Cabaran akademi Baba's


CHEF Zubir Mohd. Zain (kiri) dan Claudian Navin menunjukkan isyarat bagus pada majlis pelancaran Akademi 1001 Rasa Baba's di Petaling Jaya.


CUBA anda bayangkan, apa yang akan terjadi apabila seseorang yang tidak pernah ke dapur atau hanya menjadikan mi segera sebagai menu wajib secara tiba-tiba memasak pelbagai jenis makanan ala seorang chef.

Pelbagai aksi spontan dan menarik itu boleh anda saksikan apabila satu-satunya program realiti masakan, Akademi 1001 Rasa Baba's kembali menemui penonton untuk musim kedua.

Program yang dikendalikan oleh syarikat pengeluar rempah ratus terkenal, Baba Products (M) Sdn. Bhd. itu mula menemui penonton sejak 3 Mei lalu, pada pukul 7.30 malam di TV9 dengan pelbagai kelainan.

Masih mengekalkan konsep yang sama, program tersebut menampilkan sebanyak 128 peserta bagi merebut hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM10,000.

Program tersebut mengandungi 32 episod dan seramai empat peserta akan berentap pada pertandingan akhir pada Januari ini.

Apa yang menarik mengenai program tersebut adalah semua peserta terdiri daripada mereka yang tidak tahu langsung mengenai dunia masakan.

Berbeza dengan program realiti yang lain, program itu diadakan bukan untuk mencari bakat dalam bidang masakan, sebaliknya konsep program lebih terarah kepada pencarian peserta yang tertumpu kepada mereka yang tidak minat untuk ke dapur.

Para peserta terdiri daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun. Kriteria yang paling penting dan perlu ada pada mereka adalah tidak pandai memasak.

"Itulah cabaran program ini iaitu melatih seseorang yang tidak minat memasak sehingga mereka boleh memasak satu atau dua jenis masakan dengan baik," kata Ketua Bahagian Pengiklanan dan Promosi Baba's, Claudian Navin Stanislaus.

Menurutnya, setiap peserta akan mendapat tunjuk ajar daripada 13 chef tempatan berpengalaman dan chef-chef profesional, selain bekas pemenang siri pertandingan masakan Cabaran 1001 Rasa Baba's.

"Sebanyak 32 resipi terbaru, mudah dan menyelerakan disediakan oleh para peserta. Mereka juga bertuah kerana mendapat tip-tip yang berguna daripada chef-chef terkenal," ujarnya.


DEMONSTRASI masakan oleh Chef Zubir.


Claudian memberitahu, program itu diteruskan selepas mendapat sambutan hangat daripada penonton dan setelah mendapat rating yang tinggi pada musim pertama.

Bagi memberi sedikit kelainan, program tersebut menampilkan dua muka baru iaitu Eksekutif Sous Chef Zubir Mohd. Zain sebagai pengetua dan Raja Ilya sebagai hos, di samping mengekalkan hos musim pertama, Chef Kamarul.

"Selain melatih para peserta dengan ilmu masakan, kami juga cuba menanam minat memasak dalam kalangan generasi muda di Malaysia," kata Zubir.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja berbentuk hiburan tetapi berinformasi kerana penonton juga boleh mendapatkan resipi terbaru dan tip-tip masakan daripada chef berpengalaman.