Jangan 'bunuh' kami - Mustard




SIAPA Mustard? Itu persoalan klise yang sering ditujukan kepada ahli kumpulan Mustard dari Teluk Intan, Perak meskipun telah ditubuhkan sejak tahun 1998.

Selepas lebih 11 tahun bersama, Mustard yang dianggotai oleh Faizal Amman (Amman) selaku komposer, vokalis dan gitar; Aswadi Aslah (War-D) sebagai pemain bass; Azmizam Ahmad (P-Sunk) pemain drum dan anggota terbaru mereka iaitu Raja Nadiah (Nad) sebagai pemain keyboard dan biola bagaimanapun tidak menjadikan itu alasan untuk merasa rendah diri kerana tidak sepopular band-band baru.

Bermula apabila sama-sama terpilih mewakili daerah dalam permainan bola sepak lebih 11 tahun lalu, Amman dan P-Sunk kemudiannya menyedari mereka berkongsi minat yang sama iaitu bermain muzik dan mula jamming bersama di Studio Metal Zone, Teluk Intan.

Mustard kemudiannya disertai oleh War-D setahun selepas itu kerana pemain bass asal keluar atas alasan peribadi sebelum Nad melengkapkan Mustard pada bulan Jun tahun lalu.

"Kami band tua yang baru belajar. Mungkin ramai yang masih belum mengenali Mustard, namun kami yakin mampu menapak mencipta nama sekali gus mewarnai industri hiburan tempatan asalkan kami 'tidak dibunuh' dan tidak diberikan peluang langsung," kata Amman kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut kata Amman, tidak adil sekiranya dia dan rakan-rakan Mustard membincangkan isu 'dibunuh' itu secara universal kerana setiap band indie pastinya ada manifesto tersendiri.

Cuma katanya, mereka yang menilai harus sedar bahawa ada kelompok yang berbeza terutamanya melibatkan perjalanan 'pemuzik bawah tanah' yang majoritinya lebih gemar bereksperimentasi dengan muzik berbanding cerita-cerita sensasi di media.

"Ada pemuzik atau band yang memang mahu menjadi artis, manakala ada juga yang 'diangkat' menjadi artis. Itu dua situasi yang berbeza. Bagi kami, tidak adil sekiranya yang 'diangkat' dinilai sama seperti mana mereka yang mahu menjadi artis kerana mungkin mereka masih belum bersedia untuk berubah ataupun berkongsi cerita peribadi bersama masyarakat," katanya.


MUSTARD sudah ditubuhkan sejak tahun 1998.


Ujar Amman, kronisme di kalangan peminat yang tidak mahu menyokong satu-satu band tertentu selepas menyokong band lain juga menyumbang kepada ideologi menghancurkan band tersebut daripada terus bertahan.

"Selain itu, ada juga sikap penganjur gig yang 'berat tangan' untuk membuat bayaran kepada band indie sehingga menyebabkan mereka tidak lagi bersemangat untuk terus bermain muzik. Justeru, band baru harus mengatasi masalah dengan cara mewujudkan jalinan antara band-band lain serta berada di bawah satu komuniti muzik yang sama agar keseimbangan dapat diwujudkan," katanya.

Cinta itu universal

Tempoh 11 tahun berkarya bukanlah sesuatu yang singkat bagi Mustard. Selama itu, perubahan ekpresi peminat memberikan kesan yang cukup besar bagi Mustard dalam menghasilkan karya yang relevan dengan situasi semasa.

Namun mereka tetap tidak meminggirkan konsep mereka yang bergenrekan Harmonic Indie Rock hasil inspirasi pengaruh muzik oleh John Lennon (The Beatles), Ahmad Dhani (Dewa 19), Dave Grohl (Foo Fighters) dan Loque (Butterfingers).

Nama Mustard sendiri, kata P-Sunk, dipilih kerana identiti sos mustard itu yang jelas menggambarkan perjuangan seni mereka yang baru bermula.

"Seperti yang kita ketahui, 'mustard' adalah sos diperbuat daripada biji sawi dan sinonim dengan hot dog tetapi jarang diberikan perhatian berbanding sos-sos lain.

"Tanpa sos mustard, rasanya tidak lengkap hot dog itu dan begitu juga harapan kami kepada mereka yang menyokong kami di luar sana supaya mahu Mustard melengkapkan hidup mereka dengan material-material yang kami hasilkan," katanya.


DARI kiri: War-D, Nad dan Amman dan P-Sunk (belakang).


Walaupun kurang dikenali, perjalanan Mustard boleh dibanggakan sebenarnya. Berjaya mara ke peringkat akhir ROTTW The Road To Soundstage 2008 serta turut beraksi di pentas akhir Yamaha Asian Beat pada tahun yang sama. Mereka kemudiannya sering menjayakan gig-gig selepas itu sebelum menerbitkan extended play (EP) dengan wang simpanan mereka sendiri iaitu 10/Injeksi untuk Emosi. EP itu memuatkan single mereka, Cinta Itu Universal.

"Alhamdulillah, single Cinta Itu Universal mula diputarkan di beberapa stesen radio tempatan seperti X FM dan Suria FM sekali gus membantu mempromosikan kumpulan kami.

"Malah, kami sedang mengorak beberapa strategi seperti memasarkan merchandise rasmi Mustard tidak lama lagi selain menunggu proses produksi video muzik kami siap untuk tatapan umum kelak," kata Nad yang comel.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Mustard, bolehlah berhubung terus dengan mereka di laman sesawang Myspace iaitu http://www.myspace.com/ mustardzone atau di http://www.facebook. com/mustardmusic.