Wajah KL Plus FC serba baru


BARISAN skuad KL Plus bergambar bersama pada majlis memperkenalkan pemain baru di Persada PLUS, Subang petang semalam.


KL PLUS FC serba baru menghadapi musim baru Liga Malaysia 2010.

Semalam, skuad 'lebuh raya' itu telah mengumumkan senarai 22 pemain untuk mengharungi musim baru dengan 11 daripadanya adalah pemain baru.

Mereka terdiri daripada tiga pemain Perlis, Nizaruddin Yusof, Azi Shahril Azmi dan Es Lizuan Zahid Amir; empat pemain UBP-MyTeam, Faizal Rashid, Azrul Azmi, Fazrul Hazli Kadri dan Nazrin Nawi.

Pemain lain termasuk Sanjos Sundawat (Selangor), Badrul Hisani Abd. Rahman (Pahang), Hafidz Romli (KM Naza) serta bekas pemain remaja kebangsaan, Ibnu Kassim.

Pemain-pemain baru itu bakal bergabung dengan 11 pemain utama musim lalu iaitu kapten Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Fadzli Shaari, Mohd. Lot Abu Hassan, Reshafiq Alwi, Razi Effendy Suhit, Rames Lai Ban Huat, Ab. Aziz Ismail, Zaidi Ahmad, S. Sumindran dan Rusydee Samsuddin.

Ini bermakna KL Plus mengetepikan 13 pemain lama termasuk Tengku Hasbullah Raja Hassan, Safiq Rahim, Amir Shahreen Mubin, Hairul Nizam Hanif, Amini Ahmad Tabrani, Wan Hoesne Wan Hassan dan Bobby Gonzalez.

Pengarah Urusan PLUS Express- ways, Noorizah Abd. Hamid berkata, sasaran KL Plus FC untuk musim baru bermula 9 Januari depan ialah memenangi sekurang-kurangnya satu piala.

"Tak kisahlah sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia, kami mahu menang salah satu. Dengan mengekalkan pemain utama dan ditambah pemain baru, saya yakin sasaran ini mampu dicapai," katanya pada majlis pelancaran di Persada PLUS, Subang petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi PLUS Expressways, Tan Sri Mohd. Sheriff Kassim, Presiden KL Plus FC, Zaka- ria Ahmad Zabidi dan pengurus pasukan, Husni Md. Yusuf.

Sementara itu, jurulatih KL Plus FC, Mohd. Zan Mat Aris berkata, sasaran satu piala yang ditetapkan pihak pengurusan tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan barisan pemain yang dimilikinya.

"Awal musim lalu, kami lemah di bahagian serangan dan bangkit dari- pada kedudukan kedua tercorot, akhirnya menamatkan Liga Super di tangga ketujuh. Kami juga melangkah ke suku akhir Piala Malaysia," katanya.

Memandangkan skuad Kuala Lumpur turut akan beraksi pada Liga Super 2010, KL Plus FC bakal menggunakan Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai gelanggang sendiri mereka.

KL Plus FC turut akan menyertai kejohanan empat penjuru di Kuala Terengganu pada 18 hingga 21 Disember ini bagi memantapkan persefahaman antara pemain baru dan lama.