Ramli Sarip gegar Filharmonik


ANDRE GOH dan Misha Omar bakal berkongsi pentas dengn Ramli Sarip.


KECINTAAN penghibur yang digelar papa rock, Ramli Sarip terhadap alam sekitar memang begitu tinggi. Sebagai insan kerdil yang tahu menghayati definisi kesyukuran, sosok berusia 56 tahun itu sering melaungkan keindahan anugerah milik Sang Pencipta.

Baik melampias karya sebagai karyawan seni mahupun berbicara dengan teman di sekeliling, Ramli dengan segudang impian tidak pernah lupa mengajak orang ramai menghargai alam terbentang luas yang didiami golongan manusia.

Ramli dan alam tidak dinafikan punya kedekatan. Maka, tidak hairan apabila Ramli meletakkan judul Tafsiran Alam: Wisdom Of Nature sebagai subjek terpenting selain dirinya pada konsert yang menjadikan Dewan Filharmonik Petronas pada 10 dan 11 Mei ini sebagai saksi.

"Tafsiran Alam: Wisdom Of Nature sifatnya universal. Terus terang, saya seorang pencinta alam lalu menjadikan diri ini sebagai pengamal seni. Saya selalu berjalan ke merata tempat dan sering terlihat banyak perkara unik di depan mata.

"Contoh terdekat apabila saya selalu terlihat dahan pokok dengan bentuk pelik. Daripada situ, saya tertanya pada diri betapa keajaiban berlaku kerana sepertinya 'seseorang' reka dahan pokok ini menjadi benda cantik dipandang.

"Tafsiran saya terhadap alam datang dengan pelbagai sudut dan mengikut cara tersendiri. Ia langsung menyebabkan saya sentiasa bersyukur atas segala nikmat-Nya," jelas Ramli ketika ditemui pada sidang media konsertnya di ibu negara minggu lalu.

Sambung Ramli yang juga jatuh cinta dengan langit biru, Tafsiran Alam: Wisdom Of Nature bakal dipertonton kepada orang ramai kelak mengikut variasi aliran pemikirannya sendiri sepanjang menjalani hidup di muka bumi ini.

"Sepanjang berkarya, hampir keseluruhan lagu saya berkisar misteri, urusan dengan Allah dan alam. Semasa konsert ini nanti, segala tafsiran akan diluahkan menerusi lagu. Dan khalayak sendiri kena nilai apa mereka dengar," terang Ramli yang melagukan 20 buah karya termasuk Kekasihku merupakan gandingan ideanya bersama Pyan Habib.

Tidak ketinggalan, bekas Pengetua Akademi Fantasia 4 (AF4) itu memilih dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Andre Goh pada 10 Mei manakala Misha Omar keesokan harinya bagi menyerikan konsert berdurasi dua jam itu.

Relevannya, Ramli memilih Andre dan Misha adalah disebabkan kedua-dua artis itu punya keistimewaan tersendiri sepanjang mereka mempertaruhkan diri di gelanggang seni.

"Andre merupakan bangsa Cina dari Malaysia yang ada ton suara original menyanyikan lagu Melayu dengan baik. Malah, dia tidak janggal dengan patah lagu didendangkan.

"Masa cari orang sebagai artis undangan, fikiran saya terus teringat kepada Andre walaupun genre muziknya lebih terarah lagu Melayu manakala saya serasi dengan rock & roll," ungkap Ramli yang mulai mengenali Andre sekitar tahun 1974.

Misha pula, pada mata Ramli yang popular dengan lagu Camelia, seorang penyanyi wanita berbakat, berpenampilan sopan dan mampu menyanyi dalam lenggok Melayu dengan baik.

"Cukup terharu apabila pelawaan ini diterima baik oleh Misha. Tanpa fikir soal bayaran, dia menyatakan keterujaan menyanyi bersama saya ditambah dapat buat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas," jelasnya yang tersentuh dengan kebaikan penyanyi muda ibarat Misha.

Mengaku agak terkejut dan tercengang saat dihubungi pihak Ramli menjadi artis jemputan pada Tafsiran Alam: Wisdom Of Nature, Andre tanpa berfikir lama terus menyatakan persetujuan.

"Lagipun dari tahun 80-an saya kagum dengan kehebatan Ramli yang memiliki suara serak. Malah, hingga ke saat ini, vokalnya semakin matang," jelasnya yang pernah memasang angan-angan menghasilkan album duet dengan Ramli biarpun berlainan genre.

Konsert tersebut bakal menyaksikan penyanyi warganegara Singapura itu bakal mengimbau semula momen lebih empat dekad lalu sepanjang bergiat di pentas seni. Malah, dia akan menyinarkan kembali himpunan lagu era kegemilangan Sweet Charity serta lagu-lagu popularnya termasuk berentak muzik world pada dua malam itu.

Selain Ramli akan berdiri di atas pentas, memegang gitar dan berdendang dengan vokal berbisa, konsert tersebut bakal dikepalai Eddie Marzuki sambil diiringi 17 pemuzik seperti Man Kidal dan Mohd. Rafi yang bermain gitar, Din Safari (bass), Tom Anuar (drum), Kudin (keyboard) dan enam pemain instrumen bertali.

Kutipan tiket konsert itu bakal disumbangkan kepada Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia bagi membantu kerja-kerja amal. Penerbit, komposer dan penulis lirik yang memiliki hampir 60 buah album itu telah dilantik sebagai duta organisasi tersebut sejak Januari lalu.

Tiket-tiket boleh dibeli dengan harga RM80, RM120, RM150 dan RM180 dari box office Dewan Filharmonik Petronas di talian 03-2051 7007 atau mengunjungi laman sesawang dfp.com.my.