Muflis punca tak bayar nafkah


AHADIAT AKASHAH


KUALA LUMPUR - "Saya bukan berdendam tetapi saya tidak mahu dianiayai lagi, ini tindakan mempertahankan diri," tegas novelis cinta terkenal, Ahadiat Akashah dalam perbicaraan tuntutan bagi mengubah perintah nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam.

Ahadiat, 44, berkata demikian setelah peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin yang mewakili bekas isterinya, Shahilah Mat Nazir, 38, mencadangkan punca plaintif enggan bayar nafkah adalah kerana berdendam dengan defendan.


SHAHILAH


Menurut Ahadiat yang merupakan plaintif kes itu, sejak diisytiharkan muflis pada 1998, kewangannya tidak menentu menyebabkan dia gagal membayar tunggakan nafkah anaknya, Aishah Akashah, 13, selama 13 bulan berjumlah RM3,900.

Pendapatannya sejak itu, kata Ahadiat, banyak bergantung kepada isteri barunya, Norhayati Mohd. Fauzi yang dikahwini pada 2000 selain royalti novel-novel yang diulang cetak di seluruh negara dengan bayaran purata RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

"Saya tidak pernah kata tidak mahu bayar namun bekas isteri tidak mahu berunding. Kalau saya tidak dapat bayar RM300, saya boleh beri nafkah cara lain seperti ambil anak dari sekolah, beli pakaian atau makan minum," katanya.