Pencarian model tudung Fareeda


ANDA bebas menggayakan tudung Fareeda mengikut keselesaan sendiri.


BERITA baik buat gadis yang mementingkan penampilan dalam pemakaian tudung. Jika sebelum ini, anda tidak dikenali dan mungkin kurang kreatif dalam penampilan, kini tiba masanya untuk anda mengubahnya dengan menyertai peraduan pencarian Model Tudung Fareeda.

Peraduan yang dianjurkan bersama akhbar Kosmo! itu bermula hari ini. Peraduan itu memberi peluang kepada kaum Hawa untuk menggayakan tudung yang dipakai daripada koleksi tudung Fareeda.


FARIDAH ZAKARIA


Pemilik Fareeda House of Scarf, Faridah Zakaria memberitahu, calon-calon boleh menghantar gambar mereka dengan menghantar borang penyertaan asal ke akhbar Kosmo! yang disiarkan pada hari Isnin dan Rabu setiap minggu.

"Apa yang penting, tudung yang digayakan mestilah daripada koleksi tudung Fareeda. Selain itu, setiap pembaca yang ingin menyertai pertandingan ini harus menyertakan resit pembelian sebagai bukti. Kemudian, mereka perlu menghantar gambar yang menggayakan tudung Fareeda," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


WARNA-WARNA terang turut ditawarkan oleh tudung Fareeda.


Menurutnya, peserta digalakkan menghantar gambar yang jelas dan terang sambil menggunakan kreativiti mereka dalam menggayakan tudung yang dipakai.

Syarat-syarat untuk menyertai peraduan tersebut begitu mudah. Calon mestilah berumur 18 tahun ke atas, hanya menggunakan borang asal yang disiarkan oleh akhbar Kosmo!. Anda juga boleh menghantar lebih daripada sekeping gambar yang dihantar melalui Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) atau melalui pos.

Bagi pemenang mingguan, wajah mereka akan disiarkan pada setiap hari Jumaat di akhbar Kosmo! sehinggalah pertandingan akhir. Pemenang utama akan diumumkan pada 12 Februari 2010.

Bagi hadiah utama, pemenang bakal membawa pulang wang tunai RM3,000 dan 15 helai tudung Fareeda yang bernilai RM2,000.

Hadiah kedua pula berupa wang tunai bernilai RM2,000 dan 10 helai tudung Fareeda yang bernilai RM1,000 tetapi tiada pemenang untuk tempat ketiga. Bagaimanapun, hanya tiga hadiah sagu hati akan diberikan iaitu wang tunai RM500 dan lima helai tudung Fareeda yang bernilai RM500 setiap seorang.

Tudung Fareeda menggunakan nama-nama indah iaitu Suraiya, Raihanah, Fareeda, Rania, Malaeka, Sofiya dan Maisarah.

Faridah merupakan anak kelahiran Singapura dan dibesarkan di Pulau Pinang mula mengembangkan perniagaan tudung yang direka secara menyeluruh selepas membuka sebuah premis di Kajang dan Bangi, Selangor.

Selain pasaran tempatan, tudung Fareeda turut merentasi sempadan seperti di United Kingdom, Qatar dan Singapura, selain mempunyai 150 pengedar di seluruh negara.

Satu keistimewaan tudung Fareeda, mereka yang menggayakan koleksi tudung itu pasti berpuas hati dengan cetakan corak dan penggunaan fabrik, di samping ia mudah dipakai.

Keistimewaan itu terletak pada pemakaiannya yang hanya menyarungkan anak tudung yang dijahit bersama seleksi selendang.

Selepas menyarung tudung tersebut, anda boleh membuat lilitan di bahagian belakang atau memasukkan tudung tersebut ke dalam baju.

Himpunan tudung Fareeda sesuai dipakai oleh golongan wanita dan remaja yang mahu berfesyen.

Harga tudung yang ditawarkan adalah antara RM55 hingga RM200 sehelai.