Debaran pertama Nidzam Adzha


NIDZAM ADZHA membimbing Perlis musim ini.


JURULATIH baru Perlis, Mohd. Nidzam Adzha Yusof berdebar menanti aksi pembuka tirai Liga Super menentang FC di Stadium Utama, Kangar malam ini.

Mana tidaknya, tanggungjawab berat menanti bekas jurulatih Kuala Muda Naza itu kerana Perlis merupakan naib juara Liga Super musim lalu.

Lebih mendebarkan Nidzam Adzha apabila skuad Singa Utara itu beraksi di depan penyokong sendiri yang pasti mengharapkan permulaan yang baik menerusi kemenangan.

"Saya berharap pemain memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan dan beraksi dengan baik," kata Nidzam Adzha ketika dihubungi Kosmo! di Alor Setar semalam.

Menurutnya, Perlis bakal diperkuat dengan empat pemain bawah 23 tahun (B-23) negara selain beberapa tonggak berpengalaman.

"Gandingan itu diharapkan memberi kesan positif kepada pasukan yang mahu mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri," katanya.

Empat pemain negara itu ialah Ahmad Fakri Saarani (penyerang), Mohd. Farizal Marlis (penjaga gol), Mazlizam Mohamad (pertahanan) dan pemain tengah, Amar Rohidan.

Menyentuh pertemuan dengan Johor FC, Nidzam Adzha tidak mahu memandang mudah kemampuan lawan kerana menyedari pasukan berstatus kelab itu membuat persiapan rapi menjelang saingan Liga Super musim ini.

"Saya melihat pertemuan itu adalah sengit. Sebagai pasukan tuan rumah, Perlis pasti mahu mencari gol awal dan bertekad mencatat kemenangan," katanya yang berharap sokongan padu peminat.

Pada pertemuan malam ini, Nidzam Adzha memberitahu, Perlis menyandarkan harapan kepada Ahmad Fakri dan Mohd. Azrul Ahmad untuk merobek gawang lawan.

Musim ini, Perlis dibarisi 25 pemain yang diketuai Mohd. Fauzi Nan selain tiga penjaga gol, Mohd. Farizal, Khairul Azuan Rosli, Hairol Fazreen Abu Hassan.

Turut menganggotai skuad itu ialah Azmar Junaidi Abd. Jalil, Mohd. Badrul Azam Zamri, Shariman Omar, Azmizi Azmi, Mohd, Syazwan Zainon, Mohd. Noor Hazrul Mohd. dan Solehin Kanasia Abdullah @ K. Soley.

Pemain lain ialah Ahmad Fikri, Mohd. Yusri Abas, Zuraindey Jumai, Zulakmal Hakim Zainol, S. Suvinart, Wan Khairul Faiz Kamaruddin dan Mohd. Ridzuan Othman, Mohd. Afio Azmi, Wan Mohd. Syukri Wan Ahmad, Mohd. Faiz Subri dan Iffi Afizaz Ismail.