Sam rasa nak pecah kepala!


SAM tidak melihat berlakon di layar kaca sebagai sesuatu yang mudah berbanding berlakon di layar perak.


SELEPAS filem Adnan Sempit berjaya meraih kutipan RM7.8 juta, MIG Productions Sdn. Bhd. kini menerbitkan Adnan Sempit The Series pula sebagai tanda penghargaan kepada penonton.

Menariknya, siri arahan Ismail Hashim atau Bob ini bukan kesinambungan daripada versi filemnya. Namun, ia merupakan pengulangan semula babak dengan mengembangkan beberapa plot cerita asal filem.

Mungkin, bagi sesetengah pelakon, terbabit dengan lakonan dalam drama sebagai sesuatu yang mudah berbanding berlakon filem.

Namun Sam tidak melihatnya begitu. Bagi aktor yang sedang hangat di persada dunia lakonan tempatan itu, pembikinan siri Adnan Sempit untuk televisyen lebih sukar daripada filem.

Apalagi ia bukanlah drama sembarangan kerana tanggungjawabnya kini adalah untuk menarik perhatian umum menonton jalan cerita yang berasaskan filem Melayu yang meraih pencapaian pecah panggung itu.

"Saya rasa macam nak pecah kepala. Kalau filem, kita sudah melihat momentum graf turun naik dalam sesebuah penceritaan. Tapi bila drama, ia agak panjang. Bayangkan, daripada cerita yang memakan masa tidak sampai dua jam dipanjangkan sehingga 26 jam.

"Cabaran dalam berlakon drama ini juga agak berbeza. Untuk filem, ia mengambil masa selama 20 hari, drama pula lebih daripada sebulan.

"Bukan senang untuk menarik perhatian penonton kerana bagi yang sudah menonton versi filem, sudah tentu mereka menjangkakan cerita yang lebih hebat dan menarik dalam drama.

"Melakonkan watak-watak komedi juga bukannya mudah kerana kita tidak mahu dilihat seperti membuat lawak syok sendiri. Sebagai pelakon, saya mahu orang ketawa bila lihat lakonan saya.

"Jadi, saya ambil peluang ketika filem Adnan Sempit ditayangkan, saya menontonnya berkali-kali untuk memastikan adegan manakah yang penonton suka dan ketawa.

"Risau juga kalau dalam filem orang gelak, tetapi menerusi drama pula watak saya nampak bodoh," kata Sam yang menjayakan watak Adnan.

Dalam pada itu, orang yang mengambil alih watak teman baik Sam iaitu Bobby ialah pelakon Isaac yang menyatakan dia agak selesa untuk melakonkan babak komedi bersama Sam.

Walaupun tidak membintangi filem itu, ia tidak menghalang Isaac untuk menjiwai watak Bobby.


ISAAC (kanan) diberi kepercayaan melakonkan watak penting di samping Sam (kiri) menerusi Adnan Sempit The Series.


"Memandangkan sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Sam, jadi tidak ada masalah untuk digandingkan dengannya dalam siri ini. Tambah pula, karakter kami agak 'gila-gila'.

"Lebih senang untuk menjiwai watak masing-masing. Cuma bila penggambaran bermula, kami sentiasa gelak bila melihat muka dan mendengar lawak masing-masing," seloroh Isaac.

Sementara itu, Bob tidak menafikan cabaran yang terpaksa dipikul untuk mengarahkan sebuah drama berbeza daripada filem yang mencatat kutipan tiket yang tinggi.

Katanya, drama tersebut akan menghancurkan enam buah motosikal tajaan Modenas dalam beberapa adegan lasak yang akan dipaparkan.

"Drama ini akan ada pelbagai elemen menarik bagi setiap episod dan saya berharap para penonton akan berpuas hati dengan paparan drama ini.

"Saya tidak membuat drama ini untuk menjadi sekuel kepada versi filemnya, kerana ia lebih memudahkan untuk saya mengembangkan plot cerita. Lagipun, penonton membayar untuk menonton drama ini. Sebab itu pihak produksi kami akan memaparkan siri komedi Adnan Sempit yang lebih segar dan menarik," katanya.

Drama bersiri sebanyak 26 episod itu akan ditayangkan menerusi saluran 132 di Astro Warna sekitar April ini.