Surendran akhiri zaman bujang


SURENDRAN menamatkan zaman bujang setelah memilih R. Kavitha sebagai pasangan hidup.


PEMAIN skuad Liga Super Selangor, D. Surendran akhirnya menamatkan zaman bujang setelah memilih R. Kavitha sebagai pasangan hidupnya.

Kedua-dua mempelai telah diraikan dalam satu majlis persandingan yang cukup meriah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sungai Way, Petaling Jaya malam kelmarin.

Surendran, 29, yang sudah 11 tahun menyarung jersi Selangor berasal dari Petaling Jaya manakala Kavitha pula berasal dari Kajang.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad, Bendahari FAS, Sivasundaram, ketua jurulatih Selangor, K. Devan serta dua pembantunya, Rosedy Nadzir dan P. Maniam.

Turut hadir beberapa pemain Selangor antaranya Khairul Anuar Baharom, Rudie Ramli, R. Surendren dan P. Gunalan serta tidak ketinggalan bekas jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang kini membimbing Pahang.

Surendran yang boleh beraksi di pelbagai posisi turut pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dan namanya sering dikenang sebagai penjaring gol emas ketika Selangor menewaskan Sarawak 1-0 pada final Piala FA 2001.