Bakal jadi ikon TV3?




BARU seminggu menyelesaikan rutin mendebarkan sepanjang pementasan teater Natrah di Istana Budaya, jelitawan bernama Maya Karin tidak bermalas-malasan apatah lagi meluangkan waktu senggang untuk memanjakan diri.

Kesibukannya bersambung dengan sesi latihan skrip filem terbaru berjudul Cun di sisi aktor kacak, Remy Ishak yang bakal ke lokasi tidak lama lagi. Bukan itu sahaja, Maya didatangi satu lagi komitmen yang pantas menguji kemampuannya.

Diumumkan sebagai hos baru rancangan wanita paling ampuh di layar kaca, Nona, Maya menyifatkan itulah cabaran besar yang sedang digalasnya ketika ini. Mungkin juga, Nona menjadi satu tanda aras yang tersurat dan tersirat menguji kemampuan Maya bergelar selebriti versatil di mata umum.

Soalnya, sekian lama berehat daripada bidang pengacaraan dan menumpukan perhatian ke dunia perfileman, mampukah Maya seiring dengan skala Nona yang sudah di tahap tersendiri.

Kata Maya, dia mengikuti perkembangan Nona sejak zaman remaja sehinggalah sudah bergelar isteri orang. Dulu-dulu, pernah dia berangan mahu muncul sebagai pengacara rancangan berkenaan tetapi memikirkan diri masih terlalu mentah, hasrat itu terpaksa dipendamkan sahaja.

"Stail pengacaraan dalam Nona sedikit memberi tekanan kepada saya tetapi saya tidak akan menerima tawaran ini jika rasa takut-takut dan ia tidak mampu dilakukan.

"Rasanya saya tiada masalah dengan program kewanitaan kerana pengalaman sebelum ini sangat membantu," getus Maya lembut.

Bermula dengan Wavelength by Wella, Ratu Sehari, Channel V, Smash Hit, The Juice, Remote Control, Beauty Secrets From The East, kata Maya adalah suatu kebodohan bagi dirinya jika tawaran mengacarakan Nona dibiarkan jatuh tidak bersambut.

"Nona sebuah program popular dan siapa yang tidak mahu mengacarakan program berkenaan. Saya dipanggil uji bakat dan sangat gembira dengan apabila diterima sebagai hos baru Nona.

"Bagi saya, kerja ini satu kerja yang sangat istimewa. Saya cuba untuk mengendalikan rancangan ini mengikut cara sendiri dan harap boleh diterima semua peminat Nona," jelas Maya teruja selepas ditemui selepas majlis memperkenalkan pengacara Nona 2010 di ibu negara Rabu lalu.


SEMAKIN bertambah rezeki Maya, selepas teater Natrah kini jelitawan itu bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengemudi Nona di depan kaca TV.


Telah menjalani rakaman untuk episod keempat Nona bagi bulan Januari dan Februari, Maya kini berada di Pulau Pinang untuk penggambaran episod pertama, kedua dan ketiga pula sebelum turun ke penggambaran Cun, yang menunggu kelibatnya di Alor Setar, Kedah.

Akui Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 itu juga, dia bersyukur kerana krew terbitan Nona boleh berkompromi berhubung jadual penggambaran memandangkan komitmennya terhadap filem juga menjadi keutamaan.

Menerusi filem Cun, Maya sekali lagi bekerja di bawah arahan Osman Ali selepas Anak Halal yang mengangkat namanya sebagai Aktres Terbaik. Dalam filem yang turut disertai penyanyi terkenal, Ning Baizura itu, Maya diberi watak sebagai hos TV yang mengendalikan rancangan gosip.

Masuk ke persada hiburan, Maya mewangi sebagai pengacara dan bintang filem. Cuma baru-baru ini sahaja, lakonan Maya teruji dan terbukti buat kali pertama di pentas teater. Cuma seperkara sahaja yang kurang tentang Maya, ramai yang mendakwa Maya terlalu eksklusif untuk diajak beraksi menerusi drama TV.

"Siapa kata saya tak berlakon drama?" getus Maya spontan. Sambungnya lagi: "Cuma buat masa ini saya hanya muncul dalam dua drama TV, Anak Pontianak dan Waris. Kedua-duanya adaptasi daripada filem lakonan saya.

"Sebenarnya saya sudah mula gemarkan drama, terutama drama bersiri. Saya juga teringin berlakon drama kalau ditawarkan skrip sehebat Nur Kasih."


FARID (empat dari kiri) bersama tonggak program Nona.


Rasanya, luahan Maya itu pantas menelanjangkan keterujaannya ketika ini. Nampaknya apa yang terbuku di hati ramai penerbit dan pengarah drama juga sudah terlerai. Maya ternyata membuka ruang dirinya untuk diterokai produksi drama sementelah Erma Fatima sedang memerhatikan dirinya untuk Natrah versi drama bersiri, suatu masa nanti.

"Kita tengoklah nanti," ujar Maya nakal persis membayangkan sesuatu.

Mungkinkah kelibat Maya bakal terpacul menghiasi drama TV tidak lama lagi, semuanya bukanlah sesuatu yang mustahil. Apatah lagi, orang kuat Media Prima sendiri, Datuk Seri Farid Ridzuan sendiri mengharapkan Maya akan menjadi salah seorang ikon di TV3.

TV3 'tandus' selebriti besar

Seperti yang semua sedia maklum Nona sebelum ini dihoskan Fiza atau nama sebenanya, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan. Transformasi TV3 menyebabkan Fiza kini akan bersiaran untuk rancangan Wanita Hari Ini.

"Kami lihat potensi Fiza lebih cenderung kepada program berbentuk bual bicara dan selepas ini, dia akan menjadi hos tetap untuk Wanita Hari Ini.

"Apa yang berlaku ini (pengambilan hos Nona) adalah tradisi kami di TV3. Kami cuba mendapatkan kelainan dan pembaharuan. Maya dipilih berdasarkan kredibiliti dan kematangannya sebagai seorang selebriti yang versatil," beritahu Farid ketika ditemui pada majlis yang sama.

Akui Farid juga, TV3 kini kekurangan selebriti 'besar' yang boleh diangkat sebagai pengacara Nona.

"Benar kami sudah kekurangan selebriti besar untuk ditampilkan menerusi Nona. Kami rasakan Nona perlukan perubahan, bukan Fiza tidak mengekalkan rating sedia ada tetapi kami perlukan suntikan baru.

"Bukanlah langsung tiada selebriti, kami ada selebriti yang berkualiti dan layak, cuma belum cukup 'besar' untuk diletakkan sandaran dalam Nona. Biarlah selebriti baru itu matang terlebih dahulu," ujar Farid tidak mahu mendedahkan identiti selebriti yang dimaksudkan.


MAYA di sisi Awal Ashaari yang menjadi pengacara malam memperkenalkan hos baru Nona.


Apa yang penting, bukan sekadar pengumuman hos baru, Nona musim 2010 turut menjanjikan kelainan dari segi pengisian dan persembahan secara keseluruhan.

Penerbit Nona, Syarida Sharif memberi jaminan, Nona musim 2010 yang memulakan episod pertama pada 3 Januari ada banyak perbezaan berbanding episod sedia ada.

"Nona tetap sebuah program kewanitaan, elemen asas seperti perkahwinan, kecantikan dan fesyen tetap diteruskan. Bagaimanapun, untuk musim baru, kami akan menampilkan beberapa segmen baru iaitu Dapur Nona, Mahligai, Kerjaya dan Memori Cinta.

"Saya jangkakan Memori Cinta akan menjadi paparan yang menarik. Setiap minggu akan dipaparkan kehidupan dan rencah perkahwinan pasangan yang telah berkahwin lebih 20 tahun," jelas Syarida yang bertugas sebagai penerbit Nona sejak pertengahan tahun 2008.