Lebih praktikal dan selesa

Pemakaian lampin kain kini semakin diminati kerana kualiti dan keselesaan yang ada padanya.




PEMAKAIAN lampin pakai buang sudah begitu sebati dengan masyarakat di Malaysia. Ia disifatkan lebih praktikal dan mudah 'diselenggara'. Dalam erti kata lain, ia hanya perlu dibuang selepas menggunakannya.

Namun, tahukah anda bahawa lampin pakai buang si manja anda mengambil masa sehingga 500 tahun untuk dilupuskan? Malah, ia merupakan sumber pencemaran ketiga terbesar di dunia.

Mungkin ada yang terkejut apabila membaca fakta itu. Tetapi ia adalah hakikat yang perlu difahami bahawa lampin pakai buang yang digunakan sememangnya mencemarkan alam sekitar.

Selain itu, lampin pakai buang juga mengandungi beberapa jenis bahan kimia yang boleh memberi kesan negatif kepada bayi anda. Antaranya adalah dioxin iaitu sejenis bahan kimia sintetik, sodium polyacrylate (gel penyerap berbentuk serbuk) dan tributyl-tin (TBT) iaitu bahan pencemaran alam yang sangat bertoksik.

Justeru, dalam menangani masalah itu, banyak pihak mengambil langkah bijak untuk memperkenalkan pemakaian lampin kain yang satu ketika dahulu begitu popular dalam kalangan masyarakat Melayu terutama di kampung.

Jika dahulu mereka menggunakan kain berbentuk empat segi sama dan berwarna putih yang perlu dilipat menjadi seperti lampin dan menggunakan pin besar bagi mengetatkannya, kini semua itu sudah berubah.


PEMAKAIAN lampin kain moden ini mampu menyerlahkan penampilan si manja anda yang mana penggunaan butang membolehkan lampin kain ini dilaras mengikut saiz tubuh bayi..


Pengeluaran lampin kain moden atau disebut cloth diaper (CD) dilihat semakin canggih dan menepati cita rasa ibu bapa yang mahukan bayi mereka selesa dengan lampin yang dipakai.

"Antara sebab lampin kain moden kini semakin diminati adalah kerana cara penggunaannya yang mudah dan praktikal. Di samping itu, ia mempunyai rekaan yang unik dan didatangkan dengan pelbagai corak serta warna untuk si manja kelihatan lebih bergaya," ujar Pengarah Pemasaran AMS Awra Marketing Sdn. Bhd., Alias Mohamed Sharuddin, 32.

Tambahnya, lampin kain yang diedarkan oleh syarikat itu ternyata lebih selamat kerana tidak mengandungi bahan kimia dan tahan lasak untuk penggunaan yang maksimum.

Faktor itu, katanya, telah mendorongnya untuk menghasilkan lampin kain yang moden. Walaupun pada awalnya, Alias sendiri mempertikaikan keinginan isterinya untuk menggunakan lampin kain yang disifatkan lebih jimat, namun akhirnya dia akur dengan perkara tersebut.

"Ketika isteri mencadangkan untuk bertukar kepada pemakaian lampin kain bagi anak kedua kami, saya menjadi penentang utama. Ini kerana saya merasakan semua itu hanya mengikut trend semata-mata.

"Tambahan pula harga lampin kain yang agak mahal iaitu sekitar RM50 hingga RM60 sehelai bagi jenama terkenal. Ini membuatkan saya rasa tidak mampu untuk mendapatkan koleksi lampin kain anak kami.

"Bagaimanapun, dalam diam isteri saya bertindak membeli satu atau dua helai lampin kain setiap bulan menggunakan duit simpanannya sendiri. Akhirnya, dia berjaya mengumpulkan koleksi lampin kain yang cukup untuk kegunaan bayi kami setiap hari.

"Saya hanya menyedarinya apabila isteri sudah beberapa bulan tidak meminta wang untuk membeli lampin pakai buang. Apabila ditanya, barulah dia menunjukkan koleksi lampin kain yang telah dibelinya. Sejak itu, saya dapat rasai perbezaan dalam perbelanjaan. Ternyata penggunaan lampin kain ini lebih menjimatkan dalam jangka panjang," jelas Alias panjang lebar.


ALIAS (kiri) dan Harman yakin produk ini mampu menambat hati pelanggan.






PENGGUNAAN lampin kain jenis velcro amat mudah dan selesa.


Minatnya itu kemudian dikembangkan. Alias bertindak memperkenalkan jenama lampin kain Wuddah dengan menjualnya melalui blog sebelum beroperasi dengan lebih teratur menerusi laman sesawang www.awrastore.com bermula 30 Mac lalu.

Pengeluaran lampin kain jenama Wuddah itu terdiri daripada empat jenis produk yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Jenis A merupakan lampin kain jenis biasa yang menggunakan material fiber. Ia ditawarkan dengan tujuh warna terang seperti oren, merah, kuning, biru, merah jambu, hijau dan ungu.

Jenis B pula sama dengan jenis di atas, cuma apa yang membezakannya adalah rekaan dicetak dengan karakter kartun seperti spongebob, monyet dan bentuk geometrik untuk menyerlahkan lagi lampin kain tersebut.

Lampin kain jenis C pula lebih istimewa kerana menggunakan fabrik buluh yang menjadikan ia lebih lembut dan selesa. Terdapat tiga warna pilihan iaitu putih, biru lembut dan hijau muda. Lampin jenis itu mempunyai kadar serapan yang lebih baik.

Seperti yang diketahui, fabrik daripada buluh mampu bertindak sebagai agen antibakteria dan mampu melindungi kulit bayi dengan baik melalui pengudaraan yang berkesan.

"Lampin ini sering kami cadangkan kepada pelanggan. Ia tidak susut nilai, bahkan setiap kali basuhan, lampin jenis ini akan menyerap kadar basahan dengan lebih tinggi.

"Keistimewaan lain ialah lampin ini mempunyai butang tambahan di bahagian pelapik dalam atau insert untuk memastikan ia tetap berada di tempat yang sama. Ia sekali gus mampu mengelakkan kebocoran lampin," kata Harman Hady Mat Husin yang merupakan salah seorang pengedar produk lampin kain Wuddah di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Jenis D pula lebih dikenali sebagai velcro kerana hanya perlu dilekatkan (zip zap) apabila memakainya. Perbezaannya dengan lampin jenis C adalah ia hanya menggunakan fabrik buluh pada bahagian pelapik, tetapi bahagian luarnya menggunakan fabrik biasa.

Seorang pengguna, Mariatul Liza Meor Gheda, 27, berkata, dia mula menggunakan lampin kain sejak penghujung tahun lalu.

"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan duit yang dilaburkan untuk memiliki koleksi lampin kain jenama Wuddah ini. Anak saya yang berusia dua tahun amat selesa memakainya," kata Mariatul yang merupakan seorang pensyarah.

Bagi Marlinah Kosnin pula, lampin kain itu harus menjadi produk wajib dan perlu dimiliki oleh semua wanita yang mempunyai anak kecil.

"Kualiti yang ada pada lampin kain ini amat memuaskan sekali gus memberi keyakinan kepada pelanggan untuk menggunakannya," ujar Marlinah yang berasal dari Banting, Selangor.


GOLONGAN ibu harus peka dengan pemakaian lampin agar bayi anda lebih ceria dan selesa.


Untuk maklumat lanjut mengenai produk itu, sila hubungi wakil pengedar di talian 012-254 0864 (Cheras), 012-242 6803 (Shah Alam), 013-400 0558 (Bandar Baru Bangi) dan 019-520 8522 / 019-517 1536 (Sungkai, Perak).

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pengedar pula, sila hubungi Alias di talian 013-851 1203.