Farid tidak mahu terikat




BERSUA muka dengan pasangan pelakon paling secocok di layar perak, Farid Kamil dan Lisa Surihani baru-baru ini, keakraban mereka jelas terpancar.

Ada sahaja usikan Farid buat Lisa, begitu juga sebaliknya. Mana tidaknya, hubungan erat mereka terjalin bukan sahaja kerana sering digandingkan sebagai kekasih di layar perak dan kaca televisyen tetapi mereka juga bernaung di bawah bumbung pengurusan yang sama iaitu Metrowealth International Group (MIG) milik David Teo.

Meskipun hubungan mereka begitu rapat dan sering divisualkan sebagai pasangan kekasih yang paling ideal dalam beberapa naskhah seni seperti filem I'm Not Single, Lagenda Budak Setan (belum ditayangkan) dan terbaru Semerah Cinta Stilleto, Farid bagaimanapun enggan dilabel sebegitu.

Bagi dirinya, masih banyak watak dan genre yang ingin dicubanya termasuklah berlakon bersama pelakon wanita yang lain.

"Saya memang selesa berlakon dengan Lisa tetapi saya juga mahu berlakon dengan pelakon wanita yang lain. Maknanya, saya seorang pelakon yang boleh berlakon dengan sesiapa sahaja.

"Saya tidak mahu terikat bersama Lisa untuk semua karya seni saya kerana saya tidak mahu peminat meletakkan stigma bahawa kami pasangan kekasih wajib dalam mana-mana filem.

"Jika boleh biarlah ia berubah-ubah, contohnya seperti dalam filem V3: Samseng Jalanan, saya dan Lisa terlibat dalam satu filem tetapi bukan sebagai pasangan kekasih. Malah, genre filem itu berbeza daripada genre yang sering Lisa lakonkan sebelum ini," jelasnya.

Watak Leto tidak sukar

Dalam dia mencuba keluar daripada kepompong selesanya, Farid tetap bersyukur kepada peminat yang menyukai gandingannya bersama Lisa.

"Kalau ikutkan dalam filem baru tiga kali kami jadi pasangan kekasih, tetapi orang sudah mengatakan kami asyik jadi kekasih dalam mana-mana filem.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang suka melihat gandingan kami. Tetapi perancangan menjadikan kami pasangan kekasih yang tetap untuk jangka masa yang panjang, saya tidak bersetuju sama sekali.

"Saya bimbang peminat akan bosan, jika boleh biarlah ada perubahan," tutur pemuja pelakon Johnny Depp itu lagi.

Bercerita pula mengenai filem kedua lakonannya di bawah Ahmad Idham selepas Remp-It empat tahun yang lalu, Farid yang memegang watak sebagai Leto memberitahu wataknya dalam filem Semerah Cinta Stilleto agak mudah.

Bukan hendak meninggi diri tetapi berbanding dengan filem yang pernah dilakonkan sebelum itu, filem yang mengangkat cinta dua darjat itu tidak berat baginya.


LISA mengakui dia tidak sempat mengikuti kelas lakonan secara formal.


"Saya akui watak Leto senang untuk saya tetapi untuk melakukan lakonan yang kononnya saya sakit di punggung itu agak memeningkan kepala saya.

"Sampai saya fikir untuk meletakkan sesuatu supaya lakonan saya lebih semula jadi. Akhirnya, fikir punya fikir dengan bantuan pengarah saya berjaya lakukan. Apabila lihat semula, memang macam betul-betul saya sakit punggung," katanya ketawa.

Lisa bukan kayu

Muncul dan popular dengan mendadak membuatkan profil Lisa Surihani semakin penuh. Drama demi drama dan filem demi filem sudah menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, masih banyak pihak yang meragui bakat yang dimiliki gadis berusia 24 tahun itu dek kemunculan awalnya yang agak 'keras' dan 'kaku' di layar perak dan kaca televisyen.

Namun, seiring dengan perjalanan masa semakin banyak perubahan yang dilihat dalam mutu lakonan gadis manis itu.

Tidak sempat mengikuti kelas lakonan secara formal, Lisa menjadikan lokasi penggambaran sebagai bilik kuliah yang paling praktikal.

"Saya memang keras masa mula-mula berlakon. Tetapi saya banyak belajar daripada pengarah dan pelakon-pelakon senior yang lain.

"Tidak sempat belajar lakonan bukan alasan untuk saya, sebab itu saya banyak bertanya pada pelakon lain dan pengarah ketika di lokasi penggambaran. Bagi saya ilmu yang dicurahkan mereka menerusi pengalaman dan terus dipraktik di hadapan kamera lebih efektif," jelasnya yang sudah tiga tahun bergelar seorang pelakon.

Oleh itu, untuk memantapkan lagi mutu lakonannya, Lisa tidak berani mengambil dua tawaran lakonan serentak. Katanya bimbang akan menimbulkan masalah pada pihak produksi.

"Lebih baik saya fokus pada satu kerja dalam satu-satu masa. Saya juga anggap menamatkan sebuah drama atau filem ibarat menghabis satu semester pembelajaran di universiti," tuturnya penuh serius.

Cabaran

Bercakap pula mengenai pengalaman Lisa berlakon sebagai Siti Laila atau Stila, dia memberitahu meskipun filem lakonannya itu sebuah filem ringan ia masih memberi cabaran kepadanya untuk membawa watak dengan baik.

"Watak saya tidak mudah sangat, ada cabarannya yang tersendiri. Karyanya ringan, watak pun tidak terlalu berat, namun dari segi emosi saya harus yakinkan penonton saya Stila seorang anak orang kaya yang ada konflik dalam dirinya.

"Ada bahagian yang saya rasa mudah tetapi ada bahagian yang saya rasa sukar. Secara keseluruhannya saya rasa seronok kerana sekalii lagi bergandingan dengan Farid selepas filem I'm Not Single," luahnya.


PASANGAN Farid dan Lisa cukup sinonim sebagai pemain cinta di layar perak.


Jelas Lisa lagi, meskipun filem Semerah Cinta Stilleto dan I'm Not Single ada persamaan dari segi genre tetapi jalan ceritanya sungguh berbeza.

"Dalam I'm Not Single, watak Maya dan Adam tidak suka antara satu sama lain. Tetapi dalam Semerah Cinta Stilleto, ia berkisar tentang cinta dua dunia yang berbeza.

"Banyak mesej yang ingin disampaikan dalam filem itu, seperti wang ringgit dan kemewahan bukanlah penentu kebahagiaan hidup seseorang," katanya yang mengharap filem tersebut mencapai kutipan pecah panggung.

Filem ke-36 terbitan MIG itu mengisahkan Siti Laila atau Stila (Lisa) yang dibesarkan dalam kemewahan jatuh cinta kepada Leto (Farid), seorang pemuda dari latar keluarga sederhana semuanya gara-gara sepasang kasut berwarna merah.

Bagaimanapun, percintaan mereka dihalang keluarga Lisa yang sebenarnya bermasalah. Selain Farid dan Lisa, filem yang turut dibintangi oleh Cat Farish, Nanu Baharudin, Datuk Jamali Shadat, Maimon Talib dan Shaharuddin Thamby itu telah berada di pawagam seluruh negara sejak 8 April lalu.