Angka tujuh juadah Ponggal




TUJUH jenis sayur-sayuran. Tujuh mangkuk perak rempah ratus dan tujuh helai daun pisang. Sebabnya? Tiada jawapan. Mungkin kedengaran lucu. Tetapi perayaan Ponggal masyarakat Chettiar tidak sempurna tanpa tujuh objek. Cuma, pengamalnya belum merungkai signifikan angka tujuh dalam menyediakan juadah tradisi ponggal.

Sejak lebih empat dekad lalu, amalan masyarakat Chettiar yang berasal dari India selatan telah sebati dengan M. Annam. Tujuh sayuran itu terdiri daripada labu, nangka, pisang kari, terung, kacang pis kecil (tempatan), keladi berwarna ungu dan keledek. Antara rempah ratus yang digunakan ialah lada kering, jintan manis, buah pelaga, jintan putih dan biji sawi.

Menjelang perayaan Ponggal kesemua tujuh jenis sayuran dan rempah ratus itu wajib tersenarai dalam bajet perbelanjaan keluarga Annam. Selain belanga, susu, beras, tebu, daun pisang dan kelapa, wanita yang berusia 47 tahun itu memastikan tujuh jenis bahan masakan berkenaan telah pun dibeli lebih awal.

"Mungkin saya kurang jelas dengan penggunaan tujuh jenis bahan ini dan pengaruhnya dalam sambutan perayaan Ponggal masyarakat Cettiar. Apa yang pasti, kami percaya ia baik untuk kesejahteraan dan kebahagiaan sesebuah keluarga," katanya.

Menurut Annam, perayaan Ponggal menjadi amalan masyarakat India terutama dari India selatan sejak 5,000 tahun dahulu. Tiada rekod ataupun bukti yang menjelaskan setiap upacara yang dilakukan dalam perayaan yang lebih menjurus kepada hari menuai padi," kata wanita tinggi lampai yang ditemui Kosmo! di kediamannya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Annam dalam persalinan sari kapas rona biru sibuk mengatur bahan-bahan untuk membuat surya Ponggal sambil menyediakan sayur-sayuran dan rempah ratus sebelum memasak tujuh menu istimewa sempena perayaan itu. Kediaman Annam turut dihiasi dengan kolam yang menggunakan tepung beras.


TUJUH jenis rempah ratus yang digunakan dalam masakan.


Pergerakan matahari

Pintu rumahnya diikat dengan tebu dan daun mangga bagi menceriakan suasana.

Empat buah dapur kecil turut diletakkan atas kolam. Pada masa yang sama beberapa buah periuk tembaga dan perak yang dihiasi daun mangga, daun kunyit dan pewarna kum kum juga ditempatkan di situ sebelum upacara bermula.

Perayaan Ponggal yang jatuh pada pertengahan Januari lalu bagi meraikan Uttarayan atau pergerakan matahari menuju ke utara oleh penganut agama Hindu. Perayaan yang disambut selama empat hari berturut-turut itu merupakan acara terbesar selepas sambutan Deepavali dan Thaipusam.

Pada hari pertama, perayaan itu dipanggil Bhogi bagi menandakan permulaan penting dalam kehidupan masyarakat India. Pada hari itu, seluruh rumah dibersihkan dan barang-barang lusuh dibuang dan dibakar bagi menyingkirkan anasir-anasir buruk.

Pada hari kedua, beras yang dituai akan digunakan untuk memasak Ponggal sehingga ia melimpah keluar dari periuk. Perbuatan membiarkan masakan itu melimpah dikenali sebagai Ponggal dalam bahasa Tamil. Surya Ponggal juga memberi penghormatan kepada tenaga matahari dan bermulanya hari pertama bulan Thai dalam kalendar Tamil.

Annam yang berasal dari wilayah Madurai di India selatan memberitahu, cara sambutan Ponggal masyarakat Chettiar agak berbeza bergantung kepada cara hidup dan lokasi sesebuah komuniti.

Keunikan sambutan Ponggal masyarakat Chettiar terletak kepada penyediaan tujuh jenis juadah istimewa. Lazimnya sebuah belanga digunakan untuk mendidih susu dan menanak nasi tetapi komuniti Chettiar menempatkan dua buah belanga bagi upacara itu. Ini diikuti dengan masakan yang akan disajikan dalam tujuh helai daun pisang sebelum disembahkan kepada tuhan dan matahari.

Bagi wanita yang menetap di Malaysia sejak 22 tahun setelah berkahwin dengan suaminya, M. Ramanathan, 50, dia bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menyediakan juadah tersebut.

Dia boleh menyiapkan tujuh jenis menu tersebut kurang daripada dua jam. Ibu kepada empat orang anak itu memberitahu, sayur seperti labu, terung dan keladi biasanya dimasak kari. Aroma rempah ratus dapat dihidu apabila Annam menyajikan juadah itu pada helaian daun pisang yang tersusun rapi.

Diikuti sayuran pisang kari, nangka dan kacang pis digoreng dengan campuran rempah ratus. Keledek pula dikukus dan digoreng sekali lagi dengan biji sawi serta lada kering untuk mengekalkan kemanisannya.

Tidak boleh rasa

"Proses memasak kari dan goreng ini sebenarnya mudah sahaja. Lebih-lebih lagi semuanya sayuran kampung".

"Saya juga agak teliti ketika memasak masakan ini kerana tukang masak sama sekali tidak dibenar merasa mana-mana juadah. Mengikut kepercayaan masyarakat India, makanan yang disembahkan kepada Tuhan tidak boleh dirasa," kata Annam yang selalu mendapat pujian daripada suami dan anak-anaknya.

Menurut Ramanathan, masyarakat India yang hidup di kampung-kampung bercucuk tanam. Lazimnya, sayur-sayuran berkenaan selalunya ditanam di sekitar rumah.


ANNAM hanya mengambil masa dua jam untuk menyiapkan juadah Ponggal.


Sebab itulah, semasa perayaan Ponggal mereka menghidangkan nasi daripada beras baru dan sayur-sayuran segar.

Sekitar pukul 9 pagi, Annam dan tiga orang anak perempuannya berkumpul didepan rumah untuk mendidihkan susu. Empat buah periuk diletak di atas dapur dan dituang dengan air beras campuran susu. Selepas hampir 15 minit menunggu, susu tersebut melimpah keluar sambil disusuli dengan ungkapan, Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal yang disebut sebanyak tiga kali oleh kaum keluarganya.

Susu itu kemudiannya dicampur dengan beras, gula merah, buah pelaga, badam, buah gajus, kismis dan minyak sapi sebelum disembahyangkan serta diedarkan kepada semua ahli keluarga. Selain Sakkarai Ponggal, Annam juga membuat Ven Ponggal yang menggunakan ramuan yang sama tanpa mencampurkan gula merah.

Selepas itu, kedua-dua juadah Ponggal diletakkan di atas 14 helai daun pisang yang disusun di depan periuk-periuk berkenaan.

Annam sebagai antara ketua keluarga akan melakukan upacara sembahyang dan disertai oleh ahli keluarganya.

Sambil mempelawa hidangan Ponggal, Ramanathan menyifatkan perayaan Ponggal sebagai hari kesyukuran. Ramanathan bersyukur kepada Tuhan kerana memberi rezeki untuk memperoleh makanan dan air yang cukup, tempat tinggal yang sempurna dan keluarga yang bahagia. Ia juga membantu mengeratkan hubungan silaturahim di antara kaum keluarga.

Penyediaan juadah berasaskan sayur-sayuran kampung pula mendidik generasi muda mengenali masakan asli nenek moyang mereka. Adakah kemeriahan sambutan Ponggal di Malaysia sama seperti di India?

Dia yang pernah menyambut Ponggal di India menyatakan bahawa pelbagai acara seperti pertandingan Jallikattu (pertandingan antara manusia dan lembu) dan Selambam (seni mempertahankan diri) diadakan untuk memeriahkan perayaan itu.