Nafi kahwin semula

"Perasaan hendak kahwin hari-hari ada. Cuma apabila ingatkan faktor tertentu, rasanya lebih baik saya hidup sendiri dulu" HATTAN




KECOH kononnya penyanyi Hattan didakwa akan kembali berkahwin semula selepas berpisah dengan bekas isteri, Arianie Mohd. Abidin pada tahun 2005.

Ini bukan khabar angin pertama, malah sudah berulang kali sejak penyanyi itu menduda lebih lima tahun lalu. Tetapi kali ini, tegas Hattan, khabar tersebut adalah fitnah belaka. Dia belum punya kekasih, jauh sekali ingin berkahwin buat kali kedua.

Hattan seperti yang dikenali, dia tidak sesekali menyembunyikan kebenaran. Bukan sifat seorang Hattan gemar bersandiwara atau berdolak-dalih tatkala diajukan pertanyaan daripada pihak media waima berkaitan cerita peribadi.

"Itu semua fitnah. Memang saya mengenali individu yang dimaksudkan. Tapi hubungan kami sekadar kawan biasa. Bahkan saya menyangkal dakwaan pernah mengunjungi rumah ibu bapa wanita itu.

"Pelik rasanya kerana sering digosipkan bercinta dengan orang itu dan ini sedangkan saya mahukan kehidupan biasa macam orang lain dan bebas berkawan dengan sesiapa saja," katanya yang juga menegaskan dia berkawan dengan banyak wanita semata-mata kerana hubungan biasa, tidak lebih daripada itu.

Tambah pelantun lagu Rendang Tak Berbuah itu, dia juga ada keinginan macam lelaki lain untuk bergelar suami orang. Cuma ada sedikit halangan menanti di jalan depan untuk meneruskan nawaitu itu.

"Perasaan gusar mula wujud kerana kebelakangan ini saya kerap balik kampung. Daripada situ, saya terfikir bermacam-macam perkara tentang diri dan Adam kalau berkahwin kelak.

"Sampaikan rasa macam hendak cari orang sekampung kerana memudahkan kami hendak beraya di tempat sama. Selepas itu, macam mana pula keadaan Adam dengan ibu barunya. Bayangkan, sampai ke situ sekali saya boleh cakap kepada diri.

"Saya faham Adam juga perlukan belaian dan kasih sayang seorang ibu. Tapi biasalah, Adam merupakan anak penyanyi rock lantas dia sendiri tidak kisah apatah menghalang niat saya untuk berkahwin.

"Perasaan hendak kahwin hari-hari ada. Cuma apabila ingatkan faktor tertentu, rasanya lebih baik saya hidup sendiri dulu," akui Hattan yang mula terbiasa mencuci baju dan mengemas bilik tidur anak bujangnya yang bakal muncul dengan single, Papa Aku Rock April ini.

Album terakhir

Usai penjelasannya tentang wanita, Hattan melanjutkan dengan sebuah khabar yang agak mengejutkan tentang karier seninya. Kata pemilik nama lengkap Mohd. Shukri Shahabuddin itu, dia mengambil keputusan, naskhah Inderawala akan menjadi album komersial terakhirnya.

Ia adalah berita yang mengejutkan bagi pencintanya. Masakan tidak, selama ini pemuja artis berusia 45 tahun itu terbiasa mendengar lagu-lagu syahdu dendangannya. Suara jantan Hattan sendiri sebagai halwa telinga mampu membelah jiwa insan enak dilamun cinta mahupun individu terputus kasih.

Namun itu hakikat yang perlu diterima oleh pengikut figura kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu. Hattan menginginkan transisi sementelah sudah menjalani warna-warni momen kehidupan.


HATTAN mahu menumpukan kepada penghasilan album yang lebih bermotifkan kerohanian.


"Selepas ini saya hendak tukar genre lagu dengan kembali semula kepada asal-Nya. Jangan khuatir kerana saya tidak berhenti menyanyi. Cuma saya hendak mengeluarkan album berbentuk kerohanian.

"Dengan keadaan diri sebagai artis senior dan agak lama berkecimpung dalam dunia seni, jadi lebih eloknya kalau saya buat pembaharuan apatah lagi umur semakin meningkat.

"Kalau ikutkan hati, saya sudah putus asa hendak menghasilkan album baru. Cakap banyak sekalipun tiada gunanya dengan penjualan album tidak memberangsangkan sebab isu cetak rompak.

"Tapi demi minat mendalam terhadap bidang nyanyian maka saya tetap ada perancangan membikin album berkonsepkan ketuhanan. Penatlah hendak merekodkan lagu-lagu cinta.

"Harap impian saya muncul dengan album ilmiah dan menjurus impak kepada peminat bakal terlaksana nanti," jelas Hattan yang lama menyimpan cita-cita tampil dengan karya berteraskan keislaman.

Biarpun Inderawala menjadi pengakhiran album komersialnya, duda anak satu yang mementingkan kesempurnaan itu menggarap naskhah tersebut sarat emosi berkaitan pengkisahan sebenar diri.

Tidak sekadar bersendirian, Inderawala yang memuatkan lima buah lagu termasuk Cinta Pertama dan Kekal turut terhasil daripada cantuman kreativiti Edrie Hashim dan Wazey.


MENGAKUI anaknya, Adam memerlukan belaian kasih sayang seorang ibu.


"Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini menceritakan kisah silam dan perkara berlaku dalam hidup saya. Sengaja menampilkan karya dekat di hati bagi memudahkan proses penjiwaannya.

"Album genre rock ini disiapkan dalam tempoh enam bulan. Mahukan album ini tampil sempurna, saya memasukkan lagu-lagu disukai dan tidak ketinggalan mengikut cita rasa pendengar.

"Inderawala menjadi album eksklusif kerana ia diselitkan sekali dengan produk Addam Men Skincare atas usahasama dijalankan antara Mum Bio Cos Manufacturing Sdn. Bhd. dan syarikat saya, Addamshop sekali gus tidak terjual di sebarang tempat.

"Album ini tidak dicetak banyak untuk pasaran. Hanya 5,000 naskhah dijual kepada peminat. Kalau tidak mahu terlepas, kenalah dapatkan Inderawala secepat mungkin," jelas Hattan tentang pek istimewa berupa album dan produk penjagaan kulit asas lelaki.

Tanggung risiko

Dengan wujudnya predikat metroseksual sejak beberapa tahun lalu, Hattan menganggap kaum Adam pada zaman serba moden memiliki kesedaran menjaga wajah daripada masalah kulit cepat kering, berkedut dan warna tidak sekata.

"Sekarang golongan lelaki jaga muka masing-masing dengan baik. Tidak kisah memperuntukkan sejumlah wang untuk melakukan rawatan muka, penjagaan wajah bukan lagi jadi dipandang remeh.

"Oleh itu, saya ambil keputusan melibatkan diri dalam bisnes jenis ini. Kalau sebelum ini banyak artis wanita muncul dengan produk sendiri, saya rasa tiada salahnya kalau diri menampilkan Addam Men Skincare.

"Biarpun ada antara mereka sekadar menjalankan perniagaan separuh jalan dan terlibat pelbagai masalah kemudian hari, saya bagaimanapun tidak gentar untuk menjalankan perniagaan ini.

"Sebagai usahawan, saya kena berani menanggung risiko. Senang saja prinsip saya. Kalau takut, maka jangan berumah di tepi pantai," terang bapa tunggal kepada Adam Eiman, 12, yang menjadi pengguna produk itu sejak tahun lalu.