Tiada cukai hartanah selepas beli lima tahun

PUTRAJAYA - Cukai keuntungan hartanah kini hanya terpakai kepada hartanah yang dijual dalam tempoh lima tahun daripada pembelian, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, cukai lima peratus itu akan dikenakan ke atas mereka yang menjual hartanah kurang daripada lima tahun selepas mereka membelinya manakala pengumuman dalam Bajet 2010 menyaksikan cukai itu dikenakan ke atas semua hartanah yang dijual.

Katanya keputusan itu akan mengakibatkan kerajaan melepaskan kira-kira RM200 juta dari segi pendapatan.

"Dasar ini juga diputuskan memandangkan kerajaan ingin melihat pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor hartanah tahun depan.

"Kami bersedia untuk melepaskan jumlah pendapatan yang sangat banyak supaya sektor ini dapat berkembang dan terus subur," katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah penjawat jawatan Persatuan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia Hua Zong bagi penggal 2009-2011 di Hotel Marriott di sini malam semalam.

Beliau berkata sektor hartanah telah pun menunjukkan peningkatan tetapi kerajaan berpendapat sektor berkenaan memerlukan dorongan selanjutnya supaya ia dapat terus berkembang dan menjadi semakin kukuh. - Bernama