Penemuan

PERBAIKI kualiti kesihatan anda dengan maklumat terkini dunia perubatan yang Kosmo! Ahad paparkan pada minggu ini.

Pembuluh darah otak akibatkan MS

SEBANYAK 55 peratus pesakit sklerosis pelbagai (MS) didapati mengalami penyempitan pembuluh darah ke otak. Menurut penyelidik dari Itali, Dr. Paolo Zamboni, ini menjelaskan bagaimana aliran pantas darah terhalang hingga mewujudkan sejenis besi di dalam otak sekali gus menyebabkan ketidakmampuan sel saraf antara otak dan tulang belakang berkomunikasi.

Terkini, saintis Universiti Buffalo, AS, menggunakan mesin ultrabunyi Doppler dan teori serta kajian Zamboni untuk mengimbas keadaan pesakit dalam pelbagai posisi bagi melihat salur darah.


MISTERI penyakit sklerosis pelbagai semakin terjawab dengan penggunaan teknologi.


"Teori dan kajian tersebut semakin memberi jalan penyelesaian kepada penyakit MS. Menerusi imbasan, ia jelas menunjukkan terdapat laluan darah yang sempit. Penyempitan ini mewujudkan abnormaliti utama penyebab MS," kata sumber penyelidik tersebut.

EKSTRA: Kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang gemar minum susu dan mengambil vitamin D ketika hamil akan berdepan dengan risiko sklerosis pelbagai 56 peratus lebih rendah berbanding ibu yang tidak minum susu.

Kebosanan punca mati muda

MENGALAMI perasaan bosan terbukti memberi kesan buruk terhadap kesihatan. Dalam laporan penyelidik dari Kolej Universiti London, kebosanan boleh menyebabkan anda mati pada umur muda.

Walaupun ia tidak mendatangkan bahaya secara khusus, tetapi rasa bosan itu mampu menjadi simptom kepada perilaku bahaya seperti minum minuman keras, merokok, menagih dadah dan mengalami masalah psikologi. Tinjauan itu dijalankan ke atas lebih daripada 7,000 kakitangan kerajaan yang berumur di antara 35 hingga 55 tahun.


BOSAN mampu menjadi simptom kepada perilaku bahaya.


Wanita muda didapati lebih mudah berasa bosan manakala mereka yang dilaporkan kebosanan senang mendapat serangan jantung.

“Berdasarkan kajian, kami menyimpulkan mereka yang kebosanan berpotensi mati muda namun ia bukan pencetus utama,” ujar laporan tersebut.

EKSTRA: Menurut penyelidik dari Belanda, wanita hamil yang merokok mempunyai darah tinggi dan paras asid folik yang rendah pada trimester pertama kehamilan bakal memiliki bayi yang kecil serta mengalami komplikasi serius yang lain.

Rasa manis simpan rahsia tekanan jiwa

LAZIM untuk kanak-kanak menyukai gula-gula. Namun, jika mengambilnya terlalu banyak, mereka berdepan dengan risiko mengalami tekanan emosi dan mendapat kesan seperti ketagihan alkohol pula.

Sepasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) dalam jurnal Addiction memberitahu, kanak-kanak yang obses dengan gula-gula mempunyai kaitan rapat dengan masalah ketagihan alkohol yang dicetuskan oleh rasa manis yang wujud dalam gula-gula terhadap otak.


OBSESI kanak-kanak terhadap makanan manis harus dikawal dengan bijaksana oleh ibu bapa.


“Ia memerlukan paras kemanisan yang tinggi untuk membuatkan kanak-kanak tersebut kembali tenang,” ujar ketua penyelidik, Julie Mennella.

Jelasnya lagi, masyarakat menggunakan gula-gula sebagai hadiah kerana ia menimbulkan keseronokan dalam kalangan kanak-kanak. Namun, sesetengah kumpulan kanak-kanak ini obses kepada gula-gula kerana pengaruh biologi.