Bingung tiada jalan masuk

Apakah jalan penyelesaian bagi 233 pembeli unit kondominium di Paramount View yang tidak dapat menduduki rumah mereka semata-mata kerana tiada jalan masuk ke lokasi tersebut?


PENDUDUK di perumahan berhampiran membantah pembinaan jalan masuk ke kondominium Paramount View di Petaling Jaya, Selangor.


ENTAH di mana silapnya, disebabkan satu-satunya jalan masuk ke kondominium Paramount View di Petaling Jaya, Selangor ditutup, semua pembeli menghadapi masalah untuk mendiami rumah baru mereka.

Walaupun telah siap dibina pada 2006, seramai 233 pembeli unit kondominium yang berharga di antara RM154,000 hingga RM380,000 itu masih tidak dibenarkan menduduki rumah tersebut.

Justeru, timbul persoalan sama ada masalah tersebut berpunca daripada kesilapan pihak pemaju atau Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)?

Namun, apa yang pasti mereka yang menjadi mangsa ialah pembeli yang sudah sekian lama menantikan saat untuk mendiami rumah baru itu.

Bosan kerana terpaksa menunggu terlalu lama, kesemua pembeli unit kondominium kos sederhana itu tekad mengadu masalah mereka kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) bagi mendapatkan penyelesaian berhubung isu tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah sempat meluangkan masa melawat dan berjumpa dengan pembeli kondominium terlibat baru-baru ini.

"BPA terima aduan daripada pembeli pada Selasa (29 September) lalu mengenai kekecewaan mereka yang tidak dapat menduduki rumah sendiri walaupun telah siap dua tahun lalu. Ini kerana satu-satunya jalan masuk telah dihalang oleh MBPJ berikutan bantahan penduduk kawasan perumahan berhampiran.

"Kami telah mengenal pasti dua jalan alternatif iaitu satu milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan satu lagi dimiliki oleh kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, jalan milik TNB tidak selamat untuk digunakan dan membahayakan penghuni kerana ia merupakan tanah rizab yang terletak berhampiran dengan pencawang elektrik.

"Kini, hanya tinggal satu sahaja jalan untuk laluan keluar dan masuk penghuni di kondominium tersebut, iaitu tanah yang dimiliki kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pendengaran Kes berkaitan kondominium Paramount View baru-baru ini.


LALUAN alternatif berhampiran pencawang elektrik milik TNB tidak selamat digunakan.


Tambahnya, oleh kerana pihak yang membantah tidak hadir maka keputusan tidak dapat dicapai kerana pandangan semua pihak yang terlibat perlu diketahui terlebih dahulu.

Sementara itu, seorang pembeli, Zaidi Ismail, 35, kecewa dengan apa yang berlaku. Menurutnya, biasanya ramai pembeli berhadapan dengan masalah rumah terbengkalai, tetapi dia bersama pembeli lain tidak dapat mendiami rumah yang sudah siap kerana masalah kecil.

"Kenapa masalah ini baru timbul selepas projek siap? Kenapa ia tidak dibangkitkan lebih awal ketika pelannya dihantar untuk kelulusan ataupun ketika dalam proses pembinaan?

"Jika penduduk berhampiran membantah kerana laluan masuk itu akan menambah kesibukan trafik berdekatan rumah mereka, pasti ada penyelesaian lain. Contohnya, besarkan jalan atau bina bonggol untuk memperlahankan trafik," ujarnya lagi.

Jelas Zaidi, pihak yang menjadi mangsa ialah penduduk kerana tanpa jalan, Sijil Layak Menduduki (CF) tidak dapat diperoleh dan tanpa CF pula, pemaju tidak boleh menyerahkan kunci.

Seorang lagi pembeli, Tan P. K, 37, amat berharap masalah tersebut dapat diselesaikan segera supaya dia dapat mendiami rumahnya sendiri.

"Sampai sekarang, saya masih perlu membayar sewa, sedangkan saya sudah mempunyai rumah sendiri. Ini amat membebankan," ujarnya.

Dalam pada itu, para pembeli amat berharap agar pihak yang berkaitan dapat membantu mereka menyelesaikan masalah itu sekali gus membolehkan mereka menduduki rumah baru yang telah lama diimpikan.