Projek Pistol, bukan rock kapak




"GRUP jahat!", itu luah Edrie Hashim memberi gambaran terhadap Projek Pistol, sebuah band bukan projek khas malah juga bersenjatakan pistol. Peluru mereka untuk pistol istimewa ini berupa lagu-lagu menggelodak jiwa yang mahukan kepuasan genre rock kembali.

Grup berpaksi empat anggota itu diwujudkan lima tahun yang lalu. Bertukar ganti ahli kumpulan menjadi rencah biasa dalam mendapatkan momentum dan komitmen yang jitu. Maka untuk nama-nama yang hakiki kini, Edrie selaku gitaris utama berkolaborasi bersama Boy sang vokalis dan Zham (bass) serta Paé (dram) untuk meralisasikan Projek Pistol bagi menghadap dunia luar dengan persembahan irama dan melodi unik mereka.

"Stigma khalayak apabila kami sebut nama grup ini, mereka bayangkan rock kapak. Kami kurang gemar mencerna perkataan tersebut. Apa yang boleh mereka bayangkan, kami adalah grup yang mengetengahkan muzik pop rock moden. Seperti yang saya katakan pada awalnya, grup 'jahat',"jelas Edrie dengan tawa yang berderai.

Bikin ikut rentak Boy

Bermula dengan beberapa nama-nama besar dalam industri untuk mengisi posisi vokalis, Boy akhirnya bertemu jodoh dengan grup ini. Jejaka kacak yang baru berusia 27 tahun itu pada awalnya dilihat mentah namun mentelaah kembali portfolio kembara dalam dunia seni maka bahagian depan ternyata menjadi titik paling sesuai untuknya .




Boy atau Abdullah Omar pernah mengisi ruang dan peluang sebagai vokalis kumpulan Big Band dan Shockwave. Dia sudah bergelumang siang dan malam dengan suasana kelab malam. Dia sudah ditelek dan dibelek oleh Edrie sejak sekian lama.

Pesona yang dibawa selari dengan wajah yang mampu menggegar hati si Hawa membuatkan pemilihan pucuk muda ini tidak dapat dipertikaikan. Cara Boy duduk dan berbicara tatkala ditemuramah sudah menunjukkan titik penemu jawapan kenapa lelaki itu dapat menepis nama-nama lain untuk berada sebagai muka depan grup itu.

"Pertembungan idea dan minat antara Boy yang muda dan kami (ahli lain) yang sudah lama dalam industri muzik membuahkan sesuatu yang menarik. Malah saya yakin dia mempunyai tarikan yang kuat di atas pentas.

"Malah idea segar yang disuntik dalam pembuatan lirik grup ini merupakan sesuatu yang sangat menarik. Dia ada cara yang tersendiri dalam menghurai tutur kata yang dicantum menjadi lirik. Lebih tersurat namun ada makna-makna tersembunyi," puji Edrie buat Boy yang dilihat sebagai salah satu kekuatan Projek Pistol. Jujurnya, itu adalah antara sebab mengapa Projek Pistol diangkat menjadi penyeri muka depan Sensasi Bintang. Kekuatan mereka memberi pujian dan menimbang rasa antara satu sama lain.

Boy senyum. Sambil memperbetulkan posisi duduknya dengan cara yang lebih meyakinkan, dia cuba menyalurkan aura yang disebut-sebut meluap-luap dalam dirinya. Lantas dia memberi komentar, penyambung keyakinan Edrie terhadap portfolio dirinya.

"Saya gembira malah rasa satu perhubungan yang kuat dalam grup ini. Semuanya bergabung dan mengalir dalam ikatan kimia yang kuat," ujarnya yang menjadi tonggak nilai artistik grup Projek Pistol. Zam hanya mengangguk dari jauh. Diamnya menunjukkan rasa setuju. Pa'e pula berada jauh daripada kumpulan itu buat seketika untuk melunaskan kerjaya sebagai pengebuk dram sambilan.

Muara, sungai muzik Edrie


PROJEK Pistol mempertaruhkan Animosity sebagai halwa telinga pertama mereka buat umum.


Menyebut Edrie Hashim, pantas terbayang perkara major tentang dirinya adalah pembawakan imej rock dan rambutnya yang mengurai. Imej yang membiaskan genre tersebut kuat dalam dirinya. Dia berdiri sebagai pemuzik sudah sekian lama. Itu muara kerjayanya lalu disalurkan kepada sungai-sungai kecil yang masih berairkan muzik rock.

Edrie tidak pernah tampil khas sebagai anak band. Dia adalah penerbit, pembikin lagu dan lirik. Dia juga pemuzik undangan serta pengarah muzik. Hal itu membuahkan kekeliruan sesetengah khalayak yang sentiasa merasakan Edrie punya sebuah grup sejak awal kemunculannya.

Lalu dengan terhasil Projek Pistol segala ragu dan tanda tanya itu terjawab spontan. Edrie Hashim kini adalah pemuzik tetap merangkap posisi gitaris utama untuk grup debutnya. Projek Pistol ibarat sungai besar yang terbentuk daripada muara niatnya selaku pemuzik.

Edrie ketawa mendengarkan senario itu. Senyum puasnya sudah menunjukkan Projek Pistol adalah tumpuan utamanya kini dan dia puas hati dengan perjalanan grup yang kalau diimbas, boleh digelar super grup. Mereka masih junior dalam hayat kemunculan tetapi matang dalam perkiraan pengetahuan dan pengalaman.

"Kami buat muzik yang kami suka dan kami mahu anda dengar. Itu konsep yang kami berikan. Dengan itu, lagu Animosity menjadi pilihan pertama sebagai single. Ia merupakan lagu yang menceritakan rasa tidak puas hati dan tegang,"ujar Edrie membayangkan salah sebuah lagu daripada album edaran Life Records tersebut.

Tidak membiarkan hanya pengasas grup melantunkan falsafah muzik mereka, selaku sang vokalis, Boy juga ada pendirian.

"Kami buat muzik yang kami gemar. Kami bukan buat muzik hasil daripada kutipan suara orang ramai atau memasukkan apa yang mereka mahu dengar. Apabila sudah siap, harapan kami, kalau tidak semua, akan ada khalayak yang suka dan boleh terima muzik yang kami persembahkan," kata Boy.




Antara vokalis dan gitaris utama Projek Pistol, Boy dan Edry miliki kecenderungan berbeza. Dalam soal lirik misalnya, Edry seorang yang puitis. Liriknya berbunyi besar dan ada bahasa tinggi yang memerlukan kamus untuk memahami maknanya. Boy sebaliknya berbeza. Turut menyumbang lirik lagu berjudul Animosity dalam album sulung Projek Pistol, lirik air tangan Boy lebih ringkas dan jelas maksud yang mahu disampaikan.

"Itu antara daya penarik Boy. Saya sedikit cerewet dengan liri-lirik tulisan orang lain tetapi saya boleh masuk dengan idea daripada Boy," akui Edry.

Album Projek Pistol akan dilancarkan menjelang 18 April nanti, bakal mengembalikan gelombang kuat terhadap dunia rock. Imej dan muzik yang dibawakan menjanjikan sesuatu bagi mewarnai dunia seni tanah air yang semakin kurang kumpulan rock sebegini.

Kelak, album debut itu juga sebuah manifestasi terhadap impian dan minat mereka, malah sebuah petunjuk rasa cinta Projek Pistol terhadap khalayak.

Seperti simboliknya Projek Pistol itu, hasrat mereka, peluru-peluru emas yang bakal ditaburkan kelak bakal tepat mengena sasaran. Jika emas yang ditaburkan, pasti habuannya lebih bernilai daripada emas yang diperjudikan.