Suara hati pelakon veteran




DATUK Aziz [email protected] Ngah, 68, mengukir senyuman sebaik kalendar 2010 membuka tirai. Tahun ini hampir lima dekad beliau berada dalam industri lakonan tempatan. Industri yang mempunyai pasang dan surut serta berjasa mengangkat namanya.

Aziz bagaimanapun mengakui beliau kurang percaya kerana masih bertahan dalam tempoh yang lama sedangkan pada hakikatnya ramai barisan pelakon seangkatannya sudah lama meninggalkan dunia glamor itu.

Walaupun namanya kini tersenarai dalam kategori pelakon veteran, Aziz sedikitpun tidak berasa tergugat, apatah lagi berkecil hati.

Malah, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi memandangkan beliau antara pelakon senior yang masih berpeluang ke layar perak. Setiap bulan ada saja panggilan telefon daripada pengarah dan penerbit yang menawarkannya watak untuk berlakon dalam sesebuah drama.

Namun, Aziz mengakui bukan semua tawaran itu diterimanya. Aziz sebaliknya lebih selesa menerima satu tawaran berlakon pada satu-satu masa. Kini Aziz sedang ligat di set penggambaran drama Si Capik, musim ketiga. Aziz hanya menimbangkan tawaran lain selepas proses penggambaran drama itu selesai.

"Bukan sebab tidak mampu menghafal skrip yang menimbun atau menjiwai karakter berlainan tetapi saya mempunyai banyak komitmen lain. Selain bertindak sebagai Pengerusi Alakazam Productions Sdn. Bhd. & Snap Production, saya juga aktif dalam politik dan perniagaan.

"Lagipun proses menghafal skrip tidaklah sukar. Berbekalkan pengalaman yang dikutip selama ini saya telah didedahkan dengan beberapa teknik menghafal. Lazimnya, selepas menerima skrip saya akan meneliti sifat dan peranan watak yang dipertanggungjawabkan. Kemudian, barulah memahami jalan cerita dan dialognya," ujar Aziz ketika ditemui Kosmo!.

Aziz yang suatu ketika dahulu popular dengan iklan teh Boh pada tahun 1974 hingga 1975 pernah membintangi drama Sembilu Kasih, Sate, Maria Mariana, Impian, Kemarau Cinta dan terbaru filem terbitannya sendiri, Pulau Asmara.

Di sebalik cerita mengenai khidmat lakonannya yang masih lagi didambakan oleh ramai pihak, juruhebah dan pelakon Radio Televisyen Singapura sekitar 1961 itu menyimpan kekecewaan.


AZIZ SINGAH berharap pihak produksi menawarkan watak yang berbeza-beza kepada pelakon veteran.


Aziz menjelaskan, beliau kerap ditawarkan watak ayah yang bersifat protagonis dan orang kaya. Jika lima buah drama yang dibintanginya itu membawa watak yang sama maka penonton akan berasa bosan.

Lebih menyedihkan apabila segelintir penonton beranggapan bahawa golongan artis veteran hanya layak membawa watak-watak sedemikian. Sebaliknya, watak yang mencabar dan berat menjadi hak eksklusif pelakon muda atau baru.

Watak sama

"Tidak timbul isu benci atau dengki kerana saya faham bahawa pelakon muda dapat menarik minat penonton dan meningkatkan rating drama. Tapi, apa yang dikesalkan ialah sikap sesetengah penerbit atau pengarah yang menetapkan watak bagi pelakon veteran itu hanya berdasarkan fizikal dan rupa paras.

"Mungkin kerana penampilan dan status saya, banyak pihak berpendapat saya hanya sesuai membawa watak orang kaya sahaja. Hakikatnya, saya mampu menjiwai watak pesawah, penduduk kampung, watak pekerja bawahan termasuklah lelaki miang," luah Aziz dalam nada kecewa.

Namun Aziz memuji tindakan pengarah Erma Fatima yang berjaya mencipta watak kepada pelakon senior, Rosnah Mat Aris menerusi drama Tersasar di Jalanmu. Meskipun secara tersurat ramai yang melihat Rosnah sesuai dengan watak wanita antagonis, namun Erma bijak menyelongkar sisi lain Rosnah.

Rosnah yang membawa watak seorang ibu yang berhempas pulas mencari rezeki untuk anak-anaknya dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2009.

"Kemenangan itu membuktikan bahawa kami masih mampu bersaing dengan pelakon junior dan versatil. Namun kepada pelakon veteran yang sudah ada nama dan kedudukan yang kukuh dalam industri ini, jangan sombong atau kedekut untuk mencurahkan ilmu kepada pendatang baru," luah Aziz.

Sementara itu, pelakon popular sekitar 80-an dan 90-an iaitu Aznah Hamid yang masih aktif berlakon tidak menyangka kerana masih ada pihak yang sudi menawarkan watak kepadanya.

Jelas ibu kepada pelakon Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar (Sheera), 25, selain watak dan skrip, pengurusan masa turut dititikberatkan agar tidak menjejaskan kelancaran produksi.

Proses menghafal skrip dan menghayati setiap watak tidak diperlekehkan bagi mengelakkan kekeliruan sewaktu sesi penggambaran.

"Kadangkala dalam sehari saya perlu membawa tiga watak untuk tiga buah drama yang berbeza-beza. Sekiranya proses mengulangkaji skrip dan latihan tidak dilakukan secara sistematik, ia akan memberi impak negatif pada lakonan.

"Sebelum ke set penggambaran saya tanamkan dalam minda watak yang akan dilakonkan. Kemudian saya akan menjiwai karakter tersebut pada sesi penggambaran.


RICHARD GERE (kanan) dan isterinya, Carey Lowell ketika menghadiri tayangan perdana Brooklyn's Finest di New York baru-baru ini.


"Menerima tawaran yang banyak bukan masalah kerana biasanya pengarah memberikan saya watak ibu yang sentiasa menyokong anak-anak ataupun watak wanita sedih. Kadangkala bosan juga asyik membawa watak yang sama," ungkap Aznah yang popular menerusi drama Sembilu Kasih, Si Capik, Lempeng Kelapa Penkek Jagung dan Jangan Pandang Belakang.

Luah Aznah, industri drama dan filem tempatan cukup berbeza dengan Hollywood atau Bollywood. Di Malaysia, pelakon veteran majoritinya hanya berpeluang mendukung watak sampingan saja. Sebaliknya, situasi ini berbeza di Hollywood dan Bollywood.

Rata-rata pelakon senior di luar negara diberi kepercayaan melakonkan watak utama dan tidak terhad pada karakter yang sama.

Tambah Aznah: "Lihat saja pelakon Amitabh Bachan. Usianya yang bakal menginjak 68 tahun bukan penghalang baginya menerima tawaran watak mencabar dan berat. Sebabnya, di Bollywood para penerbit yakin Amitabh masih bertenaga sama seperti zaman mudanya. Selain memegang watak bapa, beliau masih diberi peluang berlakon watak ketua gengster atau polis.

"Malangnya, pelakon veteran tempatan pula tidak dapat lari daripada watak biasa. Kami tidak meminta watak muda remaja tetapi biarlah watak yang ditawarkan itu seiring dengan pengalaman kami. Adakalanya bayaran yang diterima tidak setimpal," ujarnya.

Penghargaan

Menyentuh isu watak sampingan dan picisan dalam kalangan pelakon veteran, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik berkata, biasanya pengarah atau penerbit menawarkan watak tersebut kerana mengikut kesesuaian jalan cerita yang telah ditetapkan.

Produksi tempatan kata beliau, kurang menawarkan watak yang berat kepada veteran dalam satu-satu jalan cerita.

"Kebanyakan produksi tempatan lebih gemar menghasilkan drama yang dibintangi oleh pelakon muda untuk watak utama bagi menarik penonton.

"Jadi tidak timbul soal artis senior dianaktirikan. Sebaliknya, ia suatu penghargaan buat artis tersebut kerana ditawarkan berlakon walaupun usia sudah meningkat. Soal bayaran dapat diatasi sekiranya artis veteran menyuarakan hak mereka secara profesional bersama penerbit atau pengurus produksi," kata Harun ketika dihubungi Kosmo!.

Sementara itu, Richard Tiffany Gere yang memulakan karier sebagai pelakon sekitar tahun 1970-an dalam filem Rosencrantz and Guildenstern Are Dead, tetapi namanya melonjak naik usai membintangi filem American Gigolo pada 1980-an. Kejayaan filem tersebut sekali gus membuatkan bekas suami kepada model terkenal, Cindy Crowford itu dilabel sebagai simbol seks dan pelakon lelaki paling berpengaruh.


AZNAH HAMID (kiri) bersama anaknya Sheera.


Richard Gere, 60, yang pernah menggondol Aktor Terbaik Anugerah Golden Globe yang ke-60 dan Pelakon Terbaik Anugerah Screen Actors yang ke-9 turut mencipta kecemerlangan menerusi filem Pretty Woman pada 1990. Dalam filem tersebut, beliau digandingkan bersama aktres Julia Robert. Gere yang mula berlakon sejak umurnya 24 tahun pernah membintangi filem Shall We Dance, An Officer and a Gentleman, Primal Fear dan Chicago.

Namun pengaruh dan bakat lakonan anak kelahiran Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) itu masih diperlukan oleh industri lakonan di Hollywood. Buktinya, pada awal bulan lalu filem lakonan Richard Gere, Brooklyn's Finest baru saja ditayangkan di Amerika Utara.

Situasi itu jelas menunjukkan bahawa peningkatan usia bukan penghalang untuk Richard Gere terus aktif dalam dunia seni. Bahkan pada hari ini beliau masih menerima tawaran berlakon dan memegang watak utama.