Keramat guna cinema scoop


DAVID bersama barisan karyawan filem Keramat.


PRODUKSI filem di Hollywood sudah berpuluh-puluh tahun menggunakan skrin layar bersaiz cinema scoop demi menampilkan sebuah filem yang berkualiti dan memuaskan hati serta meluaskan pemandangan para penonton.

Perbezaan antara cinema scoop dengan standard scoop adalah dari segi saiznya yang mungkin agak besar dan digeruni oleh sesetengah pengarah untuk memastikan ruang lebih itu tidak dibiarkan kosong.

Sebelum ini, rata-rata produksi di negara ini menggunakan skrin layar standard scoop kerana mahu menjimatkan kos dan memudahkan tugas pengarah.

Sebaliknya, pihak MIG Production Sdn. Bhd. (MIG), buat kali ketiga berani menggunakan teknik tersebut untuk filem terbarunya, Keramat. Sebelum ini, teknik yang sama telah diguna pakai untuk filem Syukur 21 dan Mantera.

Menurut Penerbit MIG Production Sdn. Bhd. (MIG), David Teo, penggunaan cinema scoop dalam layar perak akan menaikkan satu langkah mutu filem negara kita agar setanding dengan filem Hollywood.

"Jika percubaan dalam filem ini berjaya, kami akan menggunakan cinema scoop dalam semua filem terbitan MIG pada masa akan datang.

"Penggunaan cinema scoop ini akan memberi lebih cabaran kepada pengarah dan pengarah seni kerana mereka harus memastikan ruang lebih dalam layar itu dimuatkan dengan prop.

"Pengarah juga harus memastikan kesinambungan cerita itu berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui selepas majlis doa selamat filem Keramat di Pejabat MIG, Subang Jaya baru baru ini.

Tambah David, perancangan ini merupakan satu langkah dalam menaikkan martabat filem negara ini setanding dengan negara luar.

"Bila menggunakan layar saiz cinema scoop, ia akan memberi lebih kepuasan kepada penonton untuk lebih ghairah ketika menonton," tambahnya.

Keramat merupakan filem seram yang membongkar maksud keramat yang diarahkan oleh Azhari Zain. Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Zul Handyblack, Rabecca Nur Al Islam, Diana Amir, Puteri Mardiana dan ramai lagi.


RABECCA (kanan) di samping Azhari.


Penggambaran filem itu telah bermula pada 30 Mac lalu hingga 23 April ini di beberapa lokasi dalam Selangor.

Bagi pengarahnya Azhari Zain, cabaran ketika pengambaran filem itu ialah untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Katanya, hampir semua kru dalam pengambaran kali ini adalah baru.

"Jadi cabarannya adalah bagaimana saya akan membentuk mereka demi menghasilkan satu karya yang terbaik. Bila kita bersedia untuk melakukan pengambaran bererti kita telah bersedia untuk turun ke medan peperangan dan kita harus pastikan kita menang," ujarnya.

Jelasnya lagi, Keramat membawa pelbagai pengertian mengikut maksud dan perkara seperti kemuliaan, suci serta berkat.

"Filem ini akan membongkar istilah keramat di antara era 1900-an dan 2010 yang agak menyeramkan. Ceritanya bermula apabila sebuah kawasan telah dimusnahkan oleh Tuhan pada tahun 1940 tetapi telah dibangunkan semula dan terbongkarlah keramat tempat itu," katanya.

Azhari yang terkenal dalam pengarahan cerita genre seram berharap peminat filem-filem seram agar datang menonton filem ini apabila ia ditayangkan kelak," tuturnya.

Sementara itu, Rabecca Nur Al Islam mengakui agak gementar untuk berlakon dalam Keramat. Pengakuan itu diluahkan Rabecca kerana dia bimbang pelakon dan kru filem itu akan diganggu makhluk halus.

Bagi Rabecca, walaupun ketakutan melanda dirinya, dia tetap menyahut cabaran berlakon filem itu kerana ia merupakan filem pertama lakonannya.

"Sudah lama saya impikan untuk berlakon dalam filem. Sekarang sudah dapat, tidak mungkin saya nak tolak. Persiapan yang saya buat sebelum penggambaran ialah bersedia dari segi kekuatan mental dan fizikal.

"Jalan ceritanya yang agak unik dan agak susah untuk dihuraikan," katanya yang meminati cerita bergenre aksi dan seram.