Dapat pendapatan lumayan


LISA SURIHANI


MENJADI wajah eksklusif Astro bukan satu kekurangan buat kebanyakan pelakon dan artis yang diikat kerana rata-rata mereka menganggap ia satu peluang yang tidak patut dilepaskan begitu sahaja.

Memanglah wajah mereka hanya terhad untuk tontonan penonton stesen televisyen berbayar Astro sahaja tetapi memikirkan pendapatan bulanan yang tetap serta kerjaya yang diaturkan oleh pihak Astro membuatkan mereka tidak menoleh ke belakang apabila ditawarkan kontrak sebagai wajah eksklusif Astro.

Bimbang kontrak - Aaron

Pelakon kacak yang semakin meningkat naik, Aaron Aziz juga tidak menolak kelebihan yang ada pada kontrak wajah eksklusif Astro.

Memandangkan dia berasal dari Singapura, segala permit kerjanya diuruskan oleh pihak Astro sekali gus memudahkan segala urusan di Malaysia.

"Itu salah satu dari persetujuan kontrak ketika saya ditawarkan menjadi wajah eksklusif Astro. Kiranya, Astro umpama majikan dan saya pula pekerja.

"Berbeza ketika saya kerja sendirian, memang agak sukar apabila ia melibatkan dokumen yang banyak. Bukan tidak boleh buat permit sendiri tetapi agak leceh. Jadi bila ditawarkan kontrak bersama Astro semua menjadi mudah," tutur jujur.

Luahnya lagi, sejak bergelar wajah eksklusif Astro jadual kerjanya bertambah tersusun berbanding sebelumnya.

"Sekarang saya boleh tumpukan pada satu kerja dalam satu masa. Jika dulu satu hari saya terkejar-kejar dari satu lokasi drama ke lokasi drama yang lain.

"Memang dulu agak sukar, tetapi nak buat macam mana kerana saya bukan orang Malaysia tetapi mencari rezeki di sini," katanya.

Aaron yang merupakan orang pertama dilantik menjadi wajah eksklusif Astro melalui kempen Megadrama mengakui dia juga bimbang akan nasibnya jika kontraknya bersama Astro tidak diperbaharui.

"Memang saya pernah terfikir tentang masa depan andai kontrak bersama Astro tamat, tetapi saya tawakal kerana apa yang terjadi nanti berada di luar kawalan saya," ujarnya yang telah dua tahun bersama Astro.

Jelasnya, ada juga penerbit, pengarah dan peminat meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat melihat wajahnya di stesen televisyen percuma.

"Memang ada peminat yang tanya kenapa tidak berlakon dengan stesen lain kerana rumah mereka tiada Astro dan secara tidak langsung saya menjadi jurujual dan menyuruh mereka membeli Astro jika mahu melihat saya (ketawa).

"Macam penerbit dan pengarah lain ada juga hubungi saya untuk berlakon drama yang akan disiarkan di stesen lain tetapi saya terpaksa menolak dengan baik dan menganggap sudah tiada rezeki." katanya.

Aaron juga mengakui apabila menjadi eksklusif, kebebasan lakonan juga terbatas hanya di Astro sahaja, bagaimanapun Aaron mengakui cukup selesa dengan apa yang dimiliki kini.

Bebas berlakon filem - Lisa

Buat pelakon muda, Lisa Surihani, dia menerima tawaran Astro dengan lapang dada kerana menganggap tawaran itu bakal mengasahkan lagi bakal lakonannya.

Malah, dia tidak menganggap menjadi eksklusif membataskan perkembangan kerjayanya dalam bidang seni.

"Saya lihat banyak peluang yang diraih sejak jadi wajah eksklusif Astro. Sekarang hanya berlakon, mana tahu pada masa depan saya ditawarkan pula menjadi pengacara program di Astro.

"Meskipun, lakonan saya dalam drama hanya ditonton di Astro, tetapi saya bebas untuk berlakon dalam mana-mana filem. Itu sebab saya terima selain persetujuan daripada pihak pengurusan saya sendiri iaitu Metrowealth (MIG)," katanya.

Selain itu, pendapatan yang diperoleh secara bulanan juga antara penyebab Lisa bersetuju menandatangani kontrak bersama Astro.

"Saya rasa antara faedah yang diperolehi adalah dari segi bayaran yang dibuat melalui perbincangan. Sekarang setiap bulan saya tidak perlu bimbang tentang bayaran yang diterima," ucap pelakon jelita ini.


AARON AZIZ


Amalan di luar negara - Erra

Pelakon dan penyanyi yang digelar primadona filem Melayu Erra Fazira buat pertama kalinya terjun ke dalam drama bersama Astro menerusi drama bersiri Mertua vs Menantu.

Pilihannya itu dianggap tepat memandangkan drama bersiri itu mendapat sambutan di luar jangkaan sehingga memecahkan rating di Astro sendiri.

Kata Erra, sejak bersama Astro, rezekinya dirasakan lebih terjamin serta jadualnya lebih teratur, tidak ada lagi istilah berkejar-kejaran.

"Lebih terjamin bermaksud, contohnya mengikut kontrak dalam setahun saya dikehendaki berlakon tiga telemovie dan dua drama tetapi bayarannya sudah tentu saya dapat kerana dibayar sekali gus.

"Ikut kontrak masing-masing, ada yang nak bayaran dipecahkan kepada bulan-bulan. Terpulang pada persetujuan bersama. Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang diterima dari Astro dan saya harap mereka juga berpuas hati," katanya.

Jelasnya, faedah yang diterima bukan sahaja dari segi imbuhan wang ringgit tetapi juga konsep eksklusif ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana stesen televisyen.

Ucapnya lagi, konsep eksklusif ini sesuai dengan Astro kerana ia stesen televisyen yang berbayar tetapi tidak salah jika konsep ini ingin diguna pakai oleh stesen yang lain.

"Di tempat lain contoh Indonesia, Singapura dan Filipina setiap stesen televisyen mereka mempunyai artis mereka sendiri dan mereka bersaing secara sihat.

"Walau apa pun, konsep eksklusif tetap akan memberikan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak," katanya.