Serangga buta perosak rumah




PENGALAMAN melihat segerombolan anai-anai yang membaham kertas di dalam sebuah kotak membuatkan penulis berasa loya. Diiringi bau tengik yang kurang menyenangkan, ia pasti membuatkan sesiapa yang melihatnya memalingkan muka.

Serangga kecil berwarna putih yang habitatnya di dalam tanah, busut atau tempat-tempat yang tersembunyi dan lembap itu sering dikaitkan dengan kayu dan menjadi musuh utama di dalam rumah.

Kayu yang rosak angkara anai-anai perlu diganti segera. Bukan sedikit yang terpaksa dibelanjakan. Ini kerana kos mengganti kayu yang rosak itu turut melibatkan kos membina semula.

Sungguhpun begitu, tidak ramai dalam kalangan kita mahu mengambil langkah pencegahan. Sebaliknya, ramai yang mengambil sikap tidak peduli sehingga kerosakan akibat anai-anai dapat dilihat secara fizikal.

Spesies anai-anai mencecah angka ribuan tetapi di Malaysia, hanya terdapat kira-kira 180 spesies. Tidak semua daripada spesies itu merupakan perosak. Di dalam hutan, haiwan kecil itu bertindak sebagai agen yang membantu penguraian kayu-kayan.

Koloni anai-anai

Mengenai asal pembiakannya, makhluk kecil yang hidup dalam koloni itu adalah serangga yang mempunyai enam kaki, dua sayap dan tiga bahagian badan. Kehidupannya bermula daripada seekor kelkatu yang sering dilihat mengerumuni lampu-lampu neon menjelang malam.

Menurut Pensyarah Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ahmad Said Sajap, kelkatu adalah anai-anai yang keluar untuk membiak. Mereka akan terbang mencari pasangan dan kemudian akan ke tanah untuk mencari sarang.


MIDAH RAMLI menunjukkan pintu rumah yang diserang anai-anai di pangsapuri Batu Permai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. - Gambar hiasan


"Ketika proses itu, sayap akan digugurkan. Sebab itulah, kita jarang melihat kelkatu di lantai, hanya sayap tanpa badan. Kelkatu meninggalkan sayap untuk mencari kawasan yang sesuai untuk membina koloni yang akhirnya akan berubah menjadi anai-anai.

"Anai-anai adalah serangga yang unik dan hidup dalam satu koloni yang penuh sistematik dari segi pembiakan dan mencari makanan.

"Ia juga dikategorikan sebagai serangga yang bersosial kerana mempunyai kasta. Dalam satu koloni, terdapat seekor permaisuri, raja, askar dan juga pekerja," katanya yang menjalankan penyelidikan tentang anai-anai.

Tugas permaisuri dan raja adalah untuk membiak. Raja akan berada di sekeliling permaisuri dan permaisuri hanya akan bertelur. Askar pula mencari dan mengawal punca makanan manakala pekerja akan membawa balik makanan untuk diberikan kepada permaisuri, askar dan raja.

Walaupun askar anai-anai mencari dan mengawal punca makanan tetapi mereka tidak makan sendiri, sebaliknya mereka akan diberi makan oleh pekerja.

"Tidak semua spesies anai-anai merupakan spesies yang merosakkan rumah. Satu spesies yang kerap memasuki rumah adalah daripada spesies Coptotermes gestroi. Sebanyak 80 peratus daripada anai-anai yang memasuki dan merosakkan perumahan adalah daripada spesies tersebut," katanya.

Anai-anai yang memakan pokok hidup pula adalah daripada spesies Coptotermes curvignathus. Kedua-dua spesies itu adalah dari kumpulan anai-anai tanah atau dikenali sebagai subterranean termite. Anai-anai yang memakan kayu kering pula adalah daripada spesies Cryptotermes.

Menariknya tentang anai-anai adalah ia buta. Mereka membuat terowong di dalam gelap dan menggunakan bahan kimia untuk menandakan setiap perjalanan. Bagaimanapun, anai-anai yang keluar menjadi kelkatu tidak buta. Askar dan pekerja pula adalah mandul.

"Anai-anai akan keluar menjadi kelkatu apabila koloni itu mengesan bahawa sarang yang didiami sudah tidak selamat atau kekurangan makanan. Ia seterusnya akan membina koloni yang baru.


INI adalah produk pengumpanan yang digunakan oleh syarikat URC Global Care untuk perkhidmatan mereka.


"Manusia tidak dapat mengesan sebuah koloni anai-anai kerana mereka bersarang di bawah tanah dan tertumpu kepada satu kawasan yang mempunyai makanan. Apabila makanan di dalam koloni mereka sudah habis, ketika itulah mereka akan merayap dan mencari makanan di kawasan lain sehingga naik ke kawasan perumahan.

"Anai-anai akan pergi ke mana sahaja yang mereka kesan terdapatnya makanan. Malah, anai-anai boleh berjalan sejauh 100 meter dari koloni mereka," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor.

Serangan anai-anai

Serangan anai-anai adalah perkara yang tidak boleh dielakkan kerana perumahan didirikan di tapak yang tidak diketahui sejauh mana terdapatnya koloni anai-anai.

Perkara yang terbaik adalah membuat kawalan serangga sebelum ia menyerang. Paling penting adalah di peringkat pembinaan projek perumahan. Kini, banyak pemaju yang mementingkan rawatan tanah sebelum membuat sebarang pembinaan rumah.

Namun, itu belum boleh menjamin perumahan tersebut bebas daripada serangan anai-anai. Menurut Ahmad Said, terdapat aduan mengenai sebuah projek perumahan yang baru siap enam bulan telah diserang anai-anai.

"Apabila penduduk mendapat kunci dan masuk meninjau rumah baru, mereka dapati banyak aktiviti anai-anai berlaku dalam rumah mereka," ujarnya.

Menurut Ahmad Said, sebelum membina atau menduduki sesebuah kawasan perumahan, orang ramai perlu melihat sejarah tanah tersebut, misalnya di atas tapak apakah perumahan itu dibina.

"Sekiranya ia dibina di atas tapak tinggalan ladang kelapa sawit atau getah, kemungkinan terdapat banyak anai-anai. Ini kerana akar-akar kayu atau pokok terdapat di bawah tanah dan ia menjadi sumber makanan. Kadangkala pemaju terlepas pandang dan itu menyebabkan koloni anai-anai cepat menyerang rumah penduduk.

"Selain itu, orang ramai atau pemaju juga boleh menggunakan kayu yang telah dirawat untuk dijadikan bahan binaan atau pun perabot bagi mengelakkan serangan atau menggunakan kaedah semula jadi iaitu memilih kayu tahan anai-anai seperti kayu cengal atau balau," katanya.

Selain sektor perumahan mengalami ancaman anai-anai, industri rekaan landskap juga berdepan dengan masalah itu apabila pokok-pokok yang ditanam untuk menghiasi bandar raya menjadi hidangan utama anai-anai.

Hakikatnya, anai-anai yang memakan pokok hidup itu hanya memakan pokok-pokok tertentu sahaja. Antara yang menjadi kegemaran anai-anai adalah pokok pain dan palma. Oleh itu, elakkan pokok-pokok tersebut menjadi hiasan landskap di rumah anda jika tidak mahu ia tumbang di kemudian hari akibat anai-anai.

Melakukan pencegahan adalah lebih baik daripada membaiki kerosakan akibat aktiviti anai-anai. Tidak dinafikan, kawalan serangga (pest control) mahal harganya sehingga boleh mencecah ribuan ringgit mengikut keluasan bangunan.

Namun, apalah sangat jika dibandingkan dengan wang yang perlu dikeluarkan untuk membaik pulih bangunan yang reput dimakan anai-anai. Kos baik pulih jauh lebih mahal dan boleh mencecah empat kali ganda daripada kos rawatan anai-anai.

Sementara itu, Pengurus Operasi URC Global Care Sdn. Bhd. Farid Yusof, berkata, rawatan biasa yang dilakukan oleh setiap syarikat kawalan serangga adalah rawatan tanah (soil treatment) yang melibatkan penggerudian lubang-lubang kecil pada lantai untuk meletakkan bahan kimia.

"Tetapi ramai individu yang tidak menggemari lantai rumah mereka digerudi dengan alasan ia akan merosakkan. Oleh itu, ramai yang lebih suka memilih teknik mengumpan.


SEORANG pekerja URC Global Care menggunakan alat khas untuk mengesan kehadiran anai-anai di dalam rumah.


"Teknik ini tidak melibatkan penggerudian pada lantai. Ia menggunakan sejenis umpan yang mengandungi bahan kimia dan diletakkan di beberapa kawasan dalam atau luar rumah.

"Bahan kimia pada umpan tersebut tidak akan menyebabkan anai-anai tersebut mati dengan serta-merta. Pekerja anai-anai akan membawa balik makanan tersebut ke sarang dan seterusnya meracun seluruh koloni.

"Apabila semua pekerja mati, secara tidak langsung, kasta yang lain juga akan mati. Ini kerana hanya pekerja yang mencari makanan dan memberikan kepada semua ahli koloni makan. Ratu, raja dan askar akan mati kebuluran apabila tidak memperoleh makanan daripada pekerja," katanya.