Makin ligat di luar negara




SEBUT sahaja Pop Shuvit sudah terbayang dalam fikiran lagu-lagu mereka yang cukup rancak yang bergenrekan rap rock.

Namun, jika diperhatikan dengan teliti terdapat keunikan dalam band yang cukup popular dengan lagu Marabahaya itu.

Bukan sahaja lagu yang dihasilkan mereka cukup berbeza tetapi setiap anggota dalam band Pop Shuvit memang unik kerana mereka terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Moots selaku vokalis berketurunan India manakala Dj Uno (turntable), Rudy (drum) dan AJ (bass) merupakan pemuzik Melayu sementara JD (gitar) daripada keturunan Cina. Kiranya lengkap kalau diangkat Pop Shuvit sebagai band 1Malaysia.

Tertawa mendengar kenyataan itu, Pop Shuvit yang ditemui pada One Drop Perfumes Xclusive Party 2009 di Cherating, Kuantan baru-baru ini menjelaskan itu bukanlah satu perkara baru yang dilontarkan kepada mereka.

Cerita DJ Uno, sebenarnya pada awal penggabungan mereka sebagai sebuah band tidak terlintas langsung dalam fikiran ia disebabkan tentang campuran kaum. Pada waktu itu semuanya kerana muzik dan keserasian bersama.

"Kami tidak pilih ahli mesti ada Melayu, Cina atau India. Semuanya terjadi secara kebetulan bila ada orang kata band kami unik sebab bercampur-campur baru kami perasan.

"Sebab sebelum ini kami tidak fikir langsung tentang perkauman, yang penting bagi kami adalah minat yang sama terhadap muzik," ujar DJ Uno.

Disebabkan kelebihan itu, Pop Shuvit dilihat mudah untuk mendapat peminat tanpa dibatasi kaum, namun kata Moots, kebiasaannya mereka berbicara dalam bahasa Melayu dan Inggeris sahaja tatkala beraksi di atas pentas persembahan.

"Saya rasa tidaklah sukar pun untuk menyatukan peminat kerana peminat Malaysia faham kedua-dua bahasa itu. Jika di luar negara memang kami akan bercakap dalam Bahasa Inggeris 100 peratus sebab sudah tentu mereka tidak faham Bahasa Melayu.

"Walaupun mereka tidak faham, mereka tetap menghargai muzik yang kami persembahkan dan turut meminati lagu yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu," ujar Moots.


LIMA anak muda yang menganggotai Pop Shuvit, (dari kiri) JD, Rudy, Moots, DJ Uno dan AJ.


Band Pop Shuvit yang mula dikenali pada tahun 2001 dengan lagu Jump memberitahu, meskipun berbeza kaum itu bukan satu masalah besar buat mereka.

"Kami tidak pula berhadapan dengan masalah perkauman atau masalah-masalah yang berkaitan dengannya. Kalau ada pun ia bertekak sebab nak memilih lagu yang terbaik.

"Bagi saya, petua setiap band untuk kekal dengan lebih lama dan berjaya dalam perjuangan muzik yang dibawakan adalah keserasian dan saling bertolak ansur. Setiap band pasti ada masalah tetapi masalah itu harus dibincangkan dengan cara yang baik. Kalau tidak kami pun tidak kekal sehingga hari ini," tutur DJ Uno.

Saat dilontarkan pertanyaan tidakkah Pop Shuvit berkeinginan merakamkan lagu dalam bahasa Mandarin atau Tamil, hanya hamburan gelak tawa yang kedengaran daripada mereka.

Bukan kerana mereka tidak mahu atau memandang enteng bahasa lain tetapi kata mereka, jika mereka mahu merealisasikan hasrat itu vokalisnya, Moots perlu ke kelas bahasa Tamil terlebih dahulu.

"Bagus juga idea itu. Bukan kami tidak pernah fikirkannya tetapi Moots kena masuk kelas bahasa terlebih dahulu baru kami boleh rakam lagu.

"Kalau ada rezeki mungkin kami akan merakamkan lagu berlainan bahasa tetapi buat masa ini kami lebih selesa menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja," kata Dj Uno.


POP SHUVIT membina empayar muzik mereka di Jepun, Filipina, Indonesia dan Thailand.


Bertaraf antarabangsa

Tidak dinafikan nama Pop Shuvit cukup harum di luar negara. Kesibukan memenuhi undangan di beberapa negara serantau Asia membuatkan band yang baru mengadakan konsert bergerak di Jepun iaitu Gangima Night 5th Anniversary Japan Tour pada Ogos lalu hilang seketika dari dunia hiburan tempatan.

Bagaimanapun, mereka tetap tidak melupakan Malaysia meskipun telah meraih populariti yang cukup besar di negara matahari terbit itu.

Tambah Rudy, kehilangan mereka daripada direktori hiburan tempatan bukan disengajakan tetapi terpaksa demi memenuhi tuntutan seorang anak seni dan dalam masa yang sama membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

"Kami senyap bukan bermakna kami sudah tidak aktif sebaliknya kami bertambah aktif di luar negara seperti Jepun, Filipina, Indonesia dan Thailand. Rezeki kami lebih banyak di luar, kami terima sahaja.

"Tetapi tidak bermakna kami melupakan Malaysia. Bila ada penganjur yang memanggil kami mengadakan persembahan di negara sendiri kami tidak akan menolak sekiranya tidak bertembung dengan persembahan lain," ujar Rudy.

Mereka yang muncul dengan single terbaru berjudul Oh! Sizuka kini dalam perancangan untuk melahirkan album terbaru, tetapi mengakui album terbaru bukan mudah untuk dibikin.

"Bila kami berjaya menembusi pasaran luar negara, harapan yang orang letak pada album kami seterusnya amat tinggi. Jadi kami tidak boleh buat album kerana nak cepat sebaliknya harus mementingkan kualiti terlebih dahulu.

"Kami tidak kisah ambil masa yang agak lama untuk muncul dengan album baru asalkan hasilnya nanti memuaskan hati kami serta peminat. Sebab itu kami lebih selesa keluarkan single terlebih dahulu," tutur Moots.




Mengakui pengalaman yang ditimba ketika mengadakan persembahan di luar negara cukup berharga, Pop Shuvit berharap lebih banyak band tempatan lain meraih peluang yang sama seperti mereka.

"Macam kami dulu, masa mula-mula muncul orang kutuk dan ada yang tidak mahu dengar muzik kami. Tetapi sekarang Pop Shuvit semakin diterima.

"Kini cara kerja kami juga berbeza dari dulu. Semua itu kerana pengalaman yang dikutip ketika di Jepun. Pemuzik di sana sungguh teliti dan mereka sangat berdisiplin. Sedangkan di Malaysia bila sebut band, masalah disiplin biasanya menjadi topik utama. Itu yang harus diubah.

"Kami tidak kata kami bagus, dulu kami pun macam itu juga. Tetapi bila tengok cara kerja orang luar baru kami perasaan apa yang perlu diubah untuk memajukan lagi Pop Shuvit. Kami berharap banyak band tempatan akan dapat rasai pengalaman yang sama," kata Dj Uno.