Hati Rozita dicuri jejaka 34 tahun




SUSAH menjadi orang cantik seperti aktres Rozita Che Wan. Ke mana sahaja dia pergi, pasti meninggalkan kisah-kisah hangat yang tidak pernah surut. Bukan orang memburu kisah kerjayanya, tetapi kisah peribadinya dilihat mempunyai nilai lebih tinggi daripada lelah aksi lakonannya.

Jujur, kata Rozita, dia sedikit terkilan apabila khalayak lebih mahu mengambil tahu tentang peribadi berbanding kerjayanya, tetapi siapalah dia menahan kehendak tersebut. Akhirnya dalam keterpaksaan dia pasrah.

Terbaru sedang namanya hangat dengan drama Kiah Pekasam dan Aku Terima Nikahnya tiba-tiba muncul cerita yang ibu tunggal beranak dua itu mahu bersara daripada dunia seni andai bertemu jodoh dalam tahun ini.

Menjawab kepada semua persoalan itu, Rozita yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini menafikan dia bakal berkahwin dalam masa terdekat tetapi mengakui hatinya kini sedang berbunga cinta.

"Saya tidak kata saya nak bersara sekarang, tetapi saya kata saya akan bersara andai saya bertemu jodoh dan itu tidak bermakna saya akan berkahwin dalam masa terdekat.

"Buat masa ini saya masih menunggu jodoh. Keputusan untuk bersara itu pun bukannya datang daripada sesiapa tetapi daripada saya sendiri," jelasnya dalam nada lembut.


ROZITA mengaku dia kini lebih sensitif dan cepat terasa dengan cemuhan tidak berasas.


Tambahnya, selain ingin memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap rumah tangga yang bakal dibinanya kelak, wanita bermata bundar itu mengatakan dia berlakon bukannya kerana minat tetapi atas faktor untuk meneruskan kehidupan.

"Saya berlakon untuk mendapatkan wang, jika saya tidak bekerja siapa yang akan sara keluarga saya. Sebab itu, jika saya bertemu jodoh, saya tidak berasa ragu-ragu untuk meninggalkan kerjaya glamor saya sekarang ini.

"Kerja sebagai pelakon bukan mudah. Selepas ini jika ada orang yang boleh menanggung saya buat apa saya nak berlakon lagi. Oleh sebab itu, saya harus memilih betul-betul lelaki untuk dijadikan suami, tidak boleh tangkap muat sahaja, " jelas Rozita tentang penglibatannya terhadap dunia seni.

Hati dimiliki

Bukan sekali Rozita dikaitkan dengan lelaki. Lumrah wanita cantik, sejak menghuni persada seni, tidak pernah Rozita surut dengan gosip dia bersama lelaki termasuk berpangkat Datuk dan sebagainya.

Namun semua dinafikan oleh Rozita. Kata Rozita, lelaki-lelaki yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini tidak pernah menanamkan benih cinta di dalam hatinya. Namun kini hatinya sedang berbunga cinta dengan seorang lelaki yang identitinya mahu dirahsiakan.

Kata wanita berusia 37 tahun itu, lelaki bujang yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu itu telah berjaya membuka ruang hatinya untuk kembali mengait buih cinta.

"Dia sebenarnya kawan lama saya dan kami telah kenal selama empat tahun tetapi mula rapat dalam beberapa bulan yang lalu. Soal kahwin itu saya tidak boleh bercakap banyak kerana itu terpulang pada jodoh. Setakat ini, dia telah berjumpa dengan keluarga dan anak-anak saya," terangnya yang turut memberitahu teman lelakinya itu berusia 34 tahun.

Ceritanya dalam nada penuh ceria, dia sungguh bertuah kerana lelaki yang dikenalinya kini boleh dikatakan sebagai lelaki yang secocok dengannya.

Sikap serta keprihatinan yang ditunjukkan lelaki itu benar-benar memikat hatinya sebagai seorang wanita.


SEDANG diulit bahagia. Kata Rozita dia selesa berdamping dengan lelaki yang memahami dirinya.


"Dia cakap dia suka dengan saya dan yang penting dia seorang yang baik dan amat menghormati saya serta kerjaya saya sebagai artis.

Dia juga tidak pernah mengawal saya. Apa sahaja masalah saya boleh berkongsi dengannya. Itu yang saya senang dengannya," katanya.

Beritahu Rozita lagi, meskipun dia kini bergelar artis dan sering menjadi tumpuan ramai, itu bukannya penghalang hubungan mereka.

"Dia kenal saya masa mula-mula saya nak jadi artis lagi. Jadi dia memang tahu saya artis. Kadangkala jika kami keluar berdua, dia yang malu sebab ramai orang pandang," katanya dalam tawa.

Bagaimanapun tegas Rozita, sebagai manusia dia hanya merancang dan mengharapkan yang terbaik selebihnya terpulang kepada ketentuan Allah.

"Setakat ini saya tidak tahu dia jodoh saya atau tidak, saya tidak berani nak cakap. Tidak semestinya bila saya berkawan dengan seseorang lelaki itu sudah tentu dia jodoh saya. Kalau ditakdirkan saya bersyukur kalau tidak, saya nak buat macam mana," luahnya.

Terkilan

Sambung Rozita yang mengerjakan umrah buat kali ketiga bersama adiknya aktres Ayu Raudah selama 12 hari bermula hari ini, sejak kebelakangan ini dia sedikit kecewa dengan laporan yang ditulis mengenai dirinya.

Ulasnya, cukuplah dengan kontroversi yang sudah tertulis mengenai dirinya sebelum ini.


HARI ini, Rozita berangkat ke Mekah bersama adiknya, Ayu Raudah untuk mengerjakan umrah.


"Cukup-cukuplah nanti orang kata saya artis yang gila publisiti pula sedangkan segala cerita itu bukan datang daripada saya.

"Saya akui saya berkecil hati kerana selama ini bila orang buat kontroversi tentang diri, tidak ada kesahihan mengenainya. Bila orang baca kisah saya mereka kata saya artis tidak laku sebab itu kena buat kisah sensasi," ujarnya.

Disoal mengapa kini dia mula terasa dengan segala laporan sensasi sedangkan dulu dia menerimanya dengan lapang hati kerana memahami adat resam dalam dunia hiburan.

"Mungkin faktor usia memainkan peranan kerana saya semakin sensitif. Dulu saya tidak kisah apa pun orang tulis tentang saya. Saya juga tidak pernah melenting tetapi kalau sudah kerap cerita kontrovers keluar, ia membuatkan saya kecewa menjadi artis.

"Jadi bila tidak ada cerita baru, saya lebih suka berdiam diri. Bukan saya sombong tetapi nanti asyik cerita peribadi saya yang ditulis bukannya tentang kerjaya. Itu bukanlah satu hal yang boleh saya banggakan," terangnya.


KALAU ada jodoh dengan jejaka 34 tahun yang kini mengisi kekosongan hatinya, Rozita tidak teragak-agak untuk kembali berkahwin.


Meskipun pernah dikritik sebagai pelakon kayu dan pelakon suam-suam kuku oleh sesetengah pihak, Rozita membuktikan dirinya bukan sekadar cantik tetapi diiringi dengan bakat lakonan yang semakin hari semakin menyerlah.

"Alhamdulillah, jadual saya padat sampai bulan Julai. Walaupun tidak ada filem tetapi tawaran untuk drama tidak pernah putus.

"Saya tidak boleh memilih kerana saya berlakon untuk menyara hidup dan bukannya muda lagi. Tetapi itu tidak bermakna saya ambil saja semua tawaran lakonan. Saya masih menilai sama ada drama itu berkualiti atau tidak," katanya yang akan menjalani penggambaran drama Bola Saka tidak lama lagi.