Bayar hutang, elak derhaka


TENGKU MUHAMMAD FAKHRY (kiri) bersama Zainul Rijal (kanan) berjalan meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengarahkan Manohara Odelio Pinot, 21, membayar hutang RM1,112,250 kepada suaminya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra serta memberi tempoh 14 hari kepadanya untuk kembali taat atau menjadi isteri derhaka.

Perintah itu berkuat kuasa sebaik sahaja Muhammad Fakhry melafazkan sumpah 'Yamin Istizhar' (sumpah jelas) di mahkamah yang sama pada 3 Januari depan.

Hakim Syarie, Mohd. Yusof Awang berkata, arahan kembali taat berkuat kuasa dalam tempoh 14 hari selepas lafaz sumpah tersebut manakala hutang itu pula dibayar sekali gus dalam masa 30 hari.


MAJLIS pernikahan Tengku Muhammad Fakhry dan Manohara di Istana Negeri Kubang Kerian, Kelantan pada Ogos 2008.


Pada prosiding itu, Muhammad Fakhry diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar manakala Manohara dan peguamnya tidak hadir.

Mohd. Yusof berkata, tindakan Manohara melarikan diri ke Indonesia dan membuat kenyataan berbaur fitnah di media massa negara itu adalah salah di sisi Islam kerana dia dilayan dengan baik semasa tinggal bersama suaminya di Istana Mahkota di sini.

"Defendan (Manohara) sepatutnya berterima kasih kepada plaintif (Muhammad Fakhry) yang telah menjalankan tugasnya sebagai suami dengan sempurna tanpa ada elemen penderaan.

"Jika defendan (Manohara) enggan kembali taat dalam tempoh 14 hari, mengikut undang-undang Islam dia isteri yang derhaka, nusyuz dan tidak berhak mendapat apa-apa keistimewaan lain daripada suami," tegasnya.