Amber, Wendy dan Nancie kongsi ang pau




SAMBUTAN Tahun Baru Cina yang jatuh pada 14 Februari tahun ini sungguh bermakna bukan sahaja buat masyarakat Cina tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Lihat sahaja di pusat membeli-belah, semua perhiasan mula bertukar kepada warna merah, malah, penjualan limau Mandarin juga boleh dilihat di merata tempat.

Itu antara impak sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun di Malaysia secara umumnya. Tetapi sambutan kedatangan tahun harimau buat Amber Chia, Wendy Wong dan Nancie Foo sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Amber balik kampung


AMBER meraikan Tahun Baru Cina 2010 di Tawau, Sabah manakala Wendy pula terbang ke Hong Kong.


Kesibukan kerjaya sebagai model, pelakon dan ahli perniagaan bukan satu alasan buat Amber Chia untuk melepaskan satu-satu perayaan yang menghimpunkan seluruh ahli keluarganya itu.

Menurut gadis tinggi lampai itu, Tahun Baru Cina kali ini sangat bermakna kerana dia berpeluang meraikannya bersama keluarga di Tawau, Sabah.

"Saya tidak sabar nak balik kampung sebab tahun lepas saya meraikan Tahun Baru Cina di New York, Amerika Syarikat kerana kerja. Kira tahun ini saya mahu sambut dua kali ganda meriah untuk menebus sambutan tahun lalu.

"Semasa di New York walaupun kerja, fikiran saya sentiasa ingat keluarga dan kampung. Memang rindu dan terasa sunyi bila mengenangkan saya berseorangan ketika Tahun Baru Cina

"Tahun ini memang saya ambil cuti awal-awal sebab hanya ketika perayaan ini sahaja semua ahli keluarga dapat berkumpul," ujar anak ketiga daripada enam-beradik ini lagi.

Sama seperti orang lain, Amber juga tidak ketinggalan untuk membeli segala keperluan untuk sambutan Tahun Baru Cina meskipun begitu, dia hanya mengamalkan berbelanja secara sederhana.

"Saya tidak ada bajet yang khusus untuk perayaan ini. Bila balik kampung saya akan lihat apa yang tidak ada dan saya akan beli.

"Namun, ibu bapa saya tidak suka membazir dan saya akan dimarahi mereka jika membeli terlalu banyak barang. Oleh itu saya hanya beli apa yang patut sahaja," tuturnya yang setiap tahun mengupah penari tarian Singa untuk membuat persembahan di rumahnya.

Menurutnya lagi, apa yang penting bagi dirinya ialah membuatkan ibu bapanya gembira. Tiada apa yang lebih penting daripada keluarganya apabila menjelang Tahun Baru Cina.

"Sepanjang tahun saya dan adik-beradik yang lain sibuk bekerja, inilah masanya kami berkumpul pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan makan besar.

"Saya dapat bayangkan senyuman yang meleret di wajah ibu dan bapa saya bila lihat semua anak dan cucunya berada di dalam rumah yang sama," kata Amber yang akan pulang ke Sabah, sehari awal sebelum Tahun Baru Cina,

Sedikit lucu mengenai Tahun Baru Cina buat Amber adalah dia masih menerima angpau kerana dia masih belum berkahwin.

"Adat orang Cina selagi belum kahwin tidak boleh bagi angpau. Saya sendiri jadi malu kerana umur tahun ini sudah 29 tahun tetapi masih dapat angpau. Sebab itu saya berazam untuk berkahwin sebelum 30 tahun supaya lepas ini saya pula boleh bagi angpau," tuturnya dalam tawa.

Wendy pertama kali

Berbeza dengan pelakon dan penerbit Wendy Wong apabila tahun ini merupakan tahun pertamanya meraikan sambutan Tahun baru Cina sebagai seorang muslim.

Wendy atau nama Islamnya Wani Wendy Wong Abdullah telah memeluk Islam pada 28 November 2008, sebelum bernikah dengan seorang ahli perniagaan, Yacob Chik, 58, pada 23 Januari tahun lalu.

Bercakap mengenai sambutan Tahun Baru Cina sebagai muslim, Wendy mengakui suasananya sedikit berbeza tetapi masih istimewa.

"Perayaan ini bertambah istimewa bagi saya setelah bergelar seorang Muslim. Suami saya tidak pernah raikan Tahun Baru Cina, jadi saya rasa seronok memperkenalkan perayaan saya kepadanya," ungkapnya.

Bagaimanapun, perayaan kali ini berbeza buat wanita berusia 44 tahun ini kerana dia bakal menyambut Tahun baru Cina di Hong Kong.

"Memang tahun ini sangat berbeza, selain sebagai Muslim saya juga akan meraikan Tahun Baru Cina di Hong Kong, saya juga meraikan perkahwinan anak saudara saya di sana.


TURUT bersama Wendy, Amber dan Nancie mengucapkan selamat Tahun Baru Cina buat peminat ialah Louisa Chong (kiri) dan Maggie Loo (tengah).


"Uniknya, di majlis perkahwinan itu, kami sekeluarga akan menyarungkan pakaian orang Melayu seperti baju Melayu. Ini kerana semasa anak saudara saya menghadiri majlis perkahwinan saya di sini, dia sukakan baju Melayu.

"Jadi dia minta saya tempah siap-siap baju Melayu dari Malaysia berwarna emas untuk ahli keluarga saya pakai semasa majlis perkahwinannya. Saya dan suami tumpang seronok kerana mereka sukakan budaya Melayu," luahnya.

Wendy yang berangkat ke Hong Kong pada 9 Februari lalu teruja untuk berkumpul bersama ahli keluarganya yang datang dari Amerika Syarikat dan Jepun.

"Keluarga saya semuanya duduk merata-rata bukan semua ada di Malaysia, jadi sesekali dapat berkumpul pastinya saya rasa gembira selain perkenalkan suami saya kepada semua anggota keluarga yang jauh," katanya yang turut bercuti di Macau sempena Tahun Baru Cina.

Bercerita lebih lanjut tentang sambutannya, kali terakhir Wendy meraikan Tahun Baru Cina di kampung halamannya di Pulau Pinang adalah pada tahun 1997.

Selepas itu, dia dan keluarga hanya meraikannya di Kuala Lumpur sahaja memandangkan sudah tiada sesiapa di kampungnya.

"Sejak bapa sudah tiada, kami semua sambut Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur sahaja. Memang suasana berbeza tetapi erti raya bagi saya, satu keluarga berkumpul bersama tidak kira di manapun kami berada," ujarnya yang akan muncul bersama program New Year With Hope di Astro Jia Yu (304).

Nancie kurang seronok

Jika orang lain berkumpul dengan keluarga, lain pula halnya dengan Ratu Cantik Malaysia 1979, Nancie Foo hanya berada dua hari sahaja di Malaysia untuk menyambut Tahun baru Cina.

Semuanya gara-gara dia harus menemani anak perempuan sulungnya, Ai Dee, kini berusia 18 tahun yang menyambung pelajaran di Sydney, Australia.

"Tahun ini kurang seronok sebab saya sibuk dengan persiapan anak sulung untuk sambung belajar, jadi persiapan raya dibuat ala kadar sahaja.

"Pada hari kedua sambutan Tahun Baru Cina, saya dan anak sulung terbang ke Australia. Saya akan menemaninya di sana selama dua minggu sehingga dia tahu di mana hospital, bank dan lain-lain tempat penting baru saya akan pulang ke Malaysia," beritahunya.

Dalam masa yang sama kata Nancie, dia turut risaukan dua lagi anak perempuannya Ai Vee, 16, dan Ai Lee, 10, yang berada di Malaysia bersama suaminya, Wong Kang Yeow.

"Macam mana nak rasa meriah kerana selama ini saya tidak pernah berpisah dengan anak-anak. Walaupun tidak lama tetapi sebagai seorang ibu, bila kenangkan dia akan bersendirian di sana, hati saya jadi sayu.

"Kiranya, tahun ini semua serba tidak lengkap untuk keluarga saya. Saya kasihan juga buat dua anak saya yang harus bersendirian semasa saya di Australia," ungkapnya.

Bagaimanapun, Nancie tetap menyediakan keperluan raya seperti biasa. Anak-anaknya tetap mempunyai baju baru, dia juga tetap membeli kuih-muih dan buah limau Mandarin.

"Semua serba ringkas. Disebabkan kami juga sambut Krismas, jadi perayaan Tahun Baru Cina disambut serba sederhana sahaja," bicaranya lagi yang menerbitkan program Hunian Game Show di RTM2, yang dihoskan oleh pelakon dan pelawak, Os, dalam bahasa Mandarin sempena Tahun Baru Cina.