Maut dilanggar bapa saudara

19/03/2010 2:44pm

KUANTAN Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandu oleh bapa saudaranya di Kampung Perawas, Hulu Dong, Raub, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian pada 6.10 petang itu, bapa saudara mangsa telah menghidupkan kenderaan tersebut yang diletakkan berhampiran rumahnya.

"Tanpa disedari, dia kemudian terlanggar anak saudaranya yang berada di hadapan kenderaan tersebut, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai yang berada di kawasan itu telah menjerit bagi memberitahu Norainal Fazilah Mohd. Sabri berada di hadapan kenderaan tersebut, namun ia tidak disedari lelaki tersebut.

Adik Norainal Fazilah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik Dong, katanya. Bernama