Budak mati jatuh tingkat lapan


Sarasvati (kanan) sebak dan dipujuk seorang saudaranya selepas melihat anaknya mati terjatuh dari tingkat lapan, Pangsapuri Larkin Idaman, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Tiga tahun lalu kematian suami akibat kemalangan jalan raya, semalam kehilangan anak lelaki tunggalnya, A. Sanjit, 5.

Demikianlah nasib malang ibu tunggal, S. Sarasvati, 29, berasal dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

Selepas tiga tahun hidup dalam serba kekurangan, Sarasvati membuat keputusan bekerja di Singapura bagi membesarkan anaknya.


Anak panah menunjukkan lokasi Sanjit mati setelah terjatuh dari Pangsapuri Larkin Idaman di Johor Bahru semalam.


Wanita itu bersama anaknya kemudian datang ke Johor dan menumpang di rumah saudaranya di Pangsapuri Larkin Idaman di sini sejak empat hari lalu sebelum melaporkan diri untuk bekerja di Singapura semalam.

Dalam perjalanan menaiki bas ke negara jiran itu, Sarasvati tidak menduga akan menerima berita menyedihkan iaitu kematian Sanjit.

Anaknya itu dikatakan terjatuh dari tingkat lapan pangsapuri 14 tingkat dan ditemui mati di tempat kejadian pada pukul 7 pagi.