Alibi Music buka sayap


ANTARA barisan artis yang bekerjasama dengan Alibi Music.



PENGURUS Kanan Alibi Music, KC Ismail.


MENGIKUT tradisi syarikat rakaman lain, Alibi Music Sdn. Bhd. tidak ketinggalan mengadakan sesi pradengar lagu-lagu artis di bawah labelnya sebelum berkumandang di stesen-stesen radio tempatan.

Sebanyak 10 buah lagu pilihan terbaik diperkenal oleh Alibi Music yang punya rangkaian artis dari tiga negara - Malaysia, Singapura dan Indonesia sebelum dilancar sekitar April dan Mei ini.

Antaranya adalah Untuk Dia nyanyian Sleeq, Penyelamat Cinta (Liyana Jasmay dan Aizat), Halimunan (Nabil Zamanhuri), Tic Tac Toe (Ezlynn), Ruang Kedua (Marsha dan Julian), AMPM (Dynda), Adinda (Lah Ahmad) dan Indah (Atilia).

Menurut Pengurus Kanan Alibi Music, KC Ismail, majlis itu seperti biasa menjadi medan pengamal media mendengar lagu-lagu terbaru para penyanyi berpayung di bawah syarikatnya.

"Selain wartawan dapat beri maklum balas dan komen terhadap lagu-lagu tersebut, golongan komposer, penulis lirik dan penyanyi turut meraih kesempatan memperkata lebih lanjut tentang karya masing-masing.

"Majlis seumpama ini diharap mampu menyediakan ruang lebih luas kepada pihak media menyumbang pendapat berterusan demi memperbaiki pelbagai lagu nyanyian artis-artis Alibi Music," katanya ketika ditemui pada sidang media yang dijalankan di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur minggu lalu.

Menyentuh single terbarunya, Tic Tac Toe ciptaan Noh dari kumpulan Hujan manakala liriknya ditulis oleh Ad Samad itu, Ezlynn mengaku cukup teruja mendendangkan sebuah lagu berentak berbeza dengan genre muzik dibawakan sebelum ini.

"Kali pertama dengar lagu Tic Tac Toe, terus jatuh hati kerana ia kena dengan jiwa saya. Waktu itu saya tidak tahu lagi pencipta lagu ini. Tidak lama kemudian selepas dapat tahu Noh yang buat, saya segera menyatakan persetujuan.

"Pada awalnya memang susah sikit hendak bekerjasama dengan Noh kerana dia ada stail dan corak persembahan tersendiri. Tapi lama-kelamaan, saya dapat biasakan diri menjalani kolaborasi dengan dia.

"Macam anda dengar tadi, lagu ini tetap ada sedikit pengaruh daripada Hujan. Paling pasti, boleh dikatakan Tic Tac Toe antara lagu terbaik yang pernah saya dapat," jelas Ezlynn atau nama sebenarnya Azlin Ariffin yang menyertai Alibi Music sejak Disember lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu bagaimanapun mengejutkan ramai apabila hadir bertongkat pada majlis itu. Rupa-rupanya, Ezlynn baru sahaja melakukan pembedahan kecil memasukkan tiga skru membetulkan struktur tulang semakin membengkok akibat terjatuh tangga di kediamannya.

Selain Ezlynn, aktres dan penyanyi, Liyana Jasmay tidak ketinggalan berkongsi kisah lagu Penyelamat Cinta yang dihasilkan dengan teman baiknya, Aizat.

Dihasilkan secara tidak sengaja, gadis berusia 21 tahun itu memberitahu, dia dan Aizat memunculkan karya tersebut dalam waktu singkat sebelum menjadi sebuah lagu.

"Aizat main instrumen dan dia juga bantu susun semula lirik yang saya tulis. Susunan muziknya pula dibuat oleh AG dari kumpulan Coco," ujar pelajar jurusan Seni Persembahan dan Media Sunway University College Petaling Jaya, Selangor itu.

Tiada yang lebih membahagiakan Marsha apabila meraih peluang berduet dengan penyanyi popular dari Perancis, Julian dengan lagu Ruang Kedua ciptaan Jean-Philippe Bernier/Abdelkrim El Habchi Virginie De Winter serta Adeep dan Marsha.

"Satu penghormatan kepada saya kerana bukan senang hendak bekerjasama dengan artis luar terutama seperti Julian yang memiliki populariti besar di negaranya. Harap lagu ini mampu mengembangkan sayap saya pada peringkat lebih tinggi," ungkap Marsha yang teruja dengan kesungguhan penyanyi itu mempelajari bahasa Melayu daripada penghibur terkenal, Anggun.

Pada waktu sama, majlis itu turut mengumumkan salah seorang artisnya, Nabil Zamanhuri terpilih mewakili Malaysia menyertai pertandingan Festival Muzik Asia Shanghai pada 28 April hingga 7 Mei ini.

Mengikuti jejak langkah Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Deja Moss, Misha Omar, Ezlynn, Syura, GT Boyz dan Jaclyn Victor, anak muda berumur 22 tahun itu bakal bersaing dengan hampir 30 peserta dari 30 buah negara.

Nabil yang dipilih syarikat pengutip royalti Persembahan dan Hak Artis Sdn. Bhd. (Prism) mewakili negara atas cadangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu bakal mendendangkan dua lagu, Dari Jauh dan A Song For You.