Tekad curah ilmu




"SEMUA pengalaman dan ilmu yang dikutip sepanjang 21 tahun berada dalam dunia penyiaran, saya curahkan kepada generasi baru dalam bidang ini.

"Kemudian, barulah saya boleh pencen. Kalau tidak, sia-sia ilmu yang saya ada," ujar penerbit rancangan Gadis Melayu siri pertama di TV9, Ezzah Aziz Fawzy, 46, memulakan bicara.

Ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, perjalanan kerjayanya dalam bidang penyiaran bermula sejak 21 tahun lalu.

Ketika itu, Ezzah berusia 23 tahun dan bertugas sebagai wartawan penyiaran di stesen televisyen swasta TV3. Rakan-rakan seperjuangannya waktu itu termasuklah Wan Zaleha Radzi dan Nurfarahin Jamsari.

Sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk muncul di kaca televisyen. Jauh sekali mahu menjadi seorang public figure.

Ezzah bagaimanapun diberi kepercayaan untuk muncul di kaca televisyen sebagai pembaca berita. Menganggap kepercayaan itu sebagai satu peluang keemasan, dia menerimanya dengan hati terbuka.

Laluan kerjayanya dalam dunia penuh glamor itu tidak terhenti di situ. Dia kemudiannya ditawarkan pula untuk menjadi pengacara rancangan terbitan TV3. Ezzah pernah bertanggungjawab mengendalikan rancangan Nona, Majalah 3 dan Wanita Hari Ini.

"Kalau hendak tahu, Aidid Marcelo dan Azwaliza Azman merupakan antara anak didik saya semasa mereka belajar di Akademi TV3 dahulu.

"Melihat kejayaan beberapa anak didik yang kini cukup dikenali, berbakat dan 'menjadi', kakak rasa berbaloi sangat ilmu yang telah dikongsi," kata Ezzah ketika ditemui di restoran miliknya, Kawan Kopitiam yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.


EMPAT daripada lima permata hati Ezzah dan Rezal.


Belakang tabir

Namun kini, wajah ayu yang merupakan isteri kepada Ahmad Rezal Mohd. Esa itu sudah jarang muncul di kaca televisyen sebagai pengantara program. Sebaliknya, Ezzah begitu sibuk menjalankan tugas-tugas di belakang tabir.

Menerbitkan rancangan untuk siaran stesen TV9, terlalu banyak yang ingin Ezzah kongsi dengan pembaca mengenai rancangan terbitannya.

Asalkan konsep rancangan itu berbentuk gaya hidup, itulah 'jiwa' Ezzah. Alasannya, dia mudah terbawa-bawa dengan gayanya mengendalikan rancangan Nona suatu masa dahulu.

"Banyak yang telah saya buat termasuk menerbitkan rancangan untuk bulan puasa dan hari raya. Terbaru, saya akan menerbitkan satu rancangan yang pengacaranya adalah juara Gadis Melayu musim lalu," katanya.

Pemilihan juara Gadis Melayu dibuat kerana ingin membuktikan kepada penonton yang mengikuti rancangan realiti itu bahawa tugasan dalam rancangan tersebut memberi ilmu berguna kepada mereka.

Menyingkap kehidupan peribadi Ezzah, dia sebenarnya telah berkahwin sebelum menjadi wartawan penyiaran lagi. Lelaki bertuah itu ialah rakan sekampus ketika dia menuntut di Amerika Syarikat (AS).

Lima tahun kemudian, barulah pasangan itu dikurniakan cahaya mata pertama, Fatin yang kini berusia 18 tahun. Fatin akan melanjutkan pelajaran ke Australia dalam bidang perubatan, sementara anak bongsunya ialah Alya, 8 tahun.

Keluarga segalanya

"Anak-anak saya semuanya lahir dan sama-sama membesar dengan kerjaya ini. Mereka sudah faham kerja ibunya. Kadangkala, saya bawa anak-anak ke lokasi atau studio, tengok mamanya bekerja.


EZZAH berkahwin dengan Ahmad Rezal sebelum menjadi wartawan penyiaran di TV3.


"Alhamdulillah, suami dan anak-anak tak pernah merungut, malah sentiasa beri galakan. Ini membuatkan saya tidak pernah jemu dengan bidang penyiaran," ujar Ezzah, sambil disapa Alya: "Kenapa mama dah tak keluar TV lagi?"

Membiarkan Alya dengan soalan itu, Ezzah hanya menjeling manja ke arah anaknya yang mungkin tidak berapa arif dengan perkembangan terbaru ibunya itu.

Pada pertemuan itu, Ezzah bersama anak-anak di restoran yang dikendalikan secara sepenuh masa oleh suaminya. Cuma seorang anak lelaki Ezzah tidak dapat bersama dalam pertemuan itu kerana berada di Perak.

Hubungan Ezzah dan anak-anak nampak sangat matang. Si ibu melayan anak-anak seperti rakan, namun anak-anak tetap menghormati kata-kata ibu.

Katanya, setiap seorang anak mempunyai perangai yang berbeza. Tetapi perangai masing-masing itulah yang menjadikan hubungan adik-beradik lebih akrab.

"Saya akui tidak ada banyak masa untuk bersama anak-anak. Jadi, saya ambil pembantu untuk menguruskan mereka. Sungguhpun begitu, pembantu hanya menjaga mereka semasa saya bekerja sahaja.

"Makan minum anak-anak dan suami, saya sediakan sendiri sebelum keluar rumah pada setiap pagi. Kejayaan anak-anak dalam pelajaran hasil daripada dorongan kami. Selain itu, kami hantar mereka ke kelas-kelas tuisyen," ujar Ezzah yang kelihatan anggun walaupun telah mencecah usia 46 tahun.

Cara Ezzah memberi dorongan kepada anak-anak adalah dia akan memberi ganjaran sekiranya mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Misalnya, beberapa tahun lalu, dua orang anak Ezzah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekoleh Rendah (UPSR). Ganjaran yang diberi adalah percutian ke AS.

Dalam percutian selama lebih dua minggu itu, mereka dibawa melawat ke tempat pengajian Ezzah dan suaminya dahulu, Universiti Indiana State.

"Anak-anak teringin sangat nak tengok salji. Kebetulan kami bercuti pada musim sejuk, dapat juga mereka tengok salji sebelum pulang ke Malaysia," kata Ezzah menceritakan pengalaman percutian itu.


EZZAH (dua dari kanan) ketika menjadi juri rancangan realiti Gadis Melayu.


Kawan Kopitiam

Sementara itu, Rezal, berkata, nama Kawan Kopitiam dipilih kerana dia menyukai konsep kawan-kawan yang datang ke kopitiam tersebut.

"Kopitiam ini diusahakan oleh kawan-kawan. Mereka yang datang pun, kawan-kawan. Sebab itu, kami namakannya Kawan Kopitiam," jelasnya.

Berkonsepkan santai, klasik dan eksklusif, Kawan Kopitiam sungguh istimewa. Baik daripada makanan sehinggalah kepada perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan untuk keselesaan para pelanggannya.

Restoran itu juga mempunyai surau dan bilik air. Sementara para pelayan dan tukang masak sama-sama membantu perniagaan ibarat sebuah keluarga. Itulah gambaran boleh diberikan apabila melihat keakraban dan kemesraan mereka ketika sesi fotografi ini dijalankan.

"Ezzah akan turun ke sini bila dia habis kerja. Saya pula jaga restoran ini sepenuh masa. Lagi pun, rumah kami tak jauh. Jadi, tak ada masalah untuk saya menguruskan perniagaan yang baru dibuka setahun lalu," kata Rezal.

Prinsip yang dipegangnya mungkin boleh sama-sama kita amalkan. Jangan letakkan jarak antara bos dan pekerja. Bagaimanapun, hubungan itu perlu ada batasan.

"Jangan sampai kerja dia..., kita pula yang kena buat. Itu pijak kepala namanya," akhiri Rezal, sambil ketawa.