Tiada lagi Ahli Fiqir




BUAT kali terakhir mereka muncul bersama dan keindahan Pulau Pangkor, Perak telah menjadi saksinya. Umum sudah tahu mengetahui mengenai perpecahan yang melanda kumpulan hip hop Melayu popular, Ahli Fiqir.

Namun, tidak ramai yang berpeluang berkongsi emosi pada saat-saat akhir kewujudan Ahli Fiqir. Bukan meraikan tetapi bermatlamat meninggalkan memori manis agar terpahat sekeras kerikil di hati semua, Ahli Fiqir telah mengadakan percutian istimewa bersama peminat dan media di Pulau Pangkor baru-baru ini.

Ternyata, dalam pada berseronok merealisasikan percutian tersebut, emosi kesedihan melanda jua saat Ahli Fiqir membuat persembahan khas pada malam terakhir percutian bersama mereka itu membuatkan peminat-peminat yang menonton di situ sedih.

Perasaan itu mula timbul apabila Ahli Fiqir yang dianggotai oleh Fadali Mohd. Darif atau dikenali sebagai Daly, Noor Hidayati Mohamed Yusop (Mawar Berduri) dan Ceza Mutyara (DJ Cza) mendendangkan lagu Janganlah Pergi Mawar.


MAWAR kini lebih memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga.


Lagu yang dicipta Daly pada tahun lalu itu dimuatkan dalam album Irama Berimah yang dilancarkan tahun yang sama itu ditujukan khas kepada Mawar.

Walaupun semasa lagu Janganlah Pergi Mawar dicipta, Daly atau Mawar sendiri tidak pernah terfikir untuk meninggalkan ataupun membubarkan kumpulan yang mereka bina sejak lapan tahun lalu.

Berkongsi emosi, Daly memberitahu, pembubaran Ahli Fiqir bukan salah sesiapa kerana perkara itu telah mendapat kata sepakat semua pihak.

Katanya, cadangan untuk membubarkan Ahli Fiqir ialah selepas dia mendapat tahu Mawar mengandung sekitar Januari lalu. Ketika itu kandungan Mawar baru berusia sebulan.

"Ketika Daly mendapat tahu Mawar mengandung anak kedua, saya terus berjumpa dengan pihak syarikat rakaman untuk membincangkan hal ini kerana Ahli Fiqir masih mempunyai baki dua tahun kontrak.

"Selepas perbincangan itu selesai dan keputusannya ialah semua pihak bersetuju Ahli Fiqir dibubarkan," katanya pada sidang akhbar selepas persembahan khas Ahli Fiqir di Pangkor Coral Bay Resort.

Sementara, menurut Mawar yang kini mengandung lima bulan, dia merasakan adalah tidak adil untuk anggota Ahli Fiqir yang lain sekiranya selepas ini dia tidak dapat selalu turut serta dengan Ahli Fiqir. Justeru bagi Mawar, pembubaran Ahli Fiqir merupakan jalan terbaik kerana sekurang-kurangnya tanpa menggunakan nama Ahli Fiqir, anggota kumpulan itu boleh bergerak secara solo.

"Saya fikir kalau saya berehat terlampau lama mungkin akan mengganggu aktiviti atau jadual Ahli Fiqir. Lagipun bila umur meningkat tanggung jawab kita pun makin banyak. Bila selalu sangat tiada, nanti orang akan fikir Ahli Fiqir ada masalah pula," ujarnya yang mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga, sementelah dia pula akan melahirkan anak keduanya tidak lama lagi.


TIGA anggota Ahli Fiqir (dari kiri), Mawar, Daly dan DJ Cza kini membawa haluan masing-masing.


Pulang ke Indonesia

Bagaimana pula nasib anggota Ahli Fiqir, DJ Cza yang berasal dari Indonesia. DJ Cza menegaskan, dia akan pulang ke Indonesia untuk meneruskan perniagaan kelapa sawit milik bapanya.

"Sudah lama saya fikirkan untuk meneruskan perniagaan itu tetapi disebabkan komitmen kepada Ahli Fiqir saya tangguhkan dahulu. Sekarang, saya rasa sudah sampai masanya untuk masuk dalam bidang perniagaan pula," tuturnya yang pada mulanya menceburi bidang muzik sebagai satu hobi sahaja.

Sementara, seorang lagi anggota Ahli Fiqir, Daly bakal bergerak secara solo disebabkan minatnya yang mendalam untuk menghasilkan karya-karya yang terbaik bagi dikongsikan bersama peminat muzik.

Kata penyanyi yang berasal dari Singapura itu juga, dia akan mengeluarkan album solo pertama berjudul Muka Surat Baru tidak lama lagi.


DJ CZA memilih untuk aktif dalam bidang bisnes.


"Semua lagu-lagu sudah hampir siap dan kini berada di peringkat akhir," ujarnya.

Daly yang mewakili Mawar dan DJ Cza juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua media dan peminat-peminatnya yang menerima konsep yang mereka bawa dari mula hingga akhir pembabitan Ahli Fiqir.

Pada persembahan selama sejam itu Mawar yang kelihatan bertenaga dan menampilkan persembahan yang baik rupa-rupanya terpaksa berhati-hati dalam mengatur langkah ketika di atas pentas kerana bimbang akan kandungannya yang berusia lima bulan.

Perkara itu terpaksa diberi perhatian kerana semasa mengandungkan anak pertamanya, Adam Haris Imran, dia terpaksa dimasukkan ke hospital kerana kandungannya yang ketika itu bermasalah.

"Walaupun berhati-hati dan mengatur langkah Mawar tetap cuba untuk memberi persembahan yang terbaik pada malam ini," katanya.


DALY bakal muncul dengan album solo sulungnya, Muka Surat Baru.


Pada percutian tersebut, kira-kira 60 orang peminat dan wakil media turut serta dalam percutian bersama Ahli Fiqir di Pulau Pangkor, Perak anjuran Warner Music Malaysia dan Tholand Waey Holiday Sdn. Bhd.

Percutian yang berlansung di Pangkor Coral Bay Resort, selama tiga hari dua malam itu turut di meriahkan dengan pelbagai aktiviti untuk mengeratkan silaturahim antara artis, media dan peminat walaupun itu merupakan acara terakhir kumpulan tersebut.

Sebagai satu nama yang kukuh dalam kelasnya yang tersendiri, sudah pasti Ahli Fiqir menggunakan peluang ini untuk memberikan yang terbaik untuk peminat mereka.

Pengalaman percutian bersama kumpulan yang terkenal dengan lagu yang sesuai dan serasi dengan masyarakat di seluruh nusantara sudah pasti menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh pengikutnya kerana mereka telah membuat keputusan untuk merehatkan diri dari persada muzik tanah air.

Kenangan yang berbekas terhadap Ahli Fiqir kini diabadikan menerusi keindahan lirik lagu Janganlah Pergi Mawar.