Lelaki yang hilang

Wanita hilang sudah dianggap biasa, namun banyak kes kehilangan lelaki masih menjadi misteri.




PADA 17 Mac 2001, seramai 20 remaja yang ingin mendalami dunia penulisan kreatif sedang berkumpul di Kuala Lumpur. Mereka menanti untuk bertemu dengan tiga penulis terkenal ketika itu - Hizairi Othman, Siti Rohayah Attan dan H.M Tuah Iskandar.

Bagaimanapun, novelis yang ditunggu-tunggu, Hizairi, tidak muncul-muncul. Siti Rohayah yang merupakan rakan Hizairi sudah beberapa kali mengulang dail nombor telefon bimbit milik jejaka itu namun tiada jawapan.

"Hizairi gagal dihubungi," kata Rohayah. Ada riak kecewa pada wajah-wajah yang hadir.

Rupa-rupanya kekecewaan itu terlebih dahulu dirasai ahli keluarga Hizairi. Bapanya, pensyarah dan sasterawan, Dr. Othman Puteh sebenarnya telah melaporkan kehilangan Hizairi sejak 15 Mac.

Ketika itu Hizairi berusia 31 tahun dan telah muncul dengan karya-karya yang dikagumi termasuk Juktaposisi, Syonagar, Hati Milik Kesuma dan Puteri Gul Bakawali.


HIZAIRI dirindui ramai biarpun selepas lebih sembilan tahun hilang.


Sejak itu, usaha mencari Hizairi giat dijalankan - di tempat kerja, rumah rakan dan tempat yang biasa beliau kunjungi. Namun, Hizairi gagal ditemui. Satu-satunya petunjuk yang ada ialah kereta Citroen milik Hizairi yang ditemui ditinggalkan di sebuah taman rekreasi di ibu kota.

Sehingga kini, selepas sembilan tahun berlalu, Hizairi masih belum ditemui.

Misteri kehilangannya belum dirungkai, malah segala usaha untuk mengesan dan mencari figura yang dianggap permata dunia penulisan tanah air itu belum pernah menampakkan jalan penyelesaian.




Berdoa depan Kaabah

Bagaimanapun, sumber polis memberitahu kes kehilangan lelaki tinggi lampai itu masih dalam siasatan.

Bagi ibu Hizairi, Timah Baba, 61, kehilangan anak sulungnya itu adalah satu tragedi.

"Saya tak boleh nak bercerita mengenai Hizairi lagi. Menyebut namanya saja sudah buat saya sedih," ujar wanita itu ketika dihubungi Jurnal.

Walaupun enggan diasak persoalan tentang kehilangan Hizairi, Timah mengakui hatinya sangat rindu dengan anaknya itu. Hizairi mempunyai empat adik-beradik yang lain.

"Saya sangat berharap dia balik masa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, tapi dia tak balik," akuinya.

Menurut Timah, biarpun hati mereka walang mengenangkan nasib Hizairi, namun ikhtiar untuk bertemu dengan si anak tidak pernah putus.

"Kami cuba mencari, bertanya dengan rakan-rakannya, tetapi tidak berhasil. Dalam solat, kami juga tidak lupa berdoa supaya Hizairi selamat dan dapat ditemui. Sebagai ibu yang melahirkan dan melihat dia membesar, kehilangannya memang dirasai.

"Saya dan arwah bapanya juga pernah memanjatkan doa di hadapan Kaabah, namun sehingga kini tiada khabar berita daripada Hizairi," luahnya.


HIZAIRI tidak kembali biarpun pada hari pemergian bapanya, Othman (kiri) pada tahun 2003.


Paling menyedihkan hati si ibu, pemergian suaminya menjelang usia 59 tahun pada 19 Oktober 2003.

"Masa bapa dia meninggal dulu, saya tunggu Hizairi, harap dia balik untuk tengok wajah arwah untuk kali terakhir tapi saya hampa," keluhnya.

Walaupun sukar untuk menerima kehilangan anaknya itu, Timah tidak menyalahkan takdir sebaliknya menganggap ia sebagai ujian untuk keluarganya.

"Saya percaya Hizairi masih ada, cuma tidak tahu dia di mana. Yang pasti dia hilang dengan cara lain, bukan hilang yang biasa," ucapnya menutup bicara.

Kerisauan Timah itu ada benarnya. Semasa berita kehilangan bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu heboh diperkatakan, banyak versi teori mahupun spekulasi yang timbul termasuk Hizairi dikatakan hilang ingatan.


JENNIFER menunjukkan salinan gambar datuknya yang hilang, Shea Kong Yew di Kuala Lumpur.


Namun, rakan seperjuangan Hizairi dalam bidang penulisan kreatif, Salina Ibrahim tidak pernah percaya pada cakap-cakap yang disifatkan tidak berasas itu.

"Saya mengenali Hizairi semasa menyertai Minggu Penulisan Remaja (MPR) awal tahun 90-an dahulu. Semasa melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM), dia adalah senior saya. Kami juga pernah bekerjasama dalam pertandingan pantun antara universiti.

"Kami mula rapat selepas masing-masing sudah bekerja. Ketika itu saya di majalah Al-Islam manakala dia pula di majalah Massa," cerita editor dan juga novelis ini.




Hizairi di mata Salina

Menyentuh tentang karakter lelaki yang pernah diminati karyanya itu, Salina memberitahu Hizairi seorang yang bertanggungjawab, sopan santun, tidak memburukkan orang, menyokong hasil karya rakan-rakan dan bekerja keras untuk memperbaiki karyanya.

"Hizairi ambil inisiatif mengumpulkan alumni MPR. Kami tubuhkan Kelab Alumni MPR dan Hizairi adalah ketuanya manakala saya merupakan salah seorang ahli jawatankuasa.

"Seminggu sebelum kehilangan Hizairi adalah pertemuan kami yang terakhir. Mungkin sibuk dengan komitmen pengajian pasca ijazahnya, dia mengagihkan tugas-tugasnya kepada kami," katanya.

Salina yang ketika itu baru ditukarkan ke akhbar Utusan Malaysia dimaklumkan tentang kehilangan Hizairi menerusi panggilan telefon daripada seorang rakan.

"Pada mulanya saya tak percaya dia hilang apatah lagi bila ada pihak mengaitkan kehilangannya dengan cerita-cerita yang kurang enak didengar.

"Bila ada yang bertanya tentang Hizairi, saya boleh bersangka baik sahaja. Kalau ada yang kata dia jadi begitu atau begini, saya hanya geleng kepala. Dalam hati saya kuat mengatakan, Hizairi yang saya kenal tidak begitu.

"Dia seorang yang baik dan saya percaya ibu bapanya juga mendidiknya dengan baik," ujarnya yang turut mengenali keluarga penulis.

Bagi Salina, Hizairi pergi bersama bakat penulisan yang dimilikinya.

"Hizairi adalah penulis yang unggul dalam kelasnya. Dek kerana itu, sewaktu dia masih ada, karyanya sering menjadi buruan dan dia memiliki kumpulan pembaca yang kagum dengan hasil ideanya.

"Apabila dia hilang, karyanya juga hilang dan MPR juga sudah tiada tonggak yang giat memperkasakan cabang penulisan kreatif ini.

"Sebagai sahabat saya sentiasa mendoakan Hizairi selamat dan harap dia dapat mencari jalan pulang," tuturnya sayu.

Datuk tidak pulang

Di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, Lee Yong Fong, 86, sedang menanti kepulangan suaminya, Shea Kong Yew, 91.

Ketika krew Jurnal mengetuk pintu kediamannya, terdengar suara serak Yong Fong bertanya dari dalam, 'buka pintu cepat, itu mungkin datuk sudah pulang'. Situasi itu terasa meruntun emosi.

Sebaik sahaja cucunya, Jennifer Cheong Wai Shin, 23, membuka pintu dan memberitahunya 'ia bukan datuk', si nenek menundukkan wajahnya yang kehampaan.


JENNIFER (kanan) mententeramkan neneknya, Lee Yong Fong yang memegang baju yang pernah dipakai suaminya, Kong Yew.


"Masuklah dulu, nenek memang begitu. Dia sangat mengharapkan orang yang ketuk pintu itu adalah datuk," ujar si cucu.

Menurut Jennifer, datuknya sudah hampir tiga bulan tidak pulang ke rumah selepas keluar mengambil angin di kawasan sekitar perumahan mereka.

"Datuk memang gemar ambil angin sambil bersenam di bawah. Biasanya dia keluar di antara 30 minit hingga satu jam, tapi hari itu dia keluar pagi dan sampai malam dia tidak pulang ke rumah," kata Jennifer.

Tambahnya lagi, datuknya seorang pendiam dan keluar berjalan sudah menjadi rutin hariannya. Menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, ia merisaukan keluarga ini kerana Kong Yew keluar tanpa membawa bekalan ubat-ubatan.

"Suami saya sudah uzur, tapi dia tidak nyanyuk sehingga boleh lupa jalan pulang ke rumah. Daya ingatannya juga masih baik.

"Dia boleh ingat nombor telefon beberapa orang yang rapat dan tarikh-tarikh penting terutama temu janji dengan doktor," tukas Yong Fong.

Kong Yew dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 22 Ogos lalu dan sejak itu, keluarga dan kenalan rapatnya berusaha untuk menjejakinya.

"Saya sudah pergi ke lebih tujuh buah hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Saya juga pergi ke rumah orang tua-tua tapi datuk tiada di sana.

"Ada juga orang awam telefon dan beritahu mereka nampak kelibat datuk di Cheras dan stesen bas di Kajang. Saya berkejar ke sana tetapi ia bukan datuk," katanya.

Sedih mengenangkan nasibnya yang juga sudah uzur dan kini tinggal keseorangan, Yong Fong sangat berharap suaminya itu ditemui.

"Ini adalah kali pertama suami saya tidak pulang. Kebiasaannya bila dia keluar, dia akan cakap dia ke mana dan membawa sedikit duit serta kad pengenalan.

"Sebelum dia pergi, pelakuannya seperti biasa, cuma hari itu dia banyak bercakap.

"Tetapi apabila teringat kata-kata ini, 'kalau aku hidup lama mungkin aku akan menyusahkan anak dan cucu', hati saya jadi sedih," ujarnya hiba sambil mengucup baju kegemaran kemeja suaminya.