Fazura teringin watak hitam




SELESA bersembang dengan Fazura lantaran sikapnya yang tidak pernah 'berlakon' di luar set penggambaran.

Cuma kali ini dia lebih berhati-hati memilih topik perbincangan yang lebih terarah kepada perkembangan bakatnya.

Gadis yang suka bercakap secara terus terang ini mengaku dia kini sedang berehat buat sementara waktu.

Selepas selesai dengan filem Pisau Cukur (2009), Nur Fazura Sharifuddin, 26, menyepikan diri daripada mata khalayak.

Namun, ujarnya, dia akan kembali memasuki set lakonan bulan depan.

Fazura pernah muncul dalam filem Qaisy dan Laila, Selamat Pagi Cinta, Gol dan Gincu, Bicara Hati dan Kayangan.

"Saya bosan kerana sering diberikan watak wanita baik.

"Ia sangat stereotaip. Saya ingin lari daripada suasana ini.

"Saya mahukan watak hitam atau antagonis yang luar daripada kebiasaan watak yang pernah saya bawakan.

"Kekerapan memegang watak protogonis ini membuatkan saya bosan," ujar wajah barangan Nutox ini.

Gadis kelahiran Pekan, Pahang ini yang ditemui ketika pelancaran bulu mata palsu Luscious by Najeeb turut mengaku dia sudah mengurangkan aktiviti sosialnya.