada perkara yang mahu diputuskan di dalam rumah, masing-masing akan berbincang dan saling bertukar pendapat.

Realistik dengan cara hidup berkeluarga, kata Shah, dia pernah ditegur bapa mentua pada awal perkahwinan.

"Dulu, saya suka lepak dengan kawan-kawan sampai tengah malam. Bahkan masa Liza mengandung anak pertama, saya kerap balik lambat sebab main bola. Ada juga dia (bapa mentua) tegur saya 'banyak ke skor hari ini?'.

"Sekarang, kalau fikir balik, rasa geli hati pun ada. Saya dapat merasakan kehidupan keluarga semakin meriah, sebab tinggal sebumbung dengan mentua. Dalam keluarga mentua, Liza adalah anak bongsu, manakala anak sulung kami pula merupakan cucu pertama di rumah ini. Sekarang tambah lagi seorang dengan kehadiran anak kedua. Sudah tentulah meriah keluarga kami," luah Shah berterus-terang.

Jodoh datang awal

Sepintas lalu, itu gambaran kehidupan berkeluarga yang sedang dilalui oleh pasangan penyanyi Liza Hanim dan Shah. Cinta yang berbunga sejak awal perkenalan sekitar tahun 2000, berputik sampai ke jinjang pelamin pada 21 Mac 2003. Sehingga hari ini, cinta mereka berakar umbi dan membenihkan dua zuriat, Marsya Qistina, 6 tahun, dan Marissa Qaireen, 4 bulan.

"Berkahwin dan berkeluarga seumpama satu panggilan yang mengejutkan saya daripada tidur yang lena. Dulu masa bujang, hidup adalah untuk diri sendiri tetapi sekarang, hidup bukan sahaja untuk saya seorang. Tanggungjawab menjadi lebih besar dan setiap hari, saya menjalani proses untuk mematangkan diri," luah penyanyi yang pernah popular dengan lagu Gelisah Mimpi itu optimis.

Ketika hendak melangkah ke gerbang perkahwinan, Liza baru berusia 23 tahun. Ia satu tangga usia yang cukup muda buat seorang penyanyi popular untuk bergelar isteri.

Bagi sesetengah pihak, artis wanita harus mendahulukan karier berbanding cinta, tetapi bagi Liza, cinta yang datang ketika itu tiada alasan untuk ditangkis. Liza buang jauh-jauh fikiran negatif yang menyatakan perkahwinan akan merosakkan karier nyanyian yang sedang memuncak ketika itu.


DUA cahaya mata yang melengkapi kehidupan berkeluarga pasangan penyanyi ini.


"Saya sendiri langsung tidak pernah terfikir bahawa perkahwinan akan memusnahkan karier saya. Apa yang berlaku, orang lain yang menasihatkan saya supaya jangan cepat kahwin.

"Jodoh saya datang awal. Saya terima ketentuan Tuhan dengan rela hati. Lagipun, saya telah bertemu dengan lelaki yang tepat untuk saya. Kalau saya tolak, mungkin dia (Shah) akan menjadi milik wanita lain dan saya akan menyesal," katanya bersulam tawa.

Melihat dua puteri yang sedang membesar di hadapan mata, itulah kepuasan yang tidak mampu dijelaskan dengan kata-kata. Kehadiran Marsya dan Marissa mencipta kegembiraan, kebahagiaan dan semangat untuk mereka meneruskan hidup dengan lebih bersyukur dan gemilang.

Malah Ramadan al-Mubarak yang baru berlalu menjelmakan satu lagi frasa baru dalam kehidupan pasangan Liza dan Shah.

Hati ibu mana yang tidak terusik apabila anak yang membesar dalam pangkuan sudah mula berpuasa buat pertama kali dalam hidupnya.

"Oleh kerana Marsya sudah mula berpuasa, maka rutin Ramadan saya dan Shah berubah secara total. Saya memang tak pernah bersahur sejak zaman anak dara lagi. Kalau saya bangun sahur, esoknya saya akan sakit kepala. Shah pula, setakat bersahur minum air sahaja. Apabila Marsya berpuasa, kami kena berkorban.

"Ya...lah demi anak. Sebagai ibu bapa, kami kena beri galakan dan tunjuk teladan yang baik. Masa berbuka pun begitu juga. Marsya akan minta apa yang dia ingin makan dan kami akan berusaha memenuhinya. Itu lebih baik daripada saya menawarkan upah duit atau baju raya untuknya," kata Liza.

Biarpun anak menjadi harta paling penting buat Liza dan Shah, namun pasangan itu tidak mahu anak-anak menjadikan hubungan mereka semakin hari semakin hilang romantis untuk berdua-duaan.

Mengintai masa romantis dua jiwa berkenaan, Liza dan Shah mengakui mereka sangat mementingkan masa berdua-duaan untuk mengekalkan hubungan yang panas dalam melayari bahtera rumah tangga.


QISTINA dan Qaireen.


"Di rumah, kami adalah suami isteri dan di depan anak-anak, kami adalah ibu dan bapa mereka. Hanya di luar rumah apabila berdua-duaan, barulah kami menjadi pasangan kekasih.

Berdua-duaan

"Sebab itulah, bila ada masa yang sesuai, kami akan keluar berdua, tengok wayang atau sekadar makan. Sekejap pun okey, asalkan ada ruang untuk kami berdua-duaan," kata Liza.

Shah yang mengiyakan apa kata isterinya berkata: "Sekarang, kami ada hobi baru. Kalau rasa nak keluar atau nak habiskan masa bersama, kami akan meronda di sekitar Kuala Lumpur atau Putrajaya dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

"Saya beli motosikal ini semasa Liza mengandung anak kedua. Lepas pantang, saya bawa dia keluar dan beli semua kelengkapan untuk motosikal ini. Rasanya hobi ini, beri manfaat kepada kami berdua. Terasa masih muda pula."

Dari kaca mata Shah, biarpun Liza kini kurang aktif dengan nyanyian dan lebih banyak masa menguruskan perniagaan yang dimiliki bersama, dia tidak merasakan inilah peluang terbaik untuk mengurangkan minat Liza terhadap bidang seni.

Sebagai suami yang juga bekas penyanyi, Shah tidak pernah menghalang Liza untuk terus aktif menyanyi.

"Cuma buat masa ini, dia mahu fokus kepada diri dan bisnes kami," ujarnya.

Melahirkan rasa bangga terhadap Liza, bukan kerana dia seorang penyanyi popular tetapi bagi Shah, dia bahagia kerana memiliki seorang isteri yang melengkapi pakej sempurna.

"Dia penyanyi yang bagus, wanita yang cantik dan sangat pandai mengambil hati orang. Di rumah, dia adalah ibu kepada anak-anak saya serta isteri yang membahagiakan," akhiri Shah.